Pageviews

Memaparkan catatan dengan label anak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label anak. Papar semua catatan

09 Jun 2013

Belian sebelum sekolah bermula

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


Hari ini Ahad, esok Isnin dah mula sekolah semula.  Maka bermulalah sekali lagi latihan suara di waktu pagi. So kepada sesiapa yang berjiran dengan aye haraplah memahami yer... kerenah anak-anak kalau nyanyi perlahan tariannya pasti gerak perlahan jadinya kena nyanyi soprano pitching tinggi baru gerak cepat sikit.

Tapi cerita di atas itu untuk latihan suara bermula pagi esok (Isnin).  Hari ini nak cerita pasal belian untuk keperluan sekolah anak-anak esok.  Macam baru nak mula sekolah pulak walhal dah masuk bulan ke enam. Laaa... dah setengah tahun rupanya.  Dalam sedar dan tidak sedar dah masuk bulan Jun.  Subhanallah. 

Seperti biasa walaupun tujuan awal adalah untuk membeli keperluan abang dan kakak sahaja (kononnya), belian untuk adik juga tidak ketinggalan.  Seperti contoh di bawah.
buku pertama khusus untuk budak yang belum sekolah

Inilah antara belian yang dimaksudkan.  Alatulis untuk Alif dan Dina.  Tambahan stok sedia ada.  Antaranya pensil, pembaris, pemadam, gam, pensil warna dan juga pengasah.  Harap-harap boleh bertahan lama.  

Sekian, selamat kembali ke sekolah.

28 Mei 2013

Tip berhadapan situasi bayi meragam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Sudah resam dalam keluarga baby yang berusia 12 bulan ke bawah akan tidur ikut masa dan tidak banyak ragam.


Jangan pula salah sangka atau buat-buat terkejut bila sesekali akan berhadapan dengan situasi di mana baby juga akan buat hal dan meragam.

Keliru? Tidak tahu apa nak buat? Gelisah? Resah? Bimbang dan Curiga? Jom Audit Baby!

Gunakan sepenuhnya pengetahuan dan sumber yang ada untuk mengetahui punca mengapa baby meragam.

Pertama, adakah kerana panas?  Pasang kipas dengan kelajuan yang sewajarnya, atau basahkan sedikit kepala baby.  Paling tidak 'on penghawa dingin dengan suhu yang tidak terlalu sejuk... anggaran dalam 27 darjah celcius.

Masih lagi meragam?

Kedua, periksa pakaian baby.  Adakah terlalu ketat atau besar atau dari jenis kain (material) yang tidak sesuai.  Material yang paling sesuai untuk pakaian baby adalah jenis Cotton dan tidak terlalu banyak jahitan atau sambungan kerana ia juga turut mempengaruhi keselesaan baby.  Cerewet jugak kan?

Dah periksa atau tukar pakaian baby... tetapi masih lagi meragam?

Ketiga, angkat baby dan tukar tempat tidur.  Kalau tidur dalam buai tukar letak atas katil... main golek-golek dengan baby dan gosokkan kepala atau tapak kaki atau belakang baby

masih lagi meragam?  Memang penuh dengan ujian kesabaran... Jom bersabar.

Keempat, pasang mp3 atau player pada hp lagu-lagu merdu dari al-Quran seperti surah Yassin dan 3 Qul.  Mana lah tahu baby boleh aman dan menghayati kemerduan lagu al-Quran.  Memang nampak sedikit berkesan.

Tiba-tiba... meragam semula.  Ya Allah, apa yang tak kena nih... cuba fikirkan apakah kaedah yang masih belum digunakan.

Cuba yang kelima.  Bagi minum susu botol atau badan.  Untunglah siapa yang masih ada lagi susu badan.  Semua itu rezeki masing-masing... Tiba-tiba skema pula.  Buatkah susu secukupnya dan lihatlah... pastikan baby minum dengan selesa dan puas.


Jika baby masih lagi meragam.... bersedialah untuk bawa baby anda berjalan-jalan ke Klinik berhampiran.

Paling tidak bersedialah secara mental dan fizikal bahawa baby juga ada angin dan mood yang berubah-ubah mengikut bulan dan kitaran pembesaran seperti kita juga manusia dewasa.

Sekian adanya.... selamat untuk semua.

