Pengikut Setia

Memaparkan catatan dengan label Irdina Huda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Irdina Huda. Papar semua catatan

19 Mac 2014

Demi mu yang tersayang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Demi mu yang tersayang.  Anak-anak memang kesayangan umi.  Selagai hayat dikandung badan.


Irdina Huda, 1 Amanah.

Umi bila bercerita memang lah lemah sangat nak mula cerita.  Jenuhlah reka ayat dan cerita... tak menjadi juga.  Semoga tiada yang kecewa.

Semenjak anak-anak dah bersekolah ni, umi dah ayah juga turut belajar sekolah semula.  Masuk darjah 1 dan juga masuk tadika.  Tak ingat pula pengalaman masa sekolah rendah dulu....ingat-ngat lupa deh.

Sudah beberapa hari Irdina ingatkan umi, kalau tak silap dari minggu lepas.  Elok juga hari ini diingatkan sekali lagi mengenai keperluan untuk pembelajaran di sekolah esok.  Kalau tidak diingatkan memang umi langsung tak ingat.  Disebabkan ingatan anak-anak yang masih kuat inilah yang banyak membantu umi dalam persekolahan mereka. Haa... kan dah terbalik.

Minggu lepas Irdina ingatkan umi 

"Umi! minggu depan cikgu suruh bawa kotak kecil, kertas warna, gam dan gunting"

"OK" (macam ko pula ... ngeee)

Dan percayalah selepas itu umi tidak ingat langsung mengenai keperluan berkenaan.  Sehinggalah petang tadi Irdina ingatkan sekali lagi mengenai perkara yang sama.  Esok dah nak guna pulak tu...

Lepas solat maghrib, umi pun mencari-carilah kalau-kalau ada masih ada lagi kotak kecil yang pernah disimpan satu masa dulu.  Antaranya kotak handphone, kotak coklat dan beberapa kotak yang comel.  Memang umi dah lupa lagi... sebenarnya umi dah pun buang kotak-kotak berkenaan semasa aktiviti 3S (Sisih, Susun, Sapu) di rumah.

Okey... jangan pernah mengalah.  Sekiranya tiada di rumah di kedai kan ada. :P


Kotak kecil dan kertas warna

Dan, di atas adalah hasil rembatan umi dari kedai di depan sana.  Memang umi tidak berapa suka nak merempit malam-malam.... siang pun tak suka juga.  Tetapi demi anak-anak, merempit kini sudah menjadi sebahagian daripada aktiviti umi. (hahaha)

Kotak tu... sudah tentu dikeluarkan makanannya dan disimpan dalam peti ais.  Pelik juga... tiada yang berebut pula nak makan makanan itu.  Adakah kerana mereka sudah kenyang atau mereka tidak perasan.  Kerana umi beli kotak kecil sahaja kan nnn.

Tak kisah lah apa pun umi dah beli dan Irdina nampak teruja sangat.  Cuma kertas warna tu...

Alif kata "cikgu nak kertas warna bukan ada bulat-bulat tu, cikgu nak kertas warna yang ada warna saja macam warna biru, warna hijau atau warna pink".

"Bukan kertas warna yang ada banyak warna"

Ha aa... kan.
Umi memang dah agak tetapi hanya itu pilihan yang ada.

Untuk tidak mengecewakan... umi selongkar lagi kotak kertas yang lama dan jumpalah dengan beberapa helai kertas warna saiz A4.  Jadilah ada warna biru cair dan warna coklat muda.  Asalnya kertas itu dijadikan sebagai 'cover' untuk tugasan.  Boleh lah.

Dah simpan baik-baik dalam beg plastik dan letak sebelah beg sekolah.

Siap satu tugasan penting untuk hari ini iaitu mendapatkan kotak kecil, kertas warna, gam dan gunting.  Tengoklah hasil kerjanya nanti.


