Assalamualaikum dan selamat sejahtera
Peria tumis udang geragau
Bila usia dah semakin meningkat corak pemakanan perlu ditukar dari lemak, manis, berkrim dan kurang berkhasiat kepada makanan berzat terutama ulam-ulaman. Yang sebenarnya sejak dari muda atau dari kecil lagi dah kena ajar. Tak usah nak kata anak orang nie... mak orang ni sekarang baru nak belajar makan sayur dan ulam pahit-pahit... semenjak kepala pula beputar dan berpusing tidak mengira masa.
Dari zaman kanak-kanak bukan tidak diajar makan peria. Tetapi ketika di zaman kanak-kanak peria merupakan musuh utama. Makan nasi dengan kicap pun tak apa daripada dok menghadap lauk peria. Kan? Sekarang ni baru la nak sedar diri... dah cuba cuba juga lah nak didik anak-anak... tolonglah jangan putus asa. Zaman dah berubah banyak sangat. Keadaan makanan zaman sekarang tidak seperti makanan ketika zaman kita kanak-kanak dulu. kalau nak dibandingkan dengan zaman kanak-kanak mak atau opah kita lagi lah... jauh bezanya.
Anak-anak zaman sekarang kalau terjumpa yang pandai makan ulam ... memang salute habis lah kat mak bapak diorang... sebab anak-anak saya memang bermusuh sangat dengan sayur-sayuran terutama ulaman. Memang bukan taste dia orang.
Namun usaha tetap usaha jangan berputus asa yer... kawan-kawan.
Hari ini memang nak berceloteh panjang sebab dah dua hari sakit kepala yang amat sangat sehingga rasa nak ketuk-ketuk kat dinding. Nasib lah kat rumah tak disimpan besi pengunci stereng kereta... upsss.
Saya nak berkongsi sebenarnya resepi makanan yang saya baru berjinak-jinak iaitu Peria Tumis Udang Geragau. Dah lama tak makan peria semenjak ketiadaan mak dan mak mertua kerana arwah selalu masak peria untuk anak menantunya ini :P.
BAHAN-BAHAN:
1 biji buah peria sederhana besar
5 biji cili padi (diketuk)
1 ulas bawang besar (dipotong dadu)
2 ulas bawang putih (diketuk)
1/2 cawan udang geragau - jika tiada boleh digantikan dengan belacan kira-kira sebesar ibu jari (tangan ehh)
sedikit garam
CARA MEMASAK:
1. Buah peria dibelah dua, buang biji dan dihiris setebal 1 cm (anggaran). Rendam dalam air garam atau gaul dengan garam seketika untuk hilangkan rasa pahit.
2. Tumis bawang merah dan bawah putih hingga kekuningan, masukkan cili padi. Jika nak pedas boleh ditambah cili padi. Kacau rata.
3. Masukkan udang geragau, kacau lagi hingga rata dan sehingga naik bau udang (seperti batu belacan).
4. Masukkan buah peria dan sedikit garam. Garam tidak perlu diletakkan banyak kerana udang geragau sudahpun ada rasa masin.
5. Jika suka berkuah masukkan sedikit air masak. Saya tidak masukkan air kerana tidak suka berkuah.
nota:
Banyak versi untuk masak peria. Di lain masa, in shaa Allah jika berpeluang saya kongsikan resepi peria yang lain pula.
Terima kasih atas perhatian anda semua.