Pengikut Setia

Memaparkan catatan dengan label Monolog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Monolog. Papar semua catatan

30 Jun 2020

Hargai Peluang | Zikir Hari Selasa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



Hargai Peluang | Zikir Hari Selasa


Zikir Hari Selasa


HARGAI PELUANG

Semua orang ada PELUANG,
Ambil segera jangan DIBUANG.

Ada PELUANG jangan TERLEPAS,
PELUANG pergi tinggallah HAMPAS.

PELUANG berada DIMANA-MANA,
Gunakanlah PELUANG dengan BIJAKSANA.

Dulu disebut PELUANG KEEMASAN,
Jangan sampai ditimpa KECEMASAN.

Rebutlah PELUANG semasa ADA,
Tak guna menyesal sesudah TIADA.

PELUANG itu satu KESEMPATAN,
Murah REZEKI sumber PENDAPATAN.

PELUANG datang dari SINI SANA,
REZEKI muncul tanpa RENCANA.

PELUANG mungkin dilain TEMPAT,
Ada REZEKI InshaAllah DAPAT.

Jika sungguh nak cari PELUANG,
Jangan takut untuk BERJUANG.

Jika tidak diberi PELUANG,
Cuba lagi ada masa TERLUANG.

PELUANG hadir pada LAIN MASA,
TABAHKAN HATI jangan PUTUS ASA.

HARGAIlah PELUANG yang ALLAH BERI,
PELUANG HIDUP SEBELUM MATI.

#quotephotovideo
#woocipz

21 Jun 2020

[Selamat Hari Bapa] Setelah ada anak lelaki dan anak perempuan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera




Setelah ada anak lelaki dan anak perempuan


Alhamdulillah, anak sulung saya Allah beri seorang lelaki
Jujur saya akui
Setelah sekian lama mengharap dan berdoa
Masa yang berlalu dirasakan terlalu lama
hampir saja rasa kosong
namun masih juga mengharap dan segera sedar sepenuhnya
kerana doa dan harapan itu pemilik makbulnya ada Allah



Masa pertama kali mengetahui dalam rahim ini ada penghuni
Sungguh tidak percaya namun yakin doa itu telah dimakbulkan
Lantas segera mengharap agar penghuni itu seorang lelaki 
yang kelak merupakan anak soleh dan penjaga maruah keluarga dan agama
Besar sungguh pengharapan
Hari-hari yang berlalu itulah pengharapan yang dipanjatkan

Setelah lahirnya insan suci itu
Terasa sungguh semangat seorang ibu
Cabaran yang dilalui diharungi dengan sabar
Kerana itulah pengharapan dan doa yang sering dialunkan dahulu

Mak sentiasa pesan,
Ada anak jangan ambil mudah
Jangan buat tak endah
Tanggungjawab nya berat
Tugasnya tak kurang besar
Jaga anak baik-baik didik elok-elok

Tidak berapa lama
adik perempuannya pula menyusul
Terasa sungguh luar biasa
Ada anak lelaki dan perempuan
Sudah lengkapkah hidup berumahtangga

Mak berpesan lagi,
Ada anak perempuan jaga elok-elok
perempuan tak sama dengan anak lelaki
Tanggungjawabnya juga berat
lebih berat lagi dari jaga anak lelaki

Bila ada anak perempuan
Anak perempuan jangan dibeli pakaian seksi
Biarpuan ketika kecil harus diajar berpakaian murni
Bukanlah mahu diajar anak bertudung litup
Tapi cukup mengajar anak berpakaian sopan
Ajari mereka pakaian sopan tidak terdedah sana sini
Tidak ketat menonjol
Ajarkan mereka erti malu
Ajari mereka menikmati zaman kanak kanak dengan jiwa murni
bila dewasa mereka mudah mengerti

Bila ada anak perempuan
Didik dengan elok dengan jiwa suci
Usah dibiar tidur sana sini
Ajari mereka tidur setempat di dalam bilik
Biar selamat dari angkara
Bahayanya ada dimana mana
Jangan percaya kepada sesiapa