#pray4mh370


suka duka pentas dunia


$$$ 

13 Januari 2014

13 Januari 2014 | Jom mengaji

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



Irdina Huda.  
Gambar dirakam sebentar tadi... sejurus  selepas solat Maghrib.
Sebelum pergi mengaji di rumah ustazah.
Ayah hantar... sekejap lagi ayah ambil eh..



31 Disember 2013

Hari Pendaftaran dan Taklimat Ibu Bapa Tahun 1 SK Iskandar Perdana

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Hari ini 31 Disember 2013 merupakan hari Selasa terakhir bagi tahun 2013.  Dramatik kan?  Hari ini umi bekerja dan ayah juga bekerja dan hari juga adalah hari Pendaftaran dan Taklimat kepada Ibu Bapa pelajar Tahun 1 Sesi 2014.  Kalau zaman kita sekolah dulu Darjah 1.


Muhammad Abid... berkaki ayam
tolong buka pagar hantar kakak ke sekolah

Tak sempat nak celoteh panjang lebar kat sini.  Walaupun tiada idea dan tak sempat nak fikir panjang... nak juga buat entry sebagai pembakar semangat kepada Irdina Huda yang telahpun mula mendapat kelasnya pada hari ini.  Kelas 1 Amanah.

Sampai ke sekolah se awal 8.30 pagi ... tidaklah awal sangat ada orang jam 8.00 pagi dah sampai... tetapi tidak masuk dalam kategori lewat ehhh ada orang jam 9.00 pagi baru sampai... itu urusan masing-masing macam-macam kerenah nak layan anak-anak pepagi nie...Maklumlah dah biasa bangun pagi tengok tv, jadi hari pertama ini agak lemau la sikit kan.

Sampai saja ke sekolah... (ulang ayat perenggan atas tadi sikti :P) konon-kononnya beratur untuk ambil kelas anak rupanya daftar dulu laaaa... terima kasih ada kawan-kawan tolong maklumkan kena hantar anak ke kelas dulu... cari nama pada yang tertulis di pintu kelas.  Pergi kelas hujung sekali.. terus jumpa nama Irdina di situ... masuk kelas cari tempat duduk... umi tunggu di luar sekejap kemudian terus daftar untuk ambil buku teks pula.  Dina kena tunggu dalam kelas ada ujian penentuan kelas...

Irdina Huda... peace!! 
Sempat lagi curi masa rakam gambar di atas pentas Dewan Terbuka SKIP.  Sejurus tamat pendaftaran orang dah tak ramai jadi tidaklah segan sangat.  :P  Ayah dah tunggu dalam kereta... nak cepat masuk kerja semula nie.




2 Januari 2014... sambung sekolah semula ehhh.  Esok cuti sambut Tahun Baharu 2014.

Jalan cerita berterabur sikit... sebab terus taip je ni... nak cepat sambung kerja dah dekat jam 2.00.

Semoga Irdina Huda belajar dengan baik dan menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.

Sekian.  Terima kasih semua kerana sudi meneruskan pembacaan kalian.

Pecah kaca pecah cermin
Sudah baca sila komen
:P

suka duka pentas dunia.

23 Disember 2013

Dia suka belon dan bola

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Dia memang suka belon dan bola.  Entah sudah berapa biji belon sudah berjaya dipecahkan.  Termasuk juga bola plastik.

Pernah satu hari beli dua biji bola plastik .. versi kanak-kanak la.  Ayah yang beria-ia sangat nak beli, kalau ikut umi memang tak layan dah.  Entah mengapa ayah kata dia cair bila anaknya merayu minta dibelikan mainan.  Ayah?!!!  Umi memang dah tak kuasa nak layan.

Tak ingat pula berapa hari belon kuning dan belon pink itu bertahan.  Adakah patut dicucuknya belon-belon tu dengan pensil... katanya nak tengok isi kat dalam.

Budak-budak... nak kata pelik memang dah begitu sifatnya kan...