14 Mei 2013

Pada usia 7 bulan

As salam,


aksi akrobatik yang skema

Bulan lepas, pada tarikh 15 April 2013 genap sudah umur Muhammad Abid 6 bulan 1 hari.  Di usia 6 bulan Abid sudah berikan banyak perkembangan menarik dan sudah pandai buat ragam.  Gambar di atas adalah salah satu daripada aksi Abid di usia antara 4 - 5 bulan.

Muhammad Abid dan Kakaknya Irdina Huda

Dan hari ini 14 Mei 2013, genap 7 bulan usia Muhammad Abid, sudah kurang aktiviti akrobatik dilakukan... lega!!! Sebaliknya lebih kepada merengek dan tidak mahu dilepaskan.  Letak sekejap dah berbunyi... nak buat kerja apa semua kena gendong (bawa) dia.

Banyak sebenarnya nak cerita mengenai aktiviti Abid, tetapi tertangguh buat sementara waktu.  Nanti bila-bila lapang umi buat cerita baru.




29 April 2013

Potret keluarga di waktu malam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


Bukan dengan sengaja tetapi tiba-tiba terasa nak potretkan di sini wajah-wajah spontan ahli keluarga terutama anak-anak.

Gambar yang tidak seberapa ini dirakam hanya dengan handphone nokia C3 sahaja.  Ragam anak-anak spontan kadang-kadang membawa seribu erti dan memang suka melihat gelagat dan aksi mereka.


Didahulukan dengan potret spontan Muhammad Alif.  Nak tahu kenapa Alif kelihatan melepek dan moyok semacam?  Sebabnya dia rindukan ayahnya.  Baru sepetang tak berjumpa.  Hari ini ayah kerja malam dan balik lewat.  Alif kalau tiada ayahnya di sini beginilah keadaannya.  Lepas dapat cakap dengan ayah melalui telefon okeylah ... boleh senyum-senyum sikit.



Ini pula Irdina Huda.  Memang spontan tak suruh pun senyum.  Baru lepas ketawa dengan adiknya yang dah lari ke belakang tu.  Gambar kedua pula Dina larikan muka sebab menangis baru lepas berebut pensil warna dengan adiknya.  Ingat tadi nak tangkap gambar dia merajuk... tak dapat pula.



Seperti biasanya Inas Insyirah agak susah sikit nak rakamkan wajahnya.  Tadi elok dah senyum tiba-tiba ditutup pula wajahnya dengan penutup bekas planta (besar punya).  Jenuh pusing sana sini yang dapat ini sebahagian daripada hasilnya.



Dan, akhir sekali gambar Muhammad Abid dan ayahnya.  Ini gambar lama beberapa hari lepas bukan gambar malam ini.  Abid dahpun tidur.  Ayahnya, seperti biasa tak mau 'interframe' dah elok tengok sini tiba-tiba pusing sana pulak... oooo tengok side mirror ada kereta laju nak memotong... (alasan!)

Dan ini pula gambar umi?
Doodle ini adalah sumbangan atau giveaway dari blogger Fizgraphic.com.


Cukuplah dulu celoteh memalam nie... dah nak tidur, anak-anak pun dah mula meragam dan merengek nak siapkan tempat tidur pula.



16 April 2013

Terlepas bukan kerana melepaskan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


corak dan motif hiasan | rona merah jambu bersempena hari Selasa

Terlepas bukan kerana melepaskan.  Tajuk entri kali ini agak klise sikit.  Ia adalah sebenarnya berkaitan dengan entri yang dikeluarkan pagi tadi dan juga malam tadi.


sumber gambar dari rakan FB
Iaitu berkaitan Wacana Kepimpinan Isu Semasa:  Sebelum Senja Berlabuh.  Wacana berkenaan dapat diikuti secara langsung pagi tadi.  Atas sebab-sebab tertentu aye tidak dapat ikuti wacana itu.  Sungguh rasa kerugian kerana terlepas sebuah program ilmu yang sudah pastinya banyak manfaat.

