Pengikut Setia

Memaparkan catatan dengan label makanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label makanan. Papar semua catatan

15 Jun 2024

Laksa Mee Pangkor Dari Bandar U

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



Jumaat kelmarin, kafe ofis ni tak pastu buka ke tidak.  Rasanya tak buka kot.  Jadi kirim makan tengahari dengan bos.  Tak tau apa nak makan sebenarnya bila dah tak nampak dengan mata sendiri.  Jadi disebabkan dah ada tawaran orang nak belikan jadi kita kirim yang mana mudah.


Laksa Mee Pangkor.  
  
Jadilah buat alas perut makan tengahari.  Kalau ikutkan memang tak cukup sebungkus ni.  




Ya, dah lama juga tak makan laksa mee.  Ada banyak je jual di gerai panjang berhampiran jalan besar tu.  Laksa mee ni sedap kalau makan ramai2 sambil berebut sambal udang. 


Terima kasih.  Syukur untuk rezeki hari ini. 

08 Disember 2023

Mee goreng untuk makan tengahari selepas hadiri forum

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Mee goreng untuk makan tengahari


Hari ini Jumaat, ada forum Hal Ehwal Islam sempena sambuat Bulan Inovasi tahun 2023.  Bertempat di Dewan Al-Khawarizmi atau Dewan Kuliah Utama.  Program bermula dengan pendaftaran dan sarapan pagi seawal 8.30 pagi.


Forum Hal Ehwal Islam :  Keluarga dan Kerjaya

Panel forum termasuk moderator adalah antara insan hebat.  Banyak ilmu dan manfaat yang dicurahkan.  Antara petikan forum, untuk mendapatkan keberkatan dalam pekerjaan adalah setiap mukmin perlu lazimi takwa iaitu rasa takut kepada Allah.  Perasaan takut ini secara tidak langsung akan menjaga hubungan kita dengan Allah dan seterusnya mengelakkan kita daripada melakukan perbuatan mungkar yang membawa kepada kemurkaan Allah


Moderator dan Panel Jemputan

Terdapat beberapa kaedah dan pengetahuan baru yang diperolehi hari ini dari Paksu Soder, yang boleh dikatakan mahir atau pakar dalam kaunseling dan motivasi.  Perkongsian Paksu Soder ini ada juga terdapat di Chanel Youtube Paksu Soder.  

Selesai forum anggaran jam 11.45 pagi, balik pejabat bersama Adayana, PA TRHEA.  Dah lama tak jumpa dan sembang-sembang dengan Yana.  Walaupun ofis HEA dan HEP tidaklah sejauh berbatu, hanya dipisahkan lantai konkrit saja... tetapi kekangan tugas masing-masing.  

Hari ini ditakdirkan bertemu di DKU, seperti yang dilontar oleh Pengacara Majlis, Ustaz Norzarir, bahawa yang hadir hari ini adalah insan terpilih.  Alhamdulillah ada rezeki dan hikmahNya.


Mee goreng
Mee goreng untuk makan tengahari


Sampai ofis, selesaikan urusan berkenaan program OKU dan tugas lain sikit.  Perut dah mula bergurindam.  Pesan makan dengan  Kafe staf.  Hajatnya nak order nasi bujang ayam kunyit... menu biasa, tetapi dah kehabisan stok.  Makanya order saja mee goreng kerana itu saja menu yang ada.  Tapau dan makan di ofis.

Alhamdulillah, untuk rezeki hari ini.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam.

.

08 Jun 2016

Nasi Ayam Junid di Seri Iskandar

Nasi Ayam Junid di Seri Iskandar



Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Nasi Ayam Junid


Terima kasih atas kesudian singgah melihat gambar Nasi Ayam Junid di Seri Iskandar

31 Mac 2016

Pulut kuning tanak bertelur dadar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Pulut kuning tanak bertelur dadar



Pulut kuning memang sinonim dalam budaya Melayu.

Masa zaman kanak-kanak dulu pernah tengok arwah mak dan tok buat pulut kuning, nampak macam susahnya.  Tu belum tunggu nak makan lagi, siap bercatu. Budak-budak tak boleh makan pulut banyak-banyak nanti kembong perot.  Masa tu kita akur saja dengan cakap orang tua.  Tiada lah nak bantah atau banyak soal.  Janji dapat makan cukuplah, sikit pun tidak mengapa kerana bukan selalu dapat makan pulut kuning.