Ayah pun dah tak terkata apa... mula-mula macam marah... tetapi dengar khabarnya si anak 'bodek' ayah sekali lagi nak beli belon ..... terpulang lah kat ayah...

Hari Sabtu lepas kami menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara ayahnya di Sitiawan.

Kalau ikutkan gelagat anak-anak memang umi dah tak segan... sebabnya memang anak-anak macam tu...  cuma umi mengharapkan jangan lah sampai jatuh atau rosak apa-apa barang yang berharga.


Tengoklah turutan gambar-gambar di bawah ni.... Umi suruh naik ke atas pentas nak tangkap gambar. Tetapi mereka berdua memang tak pandai posing... sudahnya umi dapat tangkap gambar 'candid' saja. :)



Mula-mula naik mata dah tenang kat benda alah tu.... geram sungguh rasanya... dah suruh ketengah sikit asyik... takmau..



Tengok... eiiii dicuit juga benda alah tu... nasib tak koyak atau pecah...



Dah kena jerit ... woi.. bukanlah kuat sangat... jerit manja gitu... barulah nak ke tengah sikit.

Lepas ni dan tak tau sampai bila... pasti akan diminta juga mana-mana belon yang dok bergayut depan kedai mainan.  Yang tak tahannya jeritannya ... memanglah... kalau tak berpaling semua orang memang bukan dia.

Kerenah anak-anak masa kecil... boleh lagi tahan kan... bila dah besar sikit...mudah-mudahan tidaklah sampai menyakitkan hati umi dan ayah.... boleh kan???


suka duka pentas dunia



02 Disember 2013

Ulang tahun kelahiran ke-6 | Irdina Huda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera





Apa khabar semua?
Saya Irdina Huda.  Hari ini 2 Disember 2013 genaplah usia saya 6 tahun.
Hari ini umi lewat keluarkan entri sempena ulang tahun kelahiran Dina kerana umi sibuk.  Banyak kerja katanya.  Tak sempat nak rancang majlis hari ulang tahun untuk Dina.

Tidak mengapa Dina amat memahaminya.  Memang umi sentiasa sibuk. 

Dina harap dapat makan kek untuk hari ulang tahun hari ini.  Dapat makan kek durian pun tak apa atau dodol durian.  Dina suka juga makan dodol.

Terima kasih kepada umi dan ayah di atas perhatian yang diberikan kepada Dina.


Selamat ulang tahun kelahiran ke-6 kepada Irdina Huda.
Semoga dipanjangkan umur dalam keberkatan dan rahmat dari Allah.
Semoga dimurahkan dengan rezeki yang halal lagi baik serta dikurniakan ilmu yang bermanfaat dan kekuatan jati diri.




suka duka pentas dunia


28 November 2013

Durian untuk sarapan pagi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Seperti biasa agak lewat sikit.  Peristiwa pagi tadi baru nak cerita tengahari ini.  

Apa kesah... kan ini blog caca marba... :P

Petang semalam ayah (encik suami .. tak boleh panggil abang depan anak-anak nanti mereka pun ikut sama ehhh) bawa balik durian.  Katanya beli dari kawan kat pejabat 4 biji RM24.00.  Mahal ke tidak dah tak berapa nak faham sekarang ni sebab banyak sangat versi harga durian.

Durian ini bukanlah durian versi musang king atau D24 tetapi durian dari kampung.

ada rupa kucing tidur??

bila fokus dekat sikit... ada lah rupa sikit kan?


Si 'Gebus' ini lah yang pagi-pagi lagi celik mata nampak bauh durian kat luar... terus suruh umi buka durian... nak makan.  Tak payah susah-susah bagi alasan 'pagi-pagi tak boleh makan durian'  tak laku punya... memang tak makan pujuk.  Tunggulah nanti suruh ayah kopek.


