As salam,
'Hujan dan panas serta ombak laut'
Keadaan cuaca sekarang tidak menentu. Sekejap panas dan mendung dan tiba-tiba pula
hujan tanpa sebarang peringatan. Keadaan
cuaca yang tidak menentu ini bukan
sahaja tidak baik untuk anak-anak kecil bahkan orang dewasa juga.
Kadang-kadang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu bercampur pula dengan aktiviti
luar yang tidak dapat dipisahkan dengan dunia kanak-kanak dan bercampur lagi
dengan aktiviti sekolah sepanjang minggu boleh mendatangkan keletihan dan lemah
badan kepada kanak-kanak.
Ayat skema tak hengat sangatlah kan, macam lah
pakar kaji cuaca atau pakar kanak-kanak. :D
|
Jadual kelas ini telah berubah untuk kali ketiga dalam tempoh 4 minggu. |
Nak diceritakan sekarang ini dah masuk
penghujung minggu ke-4 anak-anak mula sekolah.
Sudah mula nampak kesan sampingannya.
Antaranya baju sekolah dah pandai pakai sendiri sepenuhnya tanpa
bantuan, kerja rumah (kerja sekolah yang dibuat di rumah) pun dah pandai buat
sendiri, buku aktiviti sudah dapat sepenuhnya dan siap dibalut termasuk juga
dah pandai bercerita aktviti riadah di sekolah dan arahan yang diberikan oleh
cikgu. Perkembangan yang sungguh baik
untuk anak-anak berusia 7 tahun dan 6 tahun.
Ini lagi satu ala-ala pakar perkembangan
kanak-kanak pula. :D
|
Pemandangan di belakang itu telah berubah sepenuhnya,
tiada lagi kehijauan |
Oleh kerana banyaknya aktiviti harian,
anak-anak kadang-kadang (dan memang pun) tidak mendapat rehat yang cukup. Sementelahan pulak memang lah anak-anak aye
ni tak pandai nak duduk diam. Asal sihat
dan ada masa lapang bukanlah mereka nak berehat atau tidur tetapi lebih suka
dengan aktiviti kanak-kanak seperti bermain dengan jiran sebelah paling tidak
ke ‘pondok atuk’ menunggu atuk berkebun atau bersembang dengan kawan sebaya
(Alia). Kalau kata nak rehat sekejap
sangat iaitu ketika minum susu, itu dah kira dahaga sangat. Ajak makan, jika tiada makanan ‘feveret’
memang lambat sikitlah sanggup ulang minum susu.
Bila badan agaknya dah letih sangat, barulah
nampak dok menempek depan tv. Nampak
baik dan sopan je memasing. Masa tu
barulah umi rasa macam aman tetapi sebenarnya tidak, kerana ‘kediaman’
mereka itu menandakan kesihatan mereka
telah merosot.
Ketika itu mereka (anak-anak) mungkin dalam proses membaik-pulih semula
kesihatan dan menjadikan mereka cering-cering (istilah apa ni?) Cepat-cepat ambil asam keping (wajib ada di
setiap rumah) rendam dalam mangkuk kaca berisi air biasa dan sapu di
kepala. Ini remedi tradisional.
Sama ada guna asam keping atau asam jawa sama
saja. Aye lebih suka asam keping kerana
ia lebih bersih dan tidak comot seperti air asam jawa. Dengan menyapu air di kepala boleh melegakan
panas badan terutama kanak-kanak.
Ewah! Macam mak nenek pula :D. Memanglah petua ni pun kan turun temurun dari
nenek moyang kita.
Lagi satu sekiranya panas berlarutan
cepat-cepat bawa ke klinik. Selalunya
musim cuaca tidak menentu klinik memang penuh dengan pesakit kanak-kanak yang
demam kadang-kadang termasuk juga pesakit dewasa.
Dah jumpa doktor ambil ubat balik rumah minum
atau makan ikut sukatan yang diberikan.
Terdapat juga dalam keadaan dan masa tertentu,
ubat dah habis termasuk lah antibiotik pun dah habis tetapi demam masih tak
kebah (istilah tradisional lagi). Apa
nak buat? Nak ulang pi klinik
semula? Terpulang lah.
Tetapi bagi kita yang bekerja keadaan ini memang membimbangkan
terpaksa pula isi borang keluar waktu pejabat untuk bawa anak ke klinik. Member kat ofis pun mulalah menjeling
semacam... lepas tu bergosip, macamlah dia tiada masalah. Tapi itu bukan masalah besar bagi kita,
kerana bukan kita yang minta tetapi sudah qada’ dan qadarnya begitu. Biarkan sahaja gosip di pejabat itu, buatlah
apa yang terbaik untuk anak-anak kita dan keluarga kita. Gosip tu bukan menunggu artis jer , kita yang
bukan artis pun memang tak boleh lari dari gosip.... kehkehkeh... suka lah tu!
Petua yang sering aye amalkan bila anak demam
tak kebah a.k.a demam yang berulang dalam masa terdekat adalah dengan
menggunakan beras dan jintan manis.
Petua ni aye dapat dari mak mertua aye.
Caranya?
Kenal tak dengan jintan manis? Tak sama dengan jintan putih atau rempah biji walaupun dalam keluarga yang
sama.
Okey, caranya:
- ambil segenggam beras. Tak
kiralah beras basmati Faezah
Elai , beras wangi atau beras siam. Sebaik-baiknya beras yang biasa-biasa sahaja.
- Ambil pula sesudu besar jintan manis. Cari saja di TESCO bahagian rempah ratus mudah sangat
- Masukkan ke dua-duanya (beras dan jintan manis) dalam kuali.
- Kacau / goreng tanpa minyak.
Jangan pula dimasukkan mentega atau air gula ke apa ker. Semata-mata beras dan jintan manis sahaja.
Ingat.
- Kacau sehingga beras nampak sedikit perang atau gelap sedikit. Ketika ini baunya wangi sangat. .... memang lah jangan sampai nampak jintan
pula yang berwarna perang. Masa tu beras
dah hangus dah... perhatikan warna beras.
- Sediakan segelas air masak dan sebaldi air bersih.
- Ambil sedikit campuran beras dan jintan yang telah digoreng tadi
masukkan ke dalam gelas. Untuk diberi
minum.
- Selebihnya (banyak sikit) masukkan semuanya ke dalam baldi berisi air
bersih untuk dibuat air mandian. Setelah
mandi seperti biasa, bilas dengan air campuran jintan dan beras.
Itu saja... tak susah walaupun banyak kaedah dan caranya berbanding dengan ubat moden yang hanya ambil sudu atau shrink dan suap saja ke mulut anak-anak. Walaupun begitu ubat moden pun ada juga yang susahnya; iaitu bila anak tak nak atau tak suka makan ubat. Memang jenuh la nak memujuk.
Walau apa pun kita hendaklah berusaha yang terbaik. Selebihnya tawakkal semoga anak-anak diberi
kesembuhan.
'suka duka pentas dunia'