Berbeza dengan zaman sekarang, pulut kuning boleh didapati pada bila-bila masa.  Tambahan bila dah pandai buat sendiri.  Masak pulut kuning bukan tunggu nak belajar atau berguru.  Cukup dengan tengok macam mana orang buat lepas tu bacalah resepi kat mana-mana yang terjumpa.


Pulut kuning tanak bertelur dadar
Pulut kuning tanak bertelur dadar

Kalau tak silap rasanya entri ini merupakan entri kedua mengenai pulut kuning, dengan resepi yang sama.

Pagi-pagi lagi gigih menanak pulut kuning.  Tanak?  Ye, bukan kukus.  Sebab tanak lebih cepat dan mudah cuma hasilnya tidak berapa cantik.  Yang penting jaga api dapur, biar perlahan paling perlahan.

YB pernah juga buat pulut kuning kukus.  Rasanya tak berbaloi sebab bila kukus banyak kerja. Lagipun buat sikit saja untuk makan anak beranak.  Rasanya lebih kurang sama jer.  Hahaha... jangan kata YB buat ajaran sesat pula.

Ikut citarasa dan kreativiti masing-masing lah yer.

Pulut kuning kesukaan anak-anak.  Tak sempat buat rendang, makan saja dengan telur goreng dadar yang digulung.  Semuanya serba ringkas.  Habis juga sepiring anak-anak makan pagi tadi sebelum pergi sekolah.

Cubalah buat pulut tanak sendiri.  Tak susah airnya sama banyak dengan beras pulut dan masak guna api paling kecil.  Kalau masak guna rice cooker lagi mudah.  Selamat mencuba :D


Sekian,  Terima kasih sudi baca entri Pulut kuning tanak bertelur dadar

16 Februari 2016

Cepat Mudah & Lazat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Cepat Mudah & Lazat


Keputusan yang dibuat hendaklah cepat dan tepat.  Supaya mudah orang lain bertindak dan senang untuk kita membuat kawalan.  Tetapi kalau cepat sangat buat keputusan, akan melewatkan kita mengambil tindakan susulan.  Nak ambil tindakan susulan perlu tahu hujung pangkal dan perlu ada usul periksa.  Okey, sebenar YB tidak pasti sangat apakah intro ini sesuai atau tidak dengan tajuk dan isi cerita ini.  Ini adalah kerana separuh daripada hari ini masa YB dihabiskan untuk mencari kebenaran dan kepastian disamping bukti yang kukuh dan berdokumen.

Dan, keputusan yang hendak dibuat hendaklah tepat agar tidak menyusahkan orang lain serta tidak memalukan diri sendiri.  Bukan kerja yang mudah sebenarnya.  Sudahlah sesetengah orang yang cop YB sebagai sombong, bila dah dapat tugasan ini lagi bertambah-tambah cop sombong.  Jadi, janganlah kita dengan mudahnya menjatuhkan hukuman ke atas orang lain tanpa kita mengenalinya dulu.  Apa yang kita dengar itu tidak semestinya sama dengan apa yang kita lalui dan pengalaman setiap orang itu sangatlah berbeza.

Cepat mudah & lazat
Cepat mudah & lazat

Di atas adalah cerita sebenar disebalik tajuk ini.  Terima kasih kepada insan yang telah bermurah hati meletakkan bungkusan ini di atas meja YB.  Sungguh-sungguh YB terharu.  Rasanya nak kongsikan kelazatan isi kandungan dalam bungkusan ini dengan anak-anak.  Agak-agak kalau 4 orang tu cukup lah kan.  Sikit sama kita cicah banyak sama kita lapah.

Alhamdulillah, makan pagi dan tengahari untuk hari ini ditaja.  Ditaja kerana melaksanakan tugas seperti yang telah diamanahkan.  

Sekian, untuk hari ini. 

Terima kasih kerana sudi singgah baca entri Cepat mudah & lazat.

