Pageviews

18 Julai 2013

Akan Adakah Peluang Kedua

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Dengan tulus, aye ingin kongsikan di sini kisah dan teladan yang mungkin anda pernah baca di mana-mana. Sekiranya telah baca jadikan ia sebagai ulangan dan sekiranya belum lagi baca... bacalah kisah ini semoga dapat dijadikan panduan untuk melestarikan hidup di dunia.


AKAN ADAKAH PELUANG KEDUA?

Mereka telah berumahtangga melebihi tiga dekad dan kedua-dua anak mereka telah membina keluarga masing-masing, tinggal berasingan di daerah lain.  Aishah kini melalui empty nest syndrome, hanya tinggal bersama suaminya, Mohd Razif yang masih bekerja, di penghujung kerjayanya.  Saban tahun mereka meraikan hari ulang tahun perkahwinan, hinggalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini hubungan mereka melalui perubahan.  Kerapkali berlaku perselisihan antara mereka walaupun atas perkara remeh sahaja.  Sesungguhnya jauh di sudut hati, mereka tidak suka kepada perubahan dalam hubungan mereka itu.

Pada hari ulang tahun perkahwinan mereka yang lepas, Aishah begitu teruja menunggu kepulangan suaminya, Mohd Razif.  Sejak mereka menjadi suami isteri, banyak perubahan telah berlaku dalam hubungan mereka, namun kali ini Aishah berazam untuk cuba memperbaikinya.  Pasangan itu yang suatu masa dahulu umpama tidak boleh dipisahkan, kini telah semakin ‘hangat’ dek perselisihan antara mereka yang tidak habis-habis.  Seolah-olah sekarang ini mereka hanya nampak kelemahan dan kesilapan pasangan, bukan lagi seperti baru-baru mereka berkahwin dahulu, semuanya baik belaka.  Hari itu Aishah ingin melihat kalau Razif ingat pada tarikh penting dalam hidup mereka suami isteri.

Apabila terdengar bunyi loceng di pintu, Aishah meluru membukanya dan dapat melihat suaminya basah kuyup, sambil tersenyum menggenggam sejambak bunga di tangannya.  Aishah tergamam lalu tanpa banyak bicara kedua-duanya terus ke ruang tamu.  Aishah ternyata sangat gembira dengan ingatan Razif terhadap hari ulang tahun mereka.  Di saat itu mereka seolah-olah dapat melupakan masalah yang dihadapi, pertengkaran yang sering terjadi dan kerenggangan hubungan yang sedang mereka lalui.  Masing-masing meluahkan penyesalan terhadap apa yang berlaku sebelum ini dan berazam untuk memperbaikinya.

Perbualan mereka terhenti apabila telefon di bilik tidur berdering.  Aishah menjawabnya dan seorang lelaki di hujung sana berkata, “Assalamualaikum puan, saya membuat panggilan daripada balai polis.  Adakah ini nombor telefon Encik Mohd Razif Osman?”  Jawab Aishah, “Ya” dan lelaki itu berkata lagi, “Maafkan saya puan, ada kemalangan dan seorang lelaki telah meninggal dunia.  Kami dapat nombor ini daripada dompetnya.  Kami perlukan puan datang ke sini untuk mengecam jasadnya”.

Hancur luluh hati Aishah dibuatnya, dia tidak percaya apa yang didengarinya.  “Tapi suami saya ada di sini bersama saya!” katanya bersungguh-sungguh.  “Maaf puan, kejadian itu berlaku pukul 2 petang tadi, semasa dia hendak menaiki keretapi,” lelaki itu meyakinkan.  Aishah hampir hilang pertimbangan mendengar penjelasan lelaki itu.  Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku, bisik hatinya kebingungan.  Sebelum ini dia pernah terdengar juga ada cerita mengenai roh yang datang menemui orang tersayang sebelum ia meninggalkannya.