Ayah memang sporting habis... sebab ayah sendiri pun memang nak makan kan???
Si 'gebus' ni bersemangat nak makan bukan kepalang lagi... dah buka... baru makan seulas pun tak habis dah tak nak... hai anak anak...

si kakak pun tumpang 'setangan' makan durian jugak.. boleh habis ker...kakak makan habis punya.

Bukan jer anak-anak, umi dan ayah pun tumpang sama makan durian pagi-pagi... buat sarapan.

Agak-agak petang ni sempat tak nak buat kuah durian... tak pun aiskrim durian.  Tunggu dan lihat sajalah bila umi balik kerja nanti tengok apa jadi?


suka duka pentas dunia


27 September 2013

Jadual Ujian Pengesanan 2

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Zaman sekolah dari dulu sampai sekarang... setiap apa yang kita pelajari perlu disusul dengan ujian.  Bukan sekadar untuk menguji minda tetapi juga untuk menguji tahap kefahaman atas apa yang telah dipelajari.

Bukan sahaja sekolah menengah atau pelajar di Universiti yang akan berhadapan dengan ujian tetapi pelajar pra sekolah seperti PASTI juga akan turut merasa.  Yang berbeza hanya cara pelaksanaannya.

Berikut adalah jadual Ujian Pengesanan 2 bagi Irdina Huda.  Tak ingat pula bila Ujian Pengesanan 1. Memang dah ada tetapi tak sempat atau tak ingat nak cerita kat blog... huhuhu.  Kisah ujian sekolah anak-anak pun boleh jadi bahan dalam blog ... apatah lagi kisah-kisah lain yang kadang-kadang tiada kaitan.


Ujian Pengesanan 2

Ujian pengesanan 2 ini akan diadakan mulai 1 Oktober hingga 4 Oktober 2013.  Mudah-mudahan sepanjang tempoh tersebut Irdina Huda sentiasa sihat supaya dapat menduduki ujian dengan baik.


Irdina Huda

Selamat maju jaya buat anak umi... Irdina Huda.



25 September 2013

Hari Rabu Tanpa Kata

Assalamualaikum dan selamat sejahtera




Baguskan ada istilah 'Hari Rabu Tanpa Kata'.  Boleh bagi peluang kepada blogger yang malas nak tulis atau tiada idea sangat-sangat tetapi nak juga buat entry... buatlah entry yang ringkas tanpa banyak kata atau langsung tiada kata-kata hanya gambar sahaja.

Beginilah hasilnya bila setiap hari Rabu. :D

Mainan untuk Abid?
Apa saja asalkan duduk diam
Boleh umi bersiap dengan aman :P



Inas nak tidur
Kakak dodoikan yer
Nak kakak dodoi ke nak kakak pok?
Cepat-cepat pejam mata :P



Boleh la kan... kisah ringkas di hari Rabu.


Terima kasih.


01 September 2013

Jamuan Eidulfitri 2013 lagi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Pada asal rancangan memang umi dan ayah serta adik-adik dan PR akan turut serta dalam majlis Jamuan Eidulfitri PASTI SIDEC.  Sesungguhnya penentuan dariNya lebih pantas dari perancangan manusia yang kerdil ini.


Selamat Hari Raya Aidilfitri.  Maaf Zahir dan Batin


Hampir-hampir juga umi merajuk sendiri (tanpa sebab yang munasabah) tidak mahu hadir ke majlis berkenaan.  Sekali lagi semangat untuk mengembirakan anak-anak mengatasi rajuk yang tidak berasas itu.
Pagi itu, agak mendung kelihatan pada mata kasar seperti hujan akan turun pada bila-bila masa... maka sedikit sebanyak melembapkan tindakan umi untuk bersiap.  Anak-anak (Dina dan Inas) dah lama bersiap, sementera tunggu umi siap... mereka bermain di luar... gembira ria hendak menyambut hari raya...

"Umi dah siap ke?  Tiba-tiba soalan itu mengejutkan umi dari lamunan.  Terhenti seketika hasrat hati yang membatu tadi... terus saja menyiapkan diri dengan gaya yang sepatutnya....