15 Februari 2016

Cara pantas menghilangkan kelaparan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Cara pantas menghilangkan kelaparan 


Aduh, tak tahu lah nak letak tajuk apa. Tengahari pun dah menjelang petang.  Perut dah lapar, makanan pagi tadi dah lama hadam.  Mohon maaf lah yer ahkak terpost entri pasal makanan pula. Bukan tidak ingat insan-insan lain yang turut berada dalam situasi yang sama.  Tetapi dalam keadaan kita yang berupaya untuk bergerak dan masih lagi punya kudrat untuk mendapatkan makanan, isu kelaparan sewajarnya tidak berlaku.

Makanan di negara kita ini bersepah, terdapat di merata-rata jalan dan ruang.  Tinggal kita saja yang mempunyai cukup kuasa untuk mendapatkannya.  Kuasa dari segi kewangan atau kuasa dari segi pergerakan.  Keterbatasan masa dan tempat bukanlah alasan utama.  Yang penting perut harus diisi dengan sumber yang halal agar kehidupan dapat diteruskan.

Apollo Roka Peanut dan Yuta Choco date with almond
Apollo Roka Peanut dan Yuta Choco date with almond

Punyalah panjang caption untuk gambar tu yer.  Itulah nama makanan yang dapat menghilangkan sementara kelaparan pada tengahari ini.  Apollo Roka tu harganya 50 sen satu, YB beli dari pushcart pelajar. Harga di luar tak tahulah berapa, rasanya lebih kurang kot.  Tak pernah beli pun kat luar tu.  Lagi satu Yuta (Yusuf Taiyob) Choco date with almond adalah pemberian jiran sebelah rumah, sempena majlis kenduri di kampungnya.  Ada beberapa kotak kecil di rumah sudah habis difaraidkan oleh anak-anak.  YB sempat ambil 2 biji masukkan dalam beg.... hehehe jadilah buat alas perut.

Alhamdulillah.  Ada rezeki kita untuk tengahari ini.  Petang nanti tunggulah apa pula rezeki yang akan tiba.

Apa pula menu pantas korang hari ini?

Terima kasih sudi singgah baca Cara pantas menghilangkan kelaparan.





29 Januari 2016

Bubur Nasi dan Kopi vs. Ais Cincau

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Bubur Nasi dan Kopi


Bubur nasi kini menjadi hidangan yang paling enak di antara banyak-banyak makanan yang ada di muka bumi.  Tambah sedikit kicap pastinya lebih ngam dengan selera orang yang sedang menanggung kesakitan gigi.  Sebenarnya bukan gigi yang sakit tetapi gusi kerana gusi yang menanggung gigi itu kini sedang membengkak dan hampir surut setelah satu fasa pertama antibiotik telah dilengkapkan, tunggu lagi 4 hari.  4 hari bukan lah satu tempoh yang panjang tetapi bila menunggu yang membuatkan tempoh itu terlalu lama... bermakna 4 hari lagi YB harus meneruskan hidup dengan makan bubur nasi berlaukkan kicap yang paling enak.

Alhamdulillah, syukur biarpun bubur nasi menjadi peneman selera YB masih lagi bisa meneruskan hidup.  Maka nikmat mana yang hendak dinafikan berbanding sebahagian lain yang tidak bisa makan sendiri walaupun sesudu nasi.

Bubur dan Kopi


Kopi merupakan antara minuman kegemaran YB sejak dari kecil.  Dibesarkan bersama orang tua yang hidupnya setiap pagi harus dimulakan dengan kopi.  Namun kini, cara penyediaan kopi telah dipermudahkan.  Dengan adanya kopi segera hanya perlu tambah air panas sahaja tidak perlu tambah gula dan tidak perlu penapis... lebih mudah.  Nikmat ini pastinya tidak dapat dibandingkan, biarpun sakit gigi tetapi kelansungan hidup masih berterusan.

Mulai hari ini menu utama adalah bubur nasi dan kopi putih segera.  Enakkan?

Ais Cincau Tabur


Ais Cincau Tabur.  Antara menu yang disukai bila berkunjung ke gerai tepi jalan.  Ais yang ditabur dengan susu pekat dan susu cair kemudiannya dihias indah cincau yang telah diparut.  Sungguh menyelerakan dan mendamaikan.