Bukan dengan sengaja melepaskan peluang keemasan itu, sebaliknya kerana ada aral melintang yang sukar dinafikan.  Datangnya dengan tiba-tiba tanpa disangka-sangka.

kitar semula gambar sedia ada... chak!!!
Inas Insyirah dengan tidak semena-mena dari awal pagi tadi muntah-muntah.  Pagi tadi bawa ke Poliklinik Dr Azhar, doktor mengkhabarkan ianya berkaitan dengan pemakanan dan bukan kerana jangkitan virus memandangkan badannya tidak panas.  Dibekalkan ubat untuk menahan muntah dan juga ubat cirit-birit.  Entahlah, apa yang dimakan kurang pasti dan tidak dapat dikenalpasti lagi.


bukan gambar terkini
Selain dari Inas, Muhammad Abid pula telah diberikan suntikan imunisasi semalam (15/4/2013) sempena umurnya 6 bulan.  Pihak KKIA tidak bekalkan ubat demam tidak seperti Klinik Desa dulu-dulu.  Mungkin juga kerana polisi telah berubah... mana lah tahu.  Hari ini badan Abid terasa panas sikit sepertinya mahu demam... bergegas pula ke Klinik Zakaria  dapatkan ubat demam untuk Abid.



Dan, tengahari pula sekembalinya Muhammad Alif dari SKSI dikhabarkan demam juga.  Badannya memang panas lalu diberikan ubat sirup panadol untuk kanak-kanak.  Punca Alif demam lagi lah ummi tak dapat nak kenalpasti memandangkan semalam Alif sihat jer.

Satu-satunya berita gembira untuk hari ini dibawa oleh Irdina Huda.  Dapat nombor satu dalam Ujian Pengesanan yang dibuat oleh PASTI.  Tahniah sayang... Tanya mana surat, katanya Ustazah simpan.  Okey.


Bukan sahaja Wacana - Sebelum Senja Berlabuh yang terlepas tetapi ada beberapa tugasan penting lain yang tertinggal untuk hari ini dan esok dan esok-esok lagi.  Terima kasih tidak terhingga kepada Seri dan juga Maiza dan juga sahabat lainnya yang sudi membantu dari jauh, hanya telefon pengganti diri dalam komunikasi untuk laksanakan tugas pada hari ini.

Mudah-mudahan kesihatan anak-anak tidak menjejaskan tugas ummi di pejabat.  Semoga permata hati ummi segera sembuh dan kembali sihat seperti sedia kala.


(^-^)

03 April 2013

Asalkan kau bahagia

As salam,


Beginilah keadaan dan suasana bila ummi ada di rumah.  Nampak macam demam, tapi dah adat budak-budak kan, demam macam mana pun selagi boleh gerak dia tetap gerak dan melompat tak ingat dunia... tapi bila dah letih, sakit badan sana sini baru lah nak cari ummi...

Anak-anak sesekali bila dibiarkan ikut kehendak hati dia macam inilah sebahagiannya.

Antara himpunan warna pensil milik abang dan kakaknya yang dihimpun dalam balang... diserakkan.  Macam lepas geram jer.

Wordless Wednesday| Aksi terkini Muhammad Abid

As salam



31 Mac 2013

Positif disebalik kebetulan

As salam,


Secara kebetulan dan aye akui mungkin agar sukar bagi sesetengah orang untuk mencari positif disebalik apa yang terjadi.  Walaupun aye sendiri positif dan yakin apa yang dilalui ini adalah ujian dariNya untuk menguji kesabaran dan kekuatan akal untuk bertindak serta lain-lain hikmah yang tersembunyi.


26 Mac 2013

Alif dan adik-adik demam lagi

As salam


Hari ini, bangun pagi berebut bilik mandi.  Selalunya Alif lambat bangun pagi, nak pergi sekolah pun kena kejutkan berkali kali.  Bila di tanya kenapa bangun awal sangat.  Katanya badan panas nak demam. Pulak!!!  Baru malam tadi ikut ayah jalan-jalan di pasar malam.

Ummi nak cuti lagi tak dapat lah, semalam dah cuti jaga adik dan kesihatan umi juga.  Rasanya tiada apa yang membimbangkan.  Petang nanti, ummi balik beli aiskrim Magnum kita makan sama-sama dengan adik-adik.

19 Mac 2013

Musim Sakit Mata | Kawalan atau remedi lebih penting

As salam,

gambar hiasan.  sumber google

Kemungkinan juga sekarang menular semula virus sakit mata.  Ini adalah pandangan peribadi aye bukan pandangan seorang pakar.  Jadi, pandangan ini amatlah tidak sesuai untuk dijadikan sebagai contoh atau kajian pengesanan mengenai penyakit.  Harap maklum.