Bila ada anak perempuan
Sentiasa temani mereka
Santuni mereka dengan elok
Biar kita susah hari ini
Dari menangis dikemudian hari

Bila ada anak perempuan
Ajarkan mereka tentang harga diri
Ajar mereka untuk sayang diri sendiri
Kerena diri mereka sangat berharga

Bila ada anak perempuan
terangkan kepada mereka urusan wanita
biar berperingkat ikut usia
biar mula dari awal
Usah malu untuk memberi ilmu
Bimbang mereka cari di tempat salah

Bila ada anak perempuan
Pilihlah rakan untuk mereka
Kenali siapa kawan mereka
Rakan yang baik atau pemusnah
Biar rakan bawa ke syurga bukan bawa ke neraka
Mampukah kita
In shaa Allah, semoga dipermudahkan Allah

Bila ada anak perempuan
Selalu lah diperiksa bilik dan beg mereka
Apa yang dikongsi apa yang ditulis
Ambil tahu kerana kita peduli

Bila tiba saatnya mereka bakal hidup berjauhan
Sentiasa ingatkan mereka
Jagalah diri baik baik
Jagalah maruah diri
Jagalah maruah keluarga
Ingat sentiasa pesanan kita

Biarlah orang kata kita kolot
Biarlah orang kata kita syadid

Bila ada anak perempuan
Berdoalah,
Mohon dijaga kehormatan diri mereka
Mohon dijaga keselamatan mereka
Moga moga Allah jaga dan lindung...

.....
Perkongsian semula sempena Hari Bapa 2020

Terima kasih.

.

16 Jun 2020

[Monolog] Jangan pernah lelah baiki diri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



[Monolog] Jangan pernah lelah baiki diri


Jangan pernah lelah untuk memperbaiki diri. Sebab Allah tak pernah lelah memberikan nikmat-nikmatNya



Setiap hamba berhak menjadikan hidupnya lebih baik dari masa kemasa, tak peduli ia mempunyai masa lalu yang seperti apa sebab hidup akan terus berjalan hingga pada saatnya berhenti dengan sebuah kata “Mati”

Maka, sebelum mati menghampiri kita, pandailah untuk menjaga diri kita, terutama hati yang kita miliki sebab hati adalah sumber bagaimana kita akan menjalani hidup dalam menghamba kepada Allah,

Allah  yang telah memberi kita nikmat hidup didunia ini.

Oleh karena itu jangan pernah lelah memperbaiki diri, sebab Allah tidak pernah lelah memberi nikmat-nikmatnya kepada kita, tugas kita hanya yakin bahwa Allah akan selalu menjadikan hidup kita lebih baik saat kita sendiri mampu berusaha untuk terus memperbaiki diri.


Terima kasih kerana tidak pernah lelah kunjungi blog ini.

💕


15 Jun 2020

Salah faham tidak mahu bertanya buat andaian sendiri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Salah faham tidak mahu bertanya buat andaian sendiri



Salah faham kerana tidak mahu bertanya
Salah faham kerana percaya pada pandangan mata kasar
Salah faham kerana percaya pada cakap-cakap orang
Salah faham kerana tidak mahu bertanya



Sedangkan apa yang kita nampak biarpun dengan mata sendiri belum tentu itulah gambaran sebenar
Apa yang orang cakap tidak semestinya tepat walaupun dengar seperti betul
Apa yang kita tahu hasil dari cakap-cakap orang jarang sekali itulah sebenarnya

Lagi menjadi salah bila apa yang kita faham itu salah dan tidak bertanya
Dan... lagi menjadi kesalahan bila kita percaya dengan perkhabaran yang salah tetapi kita sebarkan.

Tidak pasti jangan sebarkan.
Jangan sampai kita menjadi agen penyebar berita salah.