Tetapi itu suatu masa dahulu ketika gigi ini masih lagi berfungsi dengan baik.  Kini ais cincau tabur itu hanya mampu dilihat sahaja.

Kesyukuran juga dipanjatkan kepada Ilahi atas kurnianya kerana sempat juga menjamah dan menikmati sebahagian kecil daripada nikmat yang tidak terhitungkan.  Biarlah menu itu disitu untuk dinikmati oleh insan lain yang lebih berhak.

Sejujurnya YB sedar dan insaf bahawa bila tiba masanya kita akan menempuh banyak perkara. Seterusnya hal-hal yang tertentu kita perlu lewati dan biarkan ia berlalu.  Bersyukur kerana diberi peluang untuk meneruskan hidup ini.  Bila tiba masanya kita tidak tahu kita akan sampai juga.

Sekian.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa singgah dan baca entri Bubur Nasi dan Kopi vs. Ais Cincau.


15 Januari 2016

Sambal Tumis Telur Yang Mengancam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Sambal Tumis Telur Yang Mengancam


Tajuk memang mengancam.  Kenapa mengancam?  Sebab sekarang nie anak-anak dah suka sangat dengan sambal tumis telur.  Bila mereka dah suka, maka akan menjadi ancaman kepada emaknya yang kadang-kadang mood memasaknya kedaung.

Sambal tumis telur ni sebenarnya memang menjadi kesukaan YangBaik juga.  Selain dari sedap penyediaannya juga mudah.

Dengan itu, izinkan YangBaik kongsikan sedikit resepi sambal tumis telur versi YangBaik.

Sambal Tumis Telur

Bahan utama yang diperlukan adalah telur ayam direbus sehingga masak.  Berapa banyak bilangannya terpulang kepada bilangan orang yang akan makan.  YangBaik hanya rebus mengikut bilangan ahli keluarga semasa sahaja (5 orang)

Bahan lain:
1.  20 tangkai cili kering
2.  5 ulas bawang merah
3.  sedikit belacan atau boleh digantikan dengan udang kering
4.  sedikit garam
5.  sedikit gula
*  semua bahan 1-5 dikisar bersama sehingga halus.  Jika hendak lebih mudah beli saja cili boh, bahan-bahan yang lain terpulang kepada kehendak dan keperluan.
6.  asam keping atau air asam jawa
7.  Air

Kaedah:
1.  Tumis bahan yang dikisar sehingga pecah minyak.
2.  Masukkan sedikit air mengikut kepekatan yang disukai.
3.  Masukkan asam keping atau air asam jawa.  Jika tiada boleh digantikan dengan sos tomato atau sos cili (banyak pula pilihannya :P)
4.  Setelah mendidih, masukkan telur rebus yang telah dikupas kulit.  Kacau seketika sehingga rata dan boleh angkat serta hidangkan.

Sambal tumis kini menjadi pilihan anak-anak kerana hanya ini yang mudah dibuat.  Selain dari itu mereka juga mungkin sudah jemu dengan lauk ayam goreng.

Selamat mencuba kepada semua.


22 Ogos 2015

Tidak mencaci makanan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Tidak mencaci makanan


Abu Hurairah menyatakan, "Rasulullah tidak pernah mencela makanan walau sedikit pun.  Sekiranya beliau berselera, beliau memakannya.  Sedangkan sekiranya beliau tidak menyukainya, beliau meninggalkannya." (Hadis Riwayat Bukhari)


Tidak mencaci makanan
Tidak mencaci makanan

Bagaimana dengan kita selama ini?

#peringatanbuat diri sendiri.






04 Februari 2015

Menu sihat semasa mesyuarat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Menu sihat semasa mesyuarat


Contoh menu sihat



~(@^_^@)~
posted from Bloggeroid

14 Januari 2015

Muruku Ikan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera




Muruku Ikan


#Rabutanpakata

07 Januari 2015

Rabu Tanpa Kata | Rengginang Inul

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Rengginang Inul


Khabarnya banyak di Jalan Chow Kit.