Kenyataan mengenai penyakit atau virus sakit mata ini dibuat berdasarkan pengamatan seorang ibu yang juga seorang blogger ke atas beberapa situasi yang sedang melanda dalam keluarga sendiri semenjak kebelakangan ini.

18 Mac 2013

Bukan tersilap tarikh tetapi teruja

As salam,


Tajuk di atas boleh diabaikan sekiranya tiada kaitan dengan jalan cerita pada hari ini.  Tidak juga kerana sindrom 'Monday Blues' tetapi lebih kepada sindrom 4 'permata di hati bonda'.  Walaupun umi ada kerjaya kesihatan dan kebajikan anak-anak perlu diutamakan.

Bermula dari awal pagi, bahkan dari malam tadi juga Inas Insyirah dah mula mengamuk.  Tidak tahu apa puncanya, sehingga tertidur sendiri dan umi pula dah naik lemau jer hari ini.  Susunan jalan cerita pun dah tak berapa nak teratur.  Maaf lah yer.

15 Mac 2013

Nasihat buat anak

As salam,


Nasihat menasihati satu amalan yang baik dan mulia.

Justeru nasihat ini bukan sahaja untuk anak-anak tetapi juga sebagai ingatan buat diri sendiri yang juga seorang anak kepada seorang ibu.





Wahai Anakku, apabila Engkau akan mengerjakan shalat, maka shalatlah seperti shalatnya orang yang akan meninggalkan dunia ini, janganlah Engkau mengira bahwa Engkau akan kembali lagi ke dunia ini.
Dan ketahuilah Wahai Anakku, sesungguhnya seorang mukmin itu meninggal dunia diantara dua kebaikan ; kebaikan yang telah ia kerjakan dan kebaikan yang akan ia kerjakan.
(Muadz bin Jabal)
 

Semoga nasihat dan panduan ini memberi erti yang sungguh bermakna buat anak-anak seluruhnya.
 
rumahku syurgaku

03 Mac 2013

Aksi 4 beradik semasa cuti hujung minggu

As salam,


Hari ni cuti sekolah, hanya cuti hujung minggu saja belum lagi cuti penggal.  Seperti biasalah di rumah ni bila dah berkumpul semua adik beradik... rumah pun macam tongkang pecah, dah kemas kat bilik selerak kat depan... sudahnya adik juga yang jadi mangsa.


25 Januari 2013

Anak-anak, cuaca dan remedi

As salam,


'Hujan dan panas serta ombak laut'

Keadaan cuaca sekarang tidak menentu.  Sekejap panas dan mendung dan tiba-tiba pula hujan tanpa sebarang peringatan.  Keadaan cuaca yang  tidak menentu ini bukan sahaja tidak baik untuk anak-anak kecil bahkan orang dewasa juga.

Kadang-kadang dengan keadaan cuaca yang  tidak menentu bercampur pula dengan aktiviti luar yang tidak dapat dipisahkan dengan dunia kanak-kanak dan bercampur lagi dengan aktiviti sekolah sepanjang minggu boleh mendatangkan keletihan dan lemah badan kepada kanak-kanak.

Ayat skema tak hengat sangatlah kan, macam lah pakar kaji cuaca atau pakar kanak-kanak. :D

Jadual kelas ini telah berubah untuk kali ketiga dalam tempoh 4 minggu.

Nak diceritakan sekarang ini dah masuk penghujung minggu ke-4 anak-anak mula sekolah.  Sudah mula nampak kesan sampingannya.  Antaranya baju sekolah dah pandai pakai sendiri sepenuhnya tanpa bantuan, kerja rumah (kerja sekolah yang dibuat di rumah) pun dah pandai buat sendiri, buku aktiviti sudah dapat sepenuhnya dan siap dibalut termasuk juga dah pandai bercerita aktviti riadah di sekolah dan arahan yang diberikan oleh cikgu.  Perkembangan yang sungguh baik untuk anak-anak berusia 7 tahun dan 6 tahun.