Maka kesunyian pagi itu (dah jam 9.00 pagi pun), dipecahkan dengan derungan enjin motor Yamaha EGO. Dua kali berangkut dari rumah ke PASTI SIDEC, mula-mula bawa Dina kemudian bawa Inas pula.  Tak berani umi nak bawa dua-dua sekali.  Bila difikirkan semual memang betulkan ego seorang umi sedikit sebanyak pasti terlerai dengan suara pujukan anak-anak.  Tiada guna mengeraskan hati dan membatukan diri hanya kerana perkara kecil.

Tiba di majlis... belum lagi bermula.  Ambil tempat duduk yang masih lagi kosong walaupun berhimpit tetapi selesa kerana anak-anak pun tak kisah sangat dengan suasana riuh ... dan yang pastinya Inas Insyirah merupakan anak yang paling teruja dengan situasi itu tanpa menyedari bahawa usianya belum lagi layak untuk didaftarkan di PASTI hanya badannya sahaja yang mendahului usia.


Inas Insyirah, seperti biasa tidak suka dirakam wajahnya.


Muram kerana tak dapat belon atau kena tolak?


Inas tak kisah walaupun kena tolak... yang dikisahkannya adalah belon!!!


belon idaman yang menjadi rebutan.  Syukur masih makan pujuk...
janji nanti ayah belikan belon banyak2 yer... 


Majlis Jamuan Eidulfitri berkenaan juga dipenuhi dengan acara pemberian hadiah kepada anak-anak PASTI yang berpuasa penuh sepanjang Ramadhan (29 hari).  Tiga orang semuanya.  Tak dapat nak rakam gambar mereka sebab pemberian hadiah di ruang depan... umi pula duduk makan di dalam.

Sementara itu, majlis berkenaan juga dihiasi dengan acara cabutan nombor bertuah.  Suka kan?

Tiba masa untuk pulang.. Inas dah buat projek senyap-senyap.  Makan sudah, minum pun sudah apa lagi. Sementara mencari selipar Inas dan kasut umi yang terpelanting entah ke mana... tiba-tiba terdengar panggilan 019... antara sedar dengan tidak Dina menunjukkan nombor pada kertasnya kepada pengacara... eh..... betullah, hadiah tu untuk Dina.

Okey... tinggal dulu Dina pada ustazah kat PASTI, masih ramai lagi orang.  Umi nak hantar Inas balik.

Dah hantar Inas balik rumah... datang semula ke PASTI untuk ambil Dina.  Ustaz Ismi sedang memberi ceramah/tazkirah ringkas mengenai keperluan pendidikan anak-anak.  Pesanan ringkas yang padat dan bernas sekali.


Irdina Huda bergambar bersama HUDA (maskot PASTI) dan hadiah cabutan bertuah.  Eh... ada gangguan pulak.


sampai senget-senget mata dan mulut Dina menahan panas.


Irdina Huda, umurnya bakal mencecah 6 tahun pada Disember nanti...lambat lagi.  Nak buat majlis hari jadi kat PASTI memang tak dapatlah sebab musim cuti sekolah... tapi tak per nanti umi dan ayah usahakan juga ... demimu wahai anakku.


Sekian adanya...untuk renungan dan ingatan diri ini... "apa yang kita tidak suka ada kebaikan disebaliknya"... ikhtiar dan tawakkal semoga bergembira dengan ketentuan dariNya.

Terima kasih.

22 Ogos 2013

Sarapan Pagi dengan Popia Simpul Kasih

Assalamualaikum dan selamat sejahtera 1Malaysia




Jom makan popia simpul.  Pagi ini alif dan Diena sarapan dengan Popia simpul dan popia mini hasil air tangan umi.  Masih panas lagi, baru digoreng semasa Alif mandi tadi.  