~(@^_^@)~

posted from Bloggeroid

22 November 2014

Buat Sendiri Roti Bun

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Roti Bun Buat Sendiri

Dah lama cuba buat roti bun sendiri.  Setiap kali cubaan itu gagal, tiada yang menjadi dengan betul sebaliknya keras dan tidak lembut atau gebu seperti yang dibeli.  Agak kecewa juga.  Nak salahkan resepi 100% tidak patut juga.  Kerana yang menyebabkan roti tidak menjadi kadang-kadang disebabkan kelalaian atau kesilapan kita.


Roti bun buat sendiri

Kali ini, dapat resepi baru untuk buat roti bun, nampak macam senang dan mudah.  Nak dapatkan bahan-bahanpun tidak susah.  Jika ada sesiapa yang pernah menyiarkan resepi roti bun buat sendiri... maaf lah resepi ini telah saya oleh semula ikut kehendak saya... jangan marah...nanti roti tidak menjadi.  Walau apapun terima kasih atas resepi yang telah disiarkan terdahulu.

Sekarang, lihat pula resepi yang telah saya olah semula.... mudah sangat.

Bahan-bahan

1/2 Cawan Air Suam
1 sudu kecil serbuk yis 
3 sudu besar susu pekat
(Semua bahan di atas dicampurkan di dalam mug/mangkuk kecil.  Biarkan bahan tersebut berbuih)

2 Cawan tepung gandum
1 cawan tepung kek (tepung naik sendiri)
1sudu makan majerin lembut
1 sudu teh gula 
(bahan ini digaul dijadikan peroi)

Cara-cara membuatnya

1.  Masukan bahan bancuhan yis tadi ke dalam adunan tepung.
2.  Gaul dan uli hingga  menjadi doh yang tidak melekat ditangan.
3.  Perapkan selama 2 jam atau lebih sehingga adunan naik 2 kali ganda. (Selepas dua jam, setelah doh naik 2 kali ganda, tumbuk-tumbuk adunan untuk membuang angin di dalam doh)
4.  Uli doh dan bentukkan roti mengikut kesukaan. Bentuk paling mudah dan asa adalah bulat. Letakkan ke dalam Loyang yang disapukan sedikit minyak.
5.  Sapukan kuning telur untuk kesan keemasan di atas roti.
6.  Boleh juga ditaburkan bijan, kismis atau apa saje kesukaan anda.
7.  Rehatkan kali kedua anggaran 10 - 20 minit, supaya doh naik lagi.
8.  Bakar selama 25 minit mengikut oven masing-masing.  Saya gunakan kuali ajaib dengan api yang perlahan dan bakar selama 40 minit.

Anak-anak suka, suami suka... saya bertambah suka untuk buat lagi.  Walaupun tidaklah segebu roti Gardenia atau roti berjenama lain di pasaran, tetapi rasanya tetap tidak kalah.  Cuma pada rupa memang tidak boleh tiru sebab baru cubaan pertama yang menjadi...

Roti buat sendiri ini bukan sahaja mudah tetapi boleh dimakan pada setiap masa tidak kira pagi atau petang... untuk supper pun bagus juga.

Selamat mencuba kepada semua.

Terima kasih.

10 September 2014

Rabu Tanpa Kata | Jack 'n Jill Magic Cracker Sandwich

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Biskut berlapis krim berperisa mentega.  
Enak dimakan untuk alas perut.

03 September 2014

Rabu Tanpa Kata | Kek yang menggoda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Tiba-tiba rasa nak makan kek







Ada sesiapa nak belanja?
Atau kena beli sendiri.
Di mana ada jual kek yang sedap dan menyelerakan?


21 Julai 2014

Sup Bebola Ikan berbunga karot

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Sup bebola ikan berbunga karot.  Antara masakan yang agak ringkas dan mudah.  Anak-anak suka makan, umi dan ayah pun senang hati.

Bila dah tiba masa malas nak masak campur dengan tiada idea, tak tahu nak masak apa jadinya apa saja yang terlintas kat kepala otak ni... itulah yang jadi.  Pergi ke pasar mini dekat rumah, cari apa benda yang boleh membantu untuk masakan.  Kebetulan terjumpa bebola ikan 'besar punya', ingat nak buat sambal tumis tapi anak-anak pula tak makan pedas.  Bulan puasa ni bukan saja selera mak bapak yang nak kena ikut, selera anak-anak lagi la nak kena ikut.  Sebagai hadiah kerana berpuasa.  Barulah bersemangat anak-anak nak puasa.