Aishah bergegas semula ke ruang tamu dan mendapati Razif tiada di situ.  Ya, betul! bisiknya hampa.  Razif telah pergi buat selamanya.  Rohnya yang datang tadi ingin mengucapkan selamat tinggal! Aishah tersungkur ke lantai merasai hidupnya begitu kosong seraya berdoa, “Ya Allah, berilah aku peluang sekali lagi bertemu suamiku, ingin ku cium tangannya memohon ampun terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan kami.  Ingin ku perbaiki hubungan kami suami isteri.  Berilah aku peluang menjadi penawar dalam hidupnya, penyejuk hatinya dan jadi isteri yang solehah, ya Allah.”  Bercucuran air mata Aishah penuh keinsafan dan pengharapan daripada Allah.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi dari bilik air dan kelihatan Razif membuka pintu sambil berkata, “Sayang, abang terlupa nak bagitau yang dompet abang dicuri orang tengahari tadi.”

KITA MUNGKIN TIDAK DAPAT PELUANG KEDUA, JADI JANGAN SIA-SIAKAN SAAT-SAAT YANG TERLUANG UNTUK MEMPERBAIKI APA JUA KESILAPAN KITA.

Jika diizinkan Allah kita akan menemui sekali lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kebaikan dalam beberapa hari sahaja lagi, jadi marilah sama-sama kita berubah ke arah membuat kebaikan, terutamanya kepada kedua orang tua kita, suami atau isteri kita, adik-beradik, rakan taulan dan ramai lagi.

Kita tidak tahu sama ada kita akan ada lagi di hari esok atau tidak, maka eloklah kita menikmati kehidupan ini dengan sebaik-baiknya tanpa perlu apa-apa penyesalan di kemudian hari.





Sekian adanya.  Semoga bermanfaat.

Pagi yang panas atau hati yang panas

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



Matahari pagi mula menampakkan sinarnya disebalik kabus pagi yang mula berserakan.

Pagi yang dingin dihangatkan dengan pemandangan di halaman yang tercemar.

Panasnya hati tidak bisa disejukkan oleh dinginnya pagi yang kesamaran.

Bagaimana hati tidak panas bila melihatkan sampah sarap berselerakan di depan halaman.

Menanti peluang dan cara untuk melupuskan sampah sarap itu yang kian hari kian memanaskan suasana dan mencemarkan pemandangan indahnya alam.

Semoga kesabaran ini terus bertakhta di dalam diri.

Sekian. 

SUKA DUKA PENTAS DUNIA

Amalan yang mendekatkan sesama manusia

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


gambar hiasan

Amalan yang dapat mendekatkanmu kepada Allah adalah Anda memperbanyak doa (meminta dan memohon) kepada-Nya. Adapun amalan yang dapat mendekatkanmu kepada sesama manusia adalah Anda meninggalkan meminta-minta kepada mereka.
(Abu Bakar al-Warraq)

16 Julai 2013

Pengalaman ketika berbuka puasa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


Gangguan anak kecil semasa berbuka puasa adalah lumrah
dan berlaku hanya ketika mereka kecil sahaja.
Bila dah dewasa tiada lagi pengalaman gangguan.
Gambar hiasan

Pengalaman berbuka puasa dengan anak-anak semasa kecil sungguh luar biasa.  Kerana situasi sebegini tidak akan berlaku lagi apabila mereka sudah dewasa.  Dan... ketika itu kita pasti akan terasa rindu dengan pengalaman lalu yang datangnya hanya sekali dan tak mungkin berulang lagi.

Begitu juga ketika kita kecil, mungkin sekarang tidak ingat lagi apa yang telah kita lakukan semasa ibu bapa kita berbuka puasa.  Paling tidak ingatan yang masih segar atau tinggal cebisan kenangan adalah ketika sekolah rendah sehingga sekolah menengah.

Agaknya bagaimana pula kesabaran ibu bapa berhadapan dengan kerenah kita semasa kecil ketika mereka berbuka puasa.  Memang kita tidak ingat apa-apa.  Bagi aye sekarang baru teringat nak tanya tapi .... sudah terlambat kerana 'penyimpan' rahsia itu telahpun pergi bertemu penciptanya pada 2 Ramadhan yang lepas.

Pengalaman masa lalu sungguh berharga.  Mungkin juga semasa kita berhadapan dengan pengalaman itu kita tidak sedar.  Jadi adalah baik kita sentiasa berkelakuan baik agar pengalaman itu dapat dikongsikan dengan anak cucu kita.  Pengalaman yang baik sudah pasti memberikan kesan yang baik kepada generasi akan datang.  Sebaliknya pengalaman yang tidak baik itu sebaiknya disimpan jauh agar Allah memeliharanya. Tidak perlu di ungkit-ungkit lagi.