09 Jun 2020

Monolog: Bertemu dengan sesuatu yang tidak diundang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Bertemu dengan sesuatu yang tidak diundang


Bertemu dengan sesuatu yang tidak diundang itulah yang dinamakan TAKDIR.  Amat jarang atau mungkin tidak pernah kita merancang untuk berjumpa dengan sesuatu yang tak dijangka itu

Takdir kadang-kadang mempertemukan kita sesuatu yang tidak diundang member apa yang tidak dirancang.  Memaksa kita mengalirkan air mata kesedihan serta membuatkan kita rasa kehilangan.


Gambar hiasan:  koleksi peribadi


Namun takdir juga menerpa kita dengan erti perkenalan.  Menyulam erti kasih sayang, menanam erti persahabatan, menghadiah kemanisan dalam kegembiraan.

Menyemai benih keakraban serta memberi  peluang menilai erti siapa sahabat, siapa kawan dan siapa sekadar kenalan yang mengisi ruang dalam episod kehidupan.

Itulah TAKDIR. Seringkali menjadikan kita insan yang istimewa dan perlu bersedia dengan segala kemungkinnan.

💦

11 September 2016

Saat Arafah Menjelang Tiba

Saat Arafah Menjelang Tiba


Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Saat Arafah Menjelang Tiba
Muhasabah diri menjelang tibanya Arafah
Saat kesibukan tidak terhingga
Saat mereka tidak pedulikan hal dunia
Saat mereka bersabar di tahap yang paling tinggi

Saat Arafah Menjelang Tiba
Kita di sini... sibuk sangatkah
Mungkin juga... sibuk dengan urusan dunia
Astaghfirullah... semoga Allah ampuni kekhilafan kita

Saat Arafah Menjelang Tiba
Sibuk kita dengan urusan dunia
Jangan sampai terleka
Andainya kita terleka itu adalah kelemahan kita
Lemah dalam mengatur hidup

Saat Arafah Menjelang Tiba
Kita di sini... mampukah bersabar
Urusan di sini... tidak sesibuk urusan di sana

Saat Arafah Menjelang Tiba
Semoga Allah mengampuni dosa kita yang telah lalu dan yang akan datang.



Zikir terbaik hari Arafah

Banyakkan zikrullah pada hari Arafah antaranya :

لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ الْمَلِكُ وَلَهُ الْحَمْدُ ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sabda nabi s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi:

” خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي : لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ الْمَلِكُ وَلَهُ الْحَمْدُ ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ “

Maksudnya : Sebaik-baik doa adalah doa hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan adalah La Ilaaha IllAllah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai-in qadir

Di Hari Arafah ini Allah paling banyak membebaskan manusia dari Neraka.

Rasulullah bersabda,

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

"Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari Neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: apa yang mereka inginkan?” (HR. Musim, no.1348)


Terima kasih baca entri ini, Saat Arafah Menjelang Tiba.
posted from Bloggeroid

25 Julai 2016

Mengalah bukan kalah

Mengalah bukan kalah



Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Mengalah bukan kalah tetapi kerana memberi peluang kepada diri untuk menilai di mana silapnya. Apakah kesilapan ini kecil atau besar impaknya.  Bagaimana kita hendak menjatuhkan kesalahan dan kesilapan itu kepada orang lain sedangkan kita sendiri tidak pasti dengan keadaannya yang sebenar pada ketika itu.  Biarpun kita tahu dia memang suka mencari penyakit....




Mengalah kerana memberi peluang untuk diri mencari keamanan.

Kecelaruan yang menimpa ini kadang-kadang perlu juga diamankan dengan cara mengalah.

Biarpun perit untuk menelannya tetapi itulah yang harus dilakukan.  Agar diri ini bisa berdiri sendiri tanpa menyusahkan orang lain.

Betapalah ego kita kadang-kadang kuat menguasai diri sehingga tidak mampu mengalah dan sentiasa membayangkan bahawa kita saja yang betul.

Kejadian hari ini berkait rapat dengan kejadian beberapa hari lepas. Bagaimana hendak digambarkan?