Masakan saya kebanyakannya jenis sup... mungkin juga sebab dah semula jadinya macam tu kot. :P
Malas nak bergulai bagai.  Kalau nak buat gulai-gulai tunggu encik suami yang masak.  Dia memang suka lah.  Tapi kali ini saya nak berkongsi resepi yang sangat ringkas dan mudah untuk sesiapa saja.



BAHAN-BAHAN:-

1 paket bebola ikan (anggaran 20 biji), boleh ditukar dengan bebola ayam atau ketam terpulang kepada selera masing-masing
1 batang lobak merah (karot)
1/2 pokok brokoli (tak tau nak panggil apa)
5 ulas bawang merah - hiris nipis
2 ulas bawang putih - ketuk
1 mangkuk air (ikut citarasa)
Sedikit lada sulah
Sedikit garam


CARA MEMBUATNYA:-

1.  Bebola ikan dibersihkan, bilas dengan air lalu.
2.  Brokoli dipotong kecil.  Lobak merah di hiris nipis.  Saya buat bentuk bunga seperti di dalam gambar untuk memberi semangat kepada anak-anak dan supaya mereka tertarik.  Memang berhasil, siap dapat pujian lagi.
3.  Tumis bawang merah dah bawang putih sehingga naik bau.  Masukkan air dan kacau.
4.  Masukkan berbola ikan, lobak, brokoli dan air. Tunggu sehingga mendidih.  Masukkan garam dan lada sulah.
5.  Hidangkan.


Nota:
Selain dimakan bersama nasi panas, sup ini juga sedap dimakan begitu saja dan campurkan dengan sedikit sos cili keropok untuk rasa pedas dan sedikit masam manis.



17 Julai 2014

Peria tumis udang geragau

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Peria tumis udang geragau


Bila usia dah semakin meningkat corak pemakanan perlu ditukar dari lemak, manis, berkrim dan kurang berkhasiat kepada makanan berzat terutama ulam-ulaman.  Yang sebenarnya sejak dari muda atau dari kecil lagi dah kena ajar.  Tak usah nak kata anak orang nie... mak orang ni sekarang baru nak belajar makan sayur dan ulam pahit-pahit... semenjak kepala pula beputar dan berpusing tidak mengira masa.

Dari zaman kanak-kanak bukan tidak diajar makan peria.  Tetapi ketika di zaman kanak-kanak peria merupakan musuh utama.  Makan nasi dengan kicap pun tak apa daripada dok menghadap lauk peria. Kan? Sekarang ni baru la nak sedar diri... dah cuba cuba juga lah nak didik anak-anak... tolonglah jangan putus asa.  Zaman dah berubah banyak sangat.  Keadaan makanan zaman sekarang tidak seperti makanan ketika zaman kita kanak-kanak dulu.  kalau nak dibandingkan dengan zaman kanak-kanak mak atau opah kita lagi lah... jauh bezanya.

Anak-anak zaman sekarang kalau terjumpa yang pandai makan ulam ... memang salute habis lah kat mak bapak diorang... sebab anak-anak saya memang bermusuh sangat dengan sayur-sayuran terutama ulaman. Memang bukan taste dia orang.

Namun usaha tetap usaha jangan berputus asa yer... kawan-kawan.

Hari ini memang nak berceloteh panjang sebab dah dua hari sakit kepala yang amat sangat sehingga rasa nak ketuk-ketuk kat dinding.  Nasib lah kat rumah tak disimpan besi pengunci stereng kereta... upsss.

Saya nak berkongsi sebenarnya resepi makanan yang saya baru berjinak-jinak iaitu Peria Tumis Udang Geragau.  Dah lama tak makan peria semenjak ketiadaan mak dan mak mertua kerana arwah selalu masak peria untuk anak menantunya ini :P.