Untuk itu, hargailah pengalaman yang anda lalui sekarang.

Panjang pula celoteh malam ini.  Semoga tiada yang jemu atau bosan.

Tidak suka tetapi terpaksa buat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera




Tidak suka tetapi terpaksa buat juga.

Dalam sesetengah situasi kita memang tidak suka memberi amaran atau arahan kepada seseorang tetapi bila perjalanan urusan itu kelihatan seperti pincang dan tergendala, maka memang terpaksa bagi arahan dan amaran.

Kita andaikan bahawa kita juga tidak suka terima arahan atau amaran tambahan lagi surat amaran atau surat peringatan.  Memang tidak suka langsung.  Begitulah juga kita andaikan orang lain juga begitu. 

Kita andaikan bahawa senarai tugas yang diberikan sudah jelas bila diikuti dengan pertemuan dan perbincangan 'face to face'.  

Kita harap penjelasan yang diberikan tidak memerlukan kita mengeluarkan surat arahan atau surat peringatan.  Kerana semua orang sudah tahu dan mahir dengan tugasnya.  Sedikit kesilapan sesekali boleh dimaafkan.  

Tetapi untuk menjadi seorang pengurus yang berjaya bukanlah semudah membuat perjumpaan atau perbincangan.  Ia lebih dari itu, menuntut kesabaran, kekuatan semangat dan kecekalan hati.  

Bahkan lebih dari itu, kita memerlukan semangat dan kejujuran yang tinggi dalam membuat penilaian ke atas perlaksanaan sesuatu tanggungjawab.

Semoga apa yang dilakukan pada hari ini adalah yang terbaik untuk semua pihak dan tidak mendatangkan kemudaratan dikemudian.

Sabarlah hati...


(*-*)

Monolog 7 Ramadhan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


corak hiasan sempena Ramadhan

Hari ini ketika catatan ini ditulis, merupakan hari Ramadhan ke-7 tahun 1434 Hijrah.

Perasaan ketika ini masih lagi tidak menentu dengan campuran kerinduan kepada bonda tersayang.  

Lalu kerinduan itu membataskan pergerakan dan segala rasa.  

Bukan kerana keterbatasan pergerakan di bulan Ramadhan tetapi perasaan yang tersekat-sekat dan sukar digambarkan sama ada melalui tulisan atau secara lisan.

Dibiarkan saja kerinduan ini bertapa di sudut hati ini.

Maaf, catatan ini masih lagi berbau keringat yang hilang bersama penatnya hati menahan kerinduan.

Semoga memahami, monolog ini masih lagi berlagu sayu dan sendu.

*-*


Renungkan sejenak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


gambar hiasan

Semoga Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada seorang hamba yang mau merenung sejenak ketika akan melakukan sesuatu, apabila ia melakukannya karena Allah ia pun maju dan bersegera mengamalkannya, tetapi apabila ia melakukannya karena selain Allah ia pun mundur dan tidak jadi melakukannya.
(Al-Hasan)



15 Julai 2013

Dia Sudah Tiada Di Dunia Yang Fana

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Taman Bonda

Dia sudah tiada lagi di dunia yang fana ini
Bersemadi di alam barzakh 
Pada 2 Ramadhan 1434
Setelah 10 tahun pemergian suaminya yang tercinta

Aye maksudkan di sini ialah bonda tercinta
Tentu anda telah membaca mengenai cerita mengenai Pengalaman Hari Pertama Ramadhan 1434 
Dan pengalaman itu kini telah menjadi pengalaman terakhir dalam hidup kami sekeluarga..

Rentetan peristiwa di atas menjadikan aye lemau dalam menerbitkan cerita di blog ini.  Hasrat nak buat biografi mengenai bonda... mudah-mudahan dipermudahkan.

Al fatihah.  Semoga roh bonda tercinta ditempatkan disamping roh orang-orang yang soleh.


14 Julai 2013

Ilmu yang paling baik

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

corak hiasan

Ilmu yang paling baik adalah ilmu yang bermanfaat, dan sesungguhnya Allah Subhaanahu Wata'ala memberikan manfaat ilmu itu kepada orang yang mengetahuinya kemudian mengamalkannya. Dia tidak memberikan manfaat kepada orang yang mengetahuinya, tapi ia meninggalkannya (dan tidak mengamalkanya).
(Salah seorang ahli hikmah)