Pageviews

Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan

03 Oktober 2013

Hari ini tertinggal lagi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Gambar hiasan semata.  Semoga hasrat tercapai :D


Hari ini tertinggal lagi
Bukan tertinggal bas atau kereta
Bukan juga beg duit atau bedak kompak
Tetapi tertinggal yang tertinggal itu adalah kawan baik
Kawan baik yang sentiasa membantu ketika diperlukan
Sebenarnya lebih dari kawan baik
kerana ia bukan manusia
tetapi ia adalah telefon bimbit ku...

Telefon kesayangan yang telah tertinggal dalam bilik
Tertinggal kerana tadi sedang cas telefon
Bukan kerana nak cepat tetapi kerana tak ingat
Dah keluar rumah pun masih tak ingat
Dah sampai ofis baru teringat

Macam mana...
Kalaulah ada sesiapa perasan telefonku dalam bilik yang sedang dicas
Mudah-mudahan selamat.....

Untuk itu sentiasa beringat-ingat dan bersedia
Catatkan juga nombor telefon kecemasan (encik suami) pada kertas dan letak dalam purse.
Kalau harapkan ingatan... memang dah hilang.
Tak ingat langsung sebab nombor telefon ada dalam telefon ler... mana nak cekau ehhh.

Hari ini tertinggal lagi....

06 September 2013

Top 10 Entri Ogos 2013

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



Agak lama menunggu peluang untuk menulis mengenai entri ini, Top 10 Entri Ogos 2013.  Mencari idea nak menulis dan nak reka cerita... bukan senang.  Buat ringkas sudah la yer..

Entri ini ditulis sebagai menyahut panggilan (boleh juga dikatakan cabaran) oleh bro Denaihati di facebooknya beberapa hari yang lepas.  Turut memberi idea kepada aye untuk menambah entri bulan September 2013.

Setelah ditapis dari statistik blog bagi bulan lepas, berikut adalah antara Top 10 Entri Ogos 2013.


1.  Ucapan takziah menurut Sunnah
 Entri ini dikeluarkan pada 3 Mac 2013. Merupakan entri yang dipetik dari blog citu.  Antaranya menyatakan bahawa tiada lafaz khusus yang ditentukan namun masyhur athar daripada Nabi SAW dan golongan salaf terdahulu mengucapkan:
أَعْظَمَ اللهُ أَجْرَكَ
“Semoga Allah membesarkan ganjaran pahala engkau”

Mungkin juga secara kebetulan entri ini agak popular pada bulan Ogos mungkin juga ada kaitan dengan peristiwa Pengalaman hari pertama Ramadhan 1434.  Entri ini dikeluarkan pada awal bulan Julai. Bolehke dikaitkan begitu?  


2.  Giveaway Pertama yangbaik Ogos 2013


Sudah tentu ini menjadi sebahagian daripada top entri bulan Ogos memandangkan ia mengundang ramai blogger dan syukur kerana mendapat sambutan.  Pemenang pun sudah dipilih.

Terima kasih kepada semua blogger yang turut serta.  Tahniah kepada pemenang.  Kepada yang belum tersenarai sebagai pemenang... nantikan giliran anda di lain giveaway.


3.  Masih dalam mood hari raya | Sesekali teringat Puasa Enam


"dah lama tak makan nasi beriani abang belanja"

Bulan Ogos masih lagi dalam bulan Syawal.  Entri di atas dikeluarkan pada tahun lepas dan tidak sangka masih ramai yang berminat untuk meneliti entri berkenaan.

Tahun ini, tiada sangat entri berkaitan hari raya seperti tahun-tahun sudah.  Sementelahan raya tahun ini memang tidak serupa dengan raya tahun-tahun yang lepas.


4.  Jom tengok rumah di Puncak Iskandar


Puncak Iskandar antara projek popular MRCB di Perak Tengah

Entri ini dikeluarkan pada 25 Disember 2010.  Masih mendapat sambutan.  Memang sengaja aye publishkan komen yang diberikan oleh pembaca.  Ada komen positif dan tidak kurang juga komen yang negatif.  Walau apapun terpulang kepada kita untuk menilai dan membuat pilihan.

Berhasrat nak buat 'come-back' berkaita entri berkenaan tetapi sedang memikirkan cara yang sesuai memandangkan entri berkenaan secara tidak langsung memberi promosi percuma kepada MRCB.

???


5.  Doa Penenang Jiwa


Doa Penenang Jiwa

Doa ini sentiasa mendapat perhatian sejurus ia dikeluarkan.  Doa ini boleh dikatakan sebagai terapi jiwa dan motivasi kepada kita dalam melaksanakan tugas harian.  


6.  Ada apa dengan kad ucapan hari raya

Gambar teaser... 

Oleh kerana hari raya masih belum berakhir kad ucapan hari raya sungguh mendapat sambutan.

Sayangnya tahun ini aye tidak mendapat sebarang kad hari raya tradisional.  Mungkin juga boleh usahakan sesuatu agar 'ritual' ini tidak hapus begitu sahaja.

Sebenarnya ramai juga rakan blogger yang membuat kad hari raya sendiri.  Satu usaha yang baik dan murni namun usaha itu tidak seharusnya dilihat dari sudut keuntungan semata-mata tetapi juga untuk mengeratkan silaturrahim dan persaudaraan sesama kita.


7.  Dua wajah yang berbeza pada waktu yang sama

Agak menjadi kejutan juga kerana sejurus entri ini keluarkan terus mendapat sambutan.  Mungkin juga kerana tajuk atau tulisan dan gambar di dalamnya.

Pernah juga rakan blogger berpesan, bila menulis biarlah panjang-panjang tetapi bernas dan menarik. Memang perit juga nak perah idea bagi menarik sebab aye selalunya bila menulis pendek-pendek... sehingga pernah juga ditegur oleh rakan blogger... terima kasih atas perhatian dan teguran kalian.


8.  Ucapan hari raya buat Ibu

Ucapan hari raya buat Ibu lebih kepada monolog atau puisi.  Ia dikeluarkan sempena raya tahun 2012.  

Tahun ini tiada lagi ucapan hari raya buat ibu sebaliknya doa dipanjatkan kehadirat Ilahi mengiringi bonda di pusara... Semoga roh bonda bahagia di sana dan ditempatkan disamping roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Gelora rindu ini kian bertaut.



9.  Perodua Kenari kereta kompak keluarga Malaysia


Kenari Merah yang penuh misteri

Pernah dulu berhasrat hendak mendapatkan kereta Kenari sebagai kereta kedua atau juga sebagai kereta utama.  Memandangkan anak sudah bertambah, hasrat itu terhenti seketika.

Tetapi isu lain yang menyebabkan hasrat untuk memiliki Kenari terbantut.  Kalau jadipun mungkin tidak warna merah.  Bukan kerana Redmummy tetapi sebab lain yang sulit untuk dimengertikan.... :D



10.  Pesanan ringkas sebelum bercuti pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri


Pesanan ini memang terbaik untuk diingati bukan sahaja sempena Aidilfitri tetapi setiap kali kita meninggalkan rumah atau pejabat untuk