Ini lagi satu ala-ala pakar perkembangan kanak-kanak pula. :D

Pemandangan di belakang itu telah berubah sepenuhnya,
tiada lagi kehijauan

Oleh kerana banyaknya aktiviti harian, anak-anak kadang-kadang (dan memang pun) tidak mendapat rehat yang cukup.  Sementelahan pulak memang lah anak-anak aye ni tak pandai nak duduk diam.  Asal sihat dan ada masa lapang bukanlah mereka nak berehat atau tidur tetapi lebih suka dengan aktiviti kanak-kanak seperti bermain dengan jiran sebelah paling tidak ke ‘pondok atuk’ menunggu atuk berkebun atau bersembang dengan kawan sebaya (Alia).  Kalau kata nak rehat sekejap sangat iaitu ketika minum susu, itu dah kira dahaga sangat.  Ajak makan, jika tiada makanan ‘feveret’ memang lambat sikitlah sanggup ulang minum susu.

Bila badan agaknya dah letih sangat, barulah nampak dok menempek depan tv.  Nampak baik dan sopan je memasing.  Masa tu barulah umi rasa macam aman tetapi sebenarnya tidak, kerana ‘kediaman’ mereka  itu menandakan kesihatan mereka telah merosot. 


Ketika itu mereka (anak-anak)  mungkin dalam proses membaik-pulih semula kesihatan dan menjadikan mereka cering-cering (istilah apa ni?)  Cepat-cepat ambil asam keping (wajib ada di setiap rumah) rendam dalam mangkuk kaca berisi air biasa dan sapu di kepala.  Ini remedi tradisional. 

Sama ada guna asam keping atau asam jawa sama saja.  Aye lebih suka asam keping kerana ia lebih bersih dan tidak comot seperti air asam jawa.  Dengan menyapu air di kepala boleh melegakan panas badan terutama kanak-kanak.

Ewah! Macam mak nenek pula :D.  Memanglah petua ni pun kan turun temurun dari nenek moyang kita.

Lagi satu sekiranya panas berlarutan cepat-cepat bawa ke klinik.  Selalunya musim cuaca tidak menentu klinik memang penuh dengan pesakit kanak-kanak yang demam kadang-kadang termasuk juga pesakit dewasa.

Dah jumpa doktor ambil ubat balik rumah minum atau makan ikut sukatan yang diberikan.

Terdapat juga dalam keadaan dan masa tertentu, ubat dah habis termasuk lah antibiotik pun dah habis tetapi demam masih tak kebah (istilah tradisional lagi).  Apa nak buat?  Nak ulang pi klinik semula?  Terpulang lah. 

Tetapi bagi kita yang  bekerja keadaan ini memang membimbangkan terpaksa pula isi borang keluar waktu pejabat untuk bawa anak ke klinik.  Member kat ofis pun mulalah menjeling semacam... lepas tu bergosip, macamlah dia tiada masalah.  Tapi itu bukan masalah besar bagi kita, kerana bukan kita yang minta tetapi sudah qada’ dan qadarnya begitu.  Biarkan sahaja gosip di pejabat itu, buatlah apa yang terbaik untuk anak-anak kita dan keluarga kita.  Gosip tu bukan menunggu artis jer , kita yang bukan artis pun memang tak boleh lari dari gosip.... kehkehkeh... suka lah tu!

Petua yang sering aye amalkan bila anak demam tak kebah a.k.a demam yang berulang dalam masa terdekat adalah dengan menggunakan beras dan jintan manis.  Petua ni aye dapat dari mak mertua aye.  Caranya?

Kenal tak dengan jintan manis?  Tak sama dengan jintan putih atau  rempah biji walaupun dalam keluarga yang sama.

Okey, caranya:
  1. ambil segenggam beras.  Tak kiralah beras basmati Faezah Elai , beras wangi atau beras siam.  Sebaik-baiknya beras yang biasa-biasa sahaja.
  2. Ambil pula sesudu besar jintan manis.  Cari saja di TESCO bahagian rempah ratus mudah sangat
  3. Masukkan ke dua-duanya (beras dan jintan manis) dalam kuali.
  4. Kacau / goreng tanpa minyak.  Jangan pula dimasukkan mentega atau air gula ke apa ker.  Semata-mata beras dan jintan manis sahaja. Ingat.
  5. Kacau sehingga beras nampak sedikit perang atau gelap sedikit.  Ketika ini baunya wangi sangat.   .... memang lah jangan sampai nampak jintan pula yang berwarna perang.  Masa tu beras dah hangus dah... perhatikan warna beras.
  6. Sediakan segelas air masak dan sebaldi air bersih.
  7. Ambil sedikit campuran beras dan jintan yang telah digoreng tadi masukkan ke dalam gelas.  Untuk diberi minum.
  8. Selebihnya (banyak sikit) masukkan semuanya ke dalam baldi berisi air bersih untuk dibuat air mandian.  Setelah mandi seperti biasa, bilas dengan air campuran jintan dan beras. 