Tetapi peristiwa ini mengajar diri untuk mengalah dan membiarkan ia berlalu dengan sendirinya. Tidak perlu diberi kawalan kerana minda kita ini amat terhad.  Kuasa kita juga terhad.

Selagi boleh belajar, belajarlah untuk menerima seadanya apa yang berlaku.

Jadikan pengajaran dan pedoman di masa hadapan.


Terima kasih sudi membaca entri ini Mengalah bukan kalah.

23 Mei 2016

Sepi Itu Anugerah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Sepi itu anugerah


Aku yang sepi
aku yang sengaja begini
Sesekali selesa sendiri
menyepikan diri

Aku kini begini
biarkan aku seketika
mengukur khilaf
dalam diri sendiri

Aku yang menyepi
Aku yang berlari
Mencari erti diri
Mengenal mehnah diri
Mengusir resah layar lara
Memupuk kembali jati diri
Menjadi insani sejati
Menuju hidup penuh maknawi
Biar mati kelak meninggalkan yang baik untuk dikenang
Agar berkat sepanjang zaman seluruh pusaka

sepi itu indah
sepi itu anugerah
sepi itu rindu
sepi itu salam



nukilan: Yangbaik | 21 Mei 2016, 10:35 mlm

posted from Bloggeroid

19 Mei 2016

Terhempas lagi

Terhempas lagi


Assalamualaikum dan selamat sejahtera




Terhempas lagi hati dan perasaan ini
Membuahkan satu rasa keliru
Entah bagaimana hendak dicantum semula
Rasa hati ini tidak ketahuan 


Terhempas lagi
Entah ke berapa kali berhempas pulas melawan gelora
Terhempas ke batu ia bersepai
Terhempas ke air ia terpercik
Terhempas ke belukar ia pintang


Terhempas lagi hati dan perasaan ini
Setelah sekian lama mengendong seribu rasa
Melawan onak duri layar impian
Memulih semula semangat yang hilang



Terima kasih kerana sudi bermonolog bersama Terhempas lagi

02 Februari 2016

Aku bukan yang terbaik

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Aku bukan yang terbaik


Setiap orang pasti mengalami situasi yang sama walaupun tidak serupa.
Kita sedaya upaya melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sehabis baik walaupun selalu tidak menjadi.
Kita belajar dari kesilapan lalu.
Kita bertanya untuk mendapatkan kepastian.
Kita berguru pada yang kita rasakan dia tahu.

Tetapi kita akan disalah anggap.
Atau semua anggapan itu hanya mainan perasaan kita?
Tidak pasti.

Pasti kedengaran suara-suara harmoni yang merdu lagi gemersik.
Mengusik manja seolahnya kita ini mahu tunjuk pandai.

Sedih.
Kerana dalam proses kita belajar untuk menjadi yang terbaik.
Kita dilihat sebagai hendak menunjuk.

Aku bukan yang terbaik
Aku bukan yang terbaik

Aku bukan yang terbaik
namun aku selalu belajar
untuk memberikan yang terbaik
dan untuk menjadi yang terbaik


Sekian adanya.  Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca entri Aku bukan yang terbaik.

15 Jun 2015

Resah dan gelisah selagi jasad masih bernyawa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Resah dan gelisah.
... memenuhi ruang
Bilamana tiada perkhabaran
Bilamana tiada peluang
Bilamana rasa sendirian

Bagaimana harus diungkapkan
Resah ini seakan tiada noktahnya
Gelisah ini seakan tiada penghujungnya



Resah dan gelisah
... meniti masa
Bilamana persoalan tiada jawapan
Bilamana penantian tiada pengakhiran
Bilamana menunggu itu menyiksakan

Bagamana harus dikotakan
Janji dulu...bertukar tabir

Resah dan gelisah
... bisakah berhenti disini
Bilamana kitaran tidak bisa terbenam
Bilamana jasad masih bernafas
Bilamana nekad belum berakhir