Alif dan Diena suka minum milo suam sebelum pergi sekolah.  Minum milo boleh memberi tenaga kepada Alif.  Selalunya Alif minum milo bersama roti bakar, tetapi hari ini buat pertama kali Alif bersarapan dengan popia mini.  Alif suka sangat, tambah ceria dan bersemangat nak ke sekolah.  

Malam tadi umi Alif simpul popia dan juga gulung popia mini.  Alif lebih suka makan popia mini.  Sebab rasanya sedap dan memang ikut citarasa Alif.  Kawan-kawan Alif pun suka makan popia mini.  Sedap!!!



Ini adalah rupa popia simpul umi Alif buat malam tadi.  Memang tak sabar nak tunggu makan.  Malam tadi Alif dah minta Umi goreng tetapi Umi tak mahu, katanya nak goreng pagi esok (pagi ini lah).  Dan lagi pula umi nak tunggu ayah balik biar ayah yang rasa dulu... Alif sayang ayah.



Gambar popia simpul lagi.  Tak banyak popia mini yang umi buat.  Umi kata lebih suka buat popia simpul sebab senang sangat.  Walaupun begitu umi buat juga popia mini untuk Alif.  Alif sayang umi juga.

Sekian dulu, untuk hari ini.  Oleh kerana umi bekerja hari ini, cerita sarapan pagi tadi umi hanya publishkan petang ... dah nak malam pun.

Terima kasih.  Jumpa lagi.

31 Julai 2013

Wordless Wednesday | Malam Berinai 2 Anak Gadis Menjelang Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Tanpa paluan kompang mahupun renjisan air mawar.  Yang ada hanyalah bunyi bising daun inai ditumbuk dengan alu dan lesung. :D

Malam tadi dengan gigihnya emak dara menginaikan anak gadisnya yang berdua...







Entah mana dulu mana kemudian...

23 Jun 2013

Aksi Model 3 beradik di Warung Lesung Batu Seri Iskandar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Seperti biasa setiap hari Ahad (walaupun sebolehnya tak mahu dibiasakan) sekeluarga akan bersarapan bersama-sama satu keluarga di luar di mana-mana warung atau restoran pilihan.

Hari ini (23 Jun 2013) kami bersarapan di Warung Lesung Baru hanya berlima tidak enam atau tujuh.  Ini adalah kerana yang lagi satu sudahpun ketiduran awal kerana bangunnya lagi awal.

Tidak mahu skema sangat dengan gambar-gambar makanan yang dimakan atau senarai hidangan yang disediakan, tetapi kali ini lebih kepada aksi 3 beradik selepas makan... dang dang dut tali kecapi, kenyang perut suka hati.

Aksi pertama... jom tayang gigi.
Tidak mudah sebenarnya nak tangkap gambar mereka bertiga terutama dalam keadaan spontan, apalagi kalau disusun atur.  Terutama si boolat yang bertopi 'crochet' putih tu... susah sangat nak bergambar.


Dapat tangkap gambar berdua begini lagi la susah.  Inilah satu-satunya yang ada buat permulaan.  hasrat hati nak tangkap sekali lagi sebab ada gangguan di sebelah... ala-ala power rangers.  Tetapi tak upaya sebab dah lari pula si topi putih tu


Dalam pada dok sibuk nak 'shooting' tiba terhenti pulak... model asyik berbincang pula.  Kalau tak silap mereka terjumpa lebah kecil hinggap pada bunga.


Alahai! model yang sorang ni macam la dah ready tapi tak berapa steady pula... jadilah dulu


Model yang sorang ni tak habis lagi dengan milo ais nye... Dari tadi dok usung gelas tu ke sana ke mari.  Nasib baik tak tumpah... kalau tidak habis la prop. Eh!!