Itu saja... tak susah walaupun banyak kaedah dan caranya berbanding dengan ubat moden yang hanya ambil sudu atau shrink dan suap saja ke mulut anak-anak.  Walaupun begitu ubat moden pun ada juga yang susahnya; iaitu bila anak tak nak atau tak suka makan ubat.  Memang jenuh la nak memujuk.

Walau apa pun kita hendaklah berusaha yang terbaik.  Selebihnya tawakkal semoga anak-anak diberi kesembuhan.

'suka duka pentas dunia'

30 Disember 2012

Anak ditinggal di taman permainan

As salam,


Anak-anak sesungguhnya memerlukan sepenuh perhatian dari ibu dan bapa.  Mereka memang kelihatannya tidak mengerti mengapa mereka ditinggalkan oleh ibu bapa.  Terutamanya setiap pagi 5 hari seminggu mereka akan ditinggalkan sama ada di rumah pengasuh, TASKA atau di rumah bersama bibik.  Anak kecil akan menangis kerana ditinggalkan.

Tetapi AWAS!  Sebagai ibu bapa jangan mudah terpengaruh dengan desakan dan tangisan oleh anak kecil.  Kerana mereka kadang kelihatannya seperti sengaja menduga kita kononnya dengan menangis... kita tidak akan meninggalkan mereka.

Sungguh benar sekali... naluri ibu mana tidak terusik bila melihat anak kecil menangis merengek tatkala kita melangkah meninggalkan mereka.  Tetapi hidup mesti diteruskan... kerja sedang menunggu ... pandai-pandailah memujuk dan jangan sampai kita yang termakan pujuk rayu mereka pula...


Sebenarnya nak ceritakan perihal bayi ini (huh... belum 2 tahun lagi tu... kira bayi lah...)  Bila nampaknya taman permainan tak kira di mana jua atau pada bila masa... panas atau hujan, malam atau gelap... meronta-ronta nak main sana... ohh sesekali tidak dibiarkan atau ditinggalkan dia bermain sendirian.  Harus sentiasa waspada, banyak mata memandangnya.

Tetapi, petang tadi dia ditinggalkan bukan sendirian tetapi bersama kakaknya dan pengasuhnya.  Dia ditinggalkan kerana urusan adiknya.  Memang tidak boleh bawa bersama.  Andai di bawa bersama pasti kecoh rumah orang... tunggu dia besar sikit baru boleh dibawa ke majlis keramaian.

Boleh tak?  nak berhenti sini dulu... lain masa sambung cerita lain pulak...

.

29 Disember 2012

Ada Apa Dengan Tahun 2013

As salam,


Masih terlalu awalkah untuk bercerita mengenai sesuatu yang bakal berlaku pada tahun 2013?  Sudah tentu tidak.  Di mana-mana sahaja di kedai buku telah pun ada kalendar 2013 seperti kalendar meja, planner, management diary, diari muslimah dan yang paling popular adalah kalendar kuda.

Pada tahun 2013, anak pertama baru masuk darjah satu, anak kedua berusia 6 tahun dan akan sambung lagi sesi pengajian di PASTI, anak ketiga pula baru mencecah umur 2 tahun dan anak ke-4 pula akan berusia 1 tahun.

Pada tahun itu juga rumah baru akan siap, Insaa Allah.  Pada asalnya dijangka siap pada hujung tahun 2012 iaitu bulan sekarang (Disember).  Seperti biasa kita mampu merancang Tuhan yang menentukan.  Ada hikmah yang kita tidak ketahui.  Lambat siap bermakna lambatlah potong gaji bermakna juga sempat lagi kumpul duit.

Semoga perancangan dan tekad 2013 terlaksana.