Di sini
tiada penamat
jua tiada permulaanm
Segalanya terus mengalir menyusur denai
Atau bilamana jasad ini tidak lagi bernyawa

Terima kasih kerana masih setia... ~(@^_^@)~

posted from Bloggeroid

10 Oktober 2014

Cukupkah yang diberi

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,



Cukupkah sudah yang diberi
Apa lagi yang hendak diharapkan
Kiranya itu yang termampu diberi
Kiranya itu memadai buat seketika

Cukupkah sudah yang diberi
Apa juga yang diucapkan
Apa juga yang dilafazkan
Semuanya sudah tersurat
Andainya itu yang dirancang itulah yang terlaksana



Ungkapan itu kelihatan mudah dilafaz
Mudah juga dinukilkan juga dikarang
Namun sudah pasti yang terucap itu bukannya dengan sendiri
Melainkan dengan bantuan pemikiran dari yang Maha Bijaksana

Bersyukur kehadratNya
Semoga bertambah murah rezeki semua orang
Dikurniakan rezeki yang halal lagi baik



posted from Bloggeroid

09 Oktober 2014

Patutkah kita

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Patutkah kita

gambar hiasan

Patutkah kita...
dengan rela melukakan hati orang lain
Atau mungkinkah kita tidak sedar
ataupun kita tidak ambil tahu pun hati orang itu

Tahukah kita andainya luahan yang sama ditujukan kepada kita
Apa pula perasaan kita
Tiada rasa apa-apa kan?
Kerana hati itu sudah mati
hati itu mati kerana sikap kita yang sombong dan angkuh
bangga dengan kebolehan diri sendiri
bangga dengan kepandaian kita sendiri
bangga dengan pangkat yang kita ada

Patutkah kita...
dengan hati yang terluka
menyimpan dendam kesumat kepada dia
Sudah tentu dendam kerana sakit hati itu tiada galangnya

Biarkan saja dia sakiti hati orang
Kerana hati dia umpama batu
pelarasan setimpal pasti dia perolehi
selaras dengan apa yang dia perlakukan

Kita ini tiada apa untuk didendami
Kerana kita juga sering alpa
Lalai dan lupa
Kerana kita manusia

Lalu humbankan saja sakit hati itu ke benua hujung sana
Biar hati kita ini bersih dari luka
Biar hati kita ini suci dari noda
Kerana kita ada hak untuk hidup aman

Berserah diri kepada Yang Maha Besar
Semoga hati kita kembali bersih dan segar
Tetap teguh bersama Nur Firdaus...


nukilan:  yangbaik | 8102014 | 13:30
(saat kejutan melanda kerana alpa... sakitnya biarpun terasa harus segera pulih dari noda)

06 Jun 2014

Metafora kata-kata

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Metafora kata-kata



Kelu lidah hilang kata-kata
Terkesima rasa memakan hati
Sedari dulu enggan berkata
Menyimpan rasa dalam diri

Diam itu meragut sejuta rasa
Biar kepanasan biar kebasahan
Biarkan ia berlalu saja
Nanti tiba masa pasti terkesan

05 Mei 2014

Aku terlalu cemburu

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


corak hiasan
Aku terlalu cemburu
Pada masa silam dan masa lampau
Lalu aku mencari apa sebenarnya
Mengapa aku menjadi terlalu cemburu

Aku terlalu cemburu
Cemburu pada insan kuat taqarrubnya
Cemburu pada insan yang tenang hatinya
Lalu aku mencari makna disebalik taqarrub

03 April 2014

Terasa masa kian suntuk

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Tik tok tik tok tik tok
Kedengaran bunyi jam di dinding
Sudah lama jam itu terabai dan terbiar
Gerak jarumnya juga hampir perlahan menunggu masa untuk berhenti
Sesekali dipulas gerigi di tepi memberi peluang untuk jam itu meneruskan hayatnya

Tetapi itu kisah hanya jam di dinding
Biarpun jarumnya berhenti bisa digerakkan semula
Dengan suntikan semangat baru bersama kuasa yang baru
Tidak sama hayatnya dengan kita manusia

Manusia itu adalah kita insan ini
Bisa mengerti kini betapa suntuknya masa 
Namun berbagai agenda yang harus diteruskan
Kebanyakannya adalah urusan dunia... 