BAHAN-BAHAN:

1 biji buah peria sederhana besar
5 biji cili padi (diketuk)
1 ulas bawang besar (dipotong dadu)
2 ulas bawang putih (diketuk)
1/2 cawan udang geragau - jika tiada boleh digantikan dengan belacan kira-kira sebesar ibu jari (tangan ehh)
sedikit garam

CARA MEMASAK:

1.  Buah peria dibelah dua, buang biji dan dihiris setebal 1 cm (anggaran). Rendam dalam air garam atau gaul dengan garam seketika untuk hilangkan rasa pahit.
2.  Tumis bawang merah dan bawah putih hingga kekuningan, masukkan cili padi.  Jika nak pedas boleh ditambah cili padi.  Kacau rata.
3.  Masukkan udang geragau, kacau lagi hingga rata dan sehingga naik bau udang (seperti batu belacan).
4.  Masukkan buah peria dan sedikit garam.  Garam tidak perlu diletakkan banyak kerana udang geragau sudahpun ada rasa masin.
5.  Jika suka berkuah masukkan sedikit air masak.  Saya tidak masukkan air kerana tidak suka berkuah.


nota:
Banyak versi untuk masak peria.  Di lain masa, in shaa Allah jika berpeluang saya kongsikan resepi peria yang lain pula.

Terima kasih atas perhatian anda semua.



08 Julai 2014

Juadah istimewa berbuka puasa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Juadah istimewa berbuka puasa



Bersempena dengan bulan puasa dan juga bulan Ramadhan banyak juga orang mencari sesuatu yang berkaitan dengan puasa atau Ramadhan antara carian yang paling popular ialah lokasi PARAM atau Pasar Ramadhan.

Saya tidaklah nak bercerita mengenai PARAM kerana saya amat jarang ke PARAM untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.  Tetapi suatu hari nanti mungkin ada artikel mengenai PARAM belum tentu juga sebab saya memang malas nak mengarang panjang.  Sekarang pun Rank Alexa dah jatuh banyak sebab saya tak banyak berceloteh di bulan Ramadhan.  Banyak entri copy paste.  Kalau ada ayat pun sekadar sepatah dua kata tidak lebih dari pengenalan dan minta pengunjung fikir sendiri kerana saya malas nak fikir :P

Catatan kali ini adalah untuk berkongsi pengalaman mengenai penyediaan juadah istimewa berbuka puasa.

  


Ha... gambar tertera di atas bukanlah koleksi juadah istimewa sempena Ramadhan tetapi selepas Ramadhan. :P

Nak tengok juadah istimewa berbuka puasa?

Meh ... layan gambar-gambar di bawah :-

Menu wajib setiap kali buka puasa; Kurma 

Hasil air tangan encik suami; sup bubur ayam.  Mengapa sup ada bubur ayam?  Sebabnya encik suami dah terlebih kreatif masukka tepung jagung dalam sup untuk memekatkan kuah sup.... layan  jer

 
Budak kecil yang sentiasa 'puasa' setiap hari.  Siap saja hidangan dia dulu yang jadi tukang rasa.  Roti Prata ... beli bukan buat kerana belum ada kepakaran dalam menghasilkan roti prata yang nipis :P


Bila ayam dah tinggal sikit, sayur pula masih banyak.  Buat saja ayam goreng kunyit dan sembunyikan dengan sayur campur.


Akhir sekali setiap juadah yang dihidangkan hendaklah ditutup dengan tudung saji supaya tidak dihinggapi lalat.  Paling penting untuk kesihatan.


Apa macam?  Boleh cuba menu juadah istimewa berbuka puasa saya?
Gambar-gambar di atas memang sengaja bagi kecil supaya tidaklah lambat sangat nak muncul.  Kan banyak gambar tu... berat weh.

Nanti bila lapang lagi saya letakkan pula gambar lain berkaitan menu dan juadah istimewa berbuka puasa.

Terima kasih kerana sudi melayan gambar juadah yang tidak seberapanya ini.







02 Julai 2014

Rabu Tanpa Kata | Ayam goreng kunyit di kebun sayur

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Ayam goreng bersayur




Ayam sembunyi di kebun sayur :P


Menu ringkas berbuka puasa.


Carian