Kepulangan yang dinanti

As salam,



Pintu pagar itu haruslah sentiasa ditutup, paling tidak dikunci untuk keselamatan penghuni di dalam rumah terutama anak-anak.  Memang menjadi pantang mereka kalau terlihat pintu pagar terbuka terus saja keluar melulu.  Bahaya!

Sementara menunggu ayah pulang dari kerja main dulu di dalam kawasan berpagar bukan di luar sana.

Bila ayah dah pulang sama-sama jerit kuat-kuat ajak ayah naik motor jalan-jalan pusing taman.  Kalau hujan... nan hado atau pun bawa naik kereta.

Itulah aktiviti seharian anak-anak dan juga ayah yang penyayang lagi penyabar.


26 Disember 2012

Senarai semak keperluan persekolahan anak pertama Tahun 2012

As salam,

sedang merancang untuk persekolahan 2013

Sebagai persiapan untuk persekolahan anak-anak dan untuk rujukan masa akan datang oleh anak-anak atau umi dan ayah. 

Bukan kerana sayang wang ringgit tetapi sebagai peringatan untuk pendidikan anak-anak agar menjadi insan yang berpendidikan dengan ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat serta komuniti.

 1.    Set alatulis
  • Beg pensil atau Kotak pensil
  • Pensil, pemadam, pengasah pensil, Pembaris
  • Pen tidak perlu lagi kerana baru darjah satu
  • Warna Pensil, 24 batang
  • Crayon jika perlu tetapi boleh disediakan sebagai persediaan.  Warna Magic dan warna air tidak perlu lagi melainkan diminta oleh cikgu
  • Buku tulis dan buku rujukan lain mengikut senarai yang dibekalkan pihak sekolah perlu beli lebih awal mengikut tarikh yang dinyatakan atau boleh juga dibeli pada hari pendaftaran.  Semoga pihak sekolah menyediakan jumlah yang mencukupi dan tidak kehabisan stok.


2.     Beg Sekolah
  • Tidak mahu beg yang ada gambar kartun
  • Beg haruslah tahan lasak untuk paling tidak pengunaan untuk setahun jika lebih lama lagi bagus.  Beg beroda?  Tidak pasti lagi sama ada sekarang ni pelajar darjah satu dibekalkan dengan buku yang banyak dan berat.  Beg semasa belajar di PASTI dulu ada lagi dan masih elok tetapi perlu dilap sikit kerana dah berhabuk dan buang sedikit kotoran degil.

3.     Pakaian sekolah
  • 2 pasang untuk permulaan.  Baju putih lengan pendek dan seluar panjang warna biru gelap
  • 1 pasang pakaian sukan.  1 helai Baju-T (berkolar atau leher bulat terpulang) dan 1 helai seluar track untuk pendidikan jasmani.
  • 1 pasang baju melayu putih berserta songkok dan sampin hijau untuk sekolah agama rakyat (sekolah petang)
  • 2 pasang sekolah warna putih.  Sebagai permulaan beli saja jenis sarung (tanpa tali) bagi melancarkan suasana pagi agar tidak kelam kabut.
  • 3 pasang setokin atau sarung kaki putih

4.     Kenderaan/Pengangkutan pergi dan balik sekolah
  • Lebih jimat dan mudah pergi sekolah ayah hantar, balik dengan kenderaan yang telah ditempah.
  • Perlu simpan nombor telefon pemilik kenderaan berkenaan.

5.     Yuran sekolah
  • Sudahpun dimansuhkan.  Jangan nak cari pasal.

6.     Keperluan semasa pendaftaran (Darjah Satu sahaja)
  • Sijil lahir asal murid dan salinan mencukupi
  • Salinan kad pengenalan ibu dan bapa
  • Gambar murid saiz passport 5 keping
  • Salinan slip gaji ibu dan bapa
  • Borang maklumat murid
  • Borang Kad rekod persekolahan
  • Rekod imunisasi (kad putih rekod rawatan dan lawatan ke KKIA) – harus simpan di tempat selamat sejak dari diwujudkan

7.     Hal-hal lain
  • Bekas air minum.  Perlu beli baru atau guna sahaja botol air mineral lebih selamat dan mudah.  Bukan kedekut tetapi untuk lebih jimat.
  • Dan... jika ada tambahan nanti tambah kemudian

Semoga anak-anak dapat belajar dengan selesa dan dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap pengajaran oleh guru.

Selamat maju jaya!

'suka duka pentas dunia'