Semoga urusan dunia itu bisa memberi manfaat
Bisa membawa pahala memberatkan timbangan di akhirat sana
Biar berat pahala di kanan
Bukan berat dosa di kiri... Na'uzubillah
Semoga kita bisa aman di syurga bukan di neraka

Terasa amat suntuk masa kini
Urusan dunia belum lagi selesai
Apatah lagi urusan akhirat yang masih tergantung
Semoga amalan kebaikan bisa memberatkan timbangan pahala

Masa yang berlalu pergi terasa derasnya bagai halilintar
Singgah sebentar meninggalkan ruang pahala
Harapan kembali adalah sukar
Sekali berlalu akan terus pergi

Apakah hidup ini sekadar menanti masa
Menunggu peluang untuk buat kebaikan

Pada kesempatan ini
Buatlah kebajikan
Buatlah kebaikan
Sementara masa masih bersisa
Usah dirintih masa berlalu pergi
Kerana itu sudah lumrah
Pastikan kebaikan berterusan
Pasikan kebajikan berkekalan
Buat bekalan kehidupan di sana
Tangis esak tiada makna
Berusaha sehabis baik 
Semoga hidup diberkati dunia dan akhirat
Semoga jasa dihargai seisi alam

Masa yang suntuk kian menghampiri tanpa disedari ia di sini menunggu saatnya berlalu pergi


Nukilan:  yangbaik | 02.04.2014 | 11.31pm



suka duka pentas dunia
#doauntukMH370




$$$


20 Februari 2014

Selamat tinggal bosan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Bosan menunggu?  Gambar hiasan

Ucaplah selamat tinggal kepada bosan??!!
Tidak sukar menyatakan selamat tinggal kepada bosan
Kerana bosanlah yang menyebabkan hidup kita tidak keruan

27 Januari 2014

Hari ini Isnin

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


"Isnin yang puteh"


Hari ini Isnin.  
Terlewat lagi keluarkan entri.
Kerana kesibukan yang melanda
Termasuk juga kemalasan semalam
Semalam sepatutnya buat entri auto publish
Tetapi entah mengapa idea itu lesap... dan lenyap

Hari ini Isnin.
Baru sekarang berkesempatan buat entri
Setelah selesai makan tengahari
Bukan menunggu waktu solat
Kerana azan Zohor baru saja berkumandang
Semoga tidak terlewat
Menunggu giliran atau biarkan saja

Hari ini Isnin.
Banyak sungguh perkara dan tajuk bergelegar di kepala.
Semoga ingatan itu tidak luput
Nantikan saatnya
Sama ada lewat atau cepat
Hanya takdir yang menentukan

Hari ini Isnin
Semoga kekalutan hari ini tidak berterusan
Semoga hari esok dan hari-hari berikutnya berjalan lancar

Hari ini Isnin
Terima kasih kepada yang sudi menjengah
walau sekadar sebaris ayat
ucapan terima kasih siling berganti




suka duka pentas dunia




$$$

20 Disember 2013

Keterbatasan perancangan manusia

Assalamualaikum dan selamat sejahtera




Entah bagaimana hendak dimulakan bicara di hari Jumaat yang penuh keberkatan ini
Semoga dipermudahkan urusan semua orang
Semoga setiap usaha yang dilakukan diberkati oleh-Nya
serta mendapat balasan yang setimpal

Sungguh keliru dan simpati
Sehingga hati ini berteka-teki sendiri
Mencari pemutus kata silang tanpa pembayang

Dari mana datangnya perasaan ini
Datangnya dengan sendiri
Bercampur dengan kekhilafan diri dan kealpaan serta lalai dan leka
Entah apa lagi yang hendak dihamburkan
Rela dan pasrah menadah segalanya