Nak tayang sikit topi 'crochet' yang dipakai oleh model cilik ni.  Topi itu adalah hasil kerja tangan umi ketika model ini berusia 1 bulan lagi.  Oleh kerana tersimpan agak lama, pagi tadi sempat selongkar beg simpanan baju lama... terjumpa pula. Mujur jugalah model nak pakai.


Akhir sekali, setelah selesai sesi 'shooting' model buat perbincangan semula bagi mendapatkan hasil yang lebih menarik untuk sesi 'photo shoot' akan datang.


Sekian adanya kisah tidak semenggah mengenai model 3 beradik di Warung Lesung Batu Seri Iskandar.






14 Mei 2013

Pada usia 7 bulan

As salam,


aksi akrobatik yang skema

Bulan lepas, pada tarikh 15 April 2013 genap sudah umur Muhammad Abid 6 bulan 1 hari.  Di usia 6 bulan Abid sudah berikan banyak perkembangan menarik dan sudah pandai buat ragam.  Gambar di atas adalah salah satu daripada aksi Abid di usia antara 4 - 5 bulan.

Muhammad Abid dan Kakaknya Irdina Huda

Dan hari ini 14 Mei 2013, genap 7 bulan usia Muhammad Abid, sudah kurang aktiviti akrobatik dilakukan... lega!!! Sebaliknya lebih kepada merengek dan tidak mahu dilepaskan.  Letak sekejap dah berbunyi... nak buat kerja apa semua kena gendong (bawa) dia.

Banyak sebenarnya nak cerita mengenai aktiviti Abid, tetapi tertangguh buat sementara waktu.  Nanti bila-bila lapang umi buat cerita baru.




02 Oktober 2012

Meraikan tetamu

As salam

Kehadiran tetamu memang tak kira waktu.  Tanpa kita jangka tetamu akan datang ke rumah kita walaupun bukan pada hari Rumah Terbuka.  Tetapi bukankah adat kita orang Melayu, kehadiran tetamu harus diraikan tak kira masa.  Cuma bila dah jadi tetamu pandai-pandailah bahagi masa nak pergi rumah orang, jangan ikut suka hingga mengganggu masa dan hak peribadi orang yang di kunjungi.




Tidak berhasrat nak menghalau tetamu atau tidak bagi orang datang rumah. Jangan pula lepas ni, langsung tiada orang datang berkunjung ke rumah.  Tetamu yang hadir ke rumah kita adakalanya membawa rezeki dan tuah. Tak baik baik bermasam muka ketika tetamu datang ke rumah.  Raikan tetamu, sembunyikan rasa yang terbuku.  Senyumlah, bahagiakan tetamu.



 
 
Walau dalam apa juga keadaan kehadiran tetamu hendaklah diberi makan dan minum walau sekadar biskut tawar dan teh o 'bujang'.  Jangan dibiarkan tetamu itu kekeringan dan tidak dihiraukan.  Meraikan tetamu itu kan sunnah nabi.
 
 

 
 
Eh!  korang perasan tak, sepanjang aye berceloteh tadi dua 'ekor' tetamu cilik ini sering berkeliaran di atas hingga ke sini. 
 
Sebenarnya 'mereka' adalah mainan anak-anak yang baru dibeli.  Bermata biru tu kucing milik Dina Huda dan bermata merah pula arnab milik Inas Insyirah.  Pergerakan 'mereka' menggunakan bateri.  Tak tidur lah tuan mereka malam tu kerana asyik dok mengejar 'tetamu cilik' ni.  Hinggalah bateri dah lemah dan 'tetamu' mereka pun dah tak larat nak bergerak barulah dua beradik tu tertidur dan tidur pun peluk arnab dan kucing tu.

Itulah anak-anak kan...

Erk!  nak sambung sikit lagi, jangan pula korang andaikan tetamu tu macam arnab dan kucing kat atas neh... tak baik tau.  Tetamu tu tetaplah tetamu dan mainan kat atas tu tiada kaitan langsung dengan tetamu kat rumah nie...


'suka duka pentas dunia'


Carian