Semoga dipermudahkan semua urusan 
Semoga semuanya selesai dengan baik

Keterbatasan perancangan manusia
Begitulah tajuk yang dinukilkan
Namun pengisiannya terasa hambar
Masih lagi keliru tidak pantas menghuraikannnya sendiri

Manusia mampu merancang dengan segala sumber yang ada
Sumber manusia biarpun terhad tetapi dengan kerjasama rakan taulan pasti berbuah hasilnya

Namun perancangan manusia pasti juga akan berselerakan sekiranya tiada kata putus
Penukaran perancangan dan perubahan agenda pasti menggugat sejuta rasa
Menganggu seluruh pelaksanaan tugas

Justeru .... pesanan ini buat diri sendiri 
-  ukur baju di badan sendiri
-  kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga
-  jika takut dilambung ombak jangan berumah ditepi pantai

Kekuatan manusia adalah dengan andaian bahawa 'jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya' sedangkan pelaksanaan 'seperti tikus membaiki labu'
Adakah labu akan bertambah parah
walaupun tikus yang membaikinya adalah tikus yang cerdik?




Begitulah hakikat manusia
Mengejar nama pangkat dan darjat sehingga lupa hidup sarat melarat penuh karat
Atau sekadar menguji kebolehan dan kebijaksanaan
atau juga sekadar menguji pasaran
lalu terseksa jiwa yang banyak

Hentikan segera!!!


22 November 2013

Perempuan Wanita Solehah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Petang ni... bermonolog sekejap... berkongsi rasa hati seorang wanita.



Tajuk Asal :  Kekuatan Seorang Perempuan


Perempuan
Kuatnya tidak terzahir
Letak pada jiwanya
Biarpun ditampar
Dia menangis
Bukan kerana kesakitan
Tetapi kekuatan

Perempuan
Ketahanannya lebih dari tamparan
Malahan beribu deraan
Kekuatan dalamannya
Itulah kudratnya

Perempuan
Kelemahannya adalah kejujuran
Sekali dikhianati
Selamanya ia terluka
Sukar diubati
Malahan beribu penawar bukan galang ganti

Perempuan
Kekuatan jiwanya adalah pada Tuhannya
Sejadah itu bukan baldu sutera
Penyambung semangat juang hidup
Menghimpun berjuta kekuatan
Tempat berhimpun sejuta keperitan
Tempat memendam sejuta kedukaan

Perempuan
Doanya pasti termakbul
Itu janji Tuhan
Andainya dia terluka
Andainya dia teraniaya
Adukan saja pada Tuhannya
Nescaya dia beroleh sejuta kekuatan
Malahan lebih dari itu

Perempuan
Ketaatannya pada sang lelaki hanya yang bernama suami
Lalu diberiNya sejuta kekuatan
Selagi dia beriman dan taat pada Tuhannya

Perempuan
Kedegilannya sukar ditawan
Selagi kekuatan kudratnya tertanggung dek badan
Selagi nafasnya berbau keimanan
Selagi jiwanya pada Tuhannya

Perempuan
Berasalnya dari rusuk Adam
Sebelah kiri paling bawah
Biarpun tidak lurus
Itulah kekuatan
Sekali terluka
Tidak selamanya merana

Perempuan
Dendamnya kekuatannya
Terbalas di tikar sejadah
Ingatannya pada Tuhannya
Muhasabah diri
Mencari kelemahan
Menilai kekhilafan
Koreksi kesilapan
Biar terlerai dendam membara
Biar damai hidupnya di sana


NUKILAN:
~  YANGBAIK
~  18 NOVEMBER 2013
~  SIDEC, SERI ISKANDAR

*  Nukilan di atas bukanlah semata-mata pengalaman peribadi penulis tetapi merangkumi juga penglihatan, pembacaan dan pengetahuan penulis sebagai blogger wanita.



suka duka pentas dunia

ulang siar 22/11/2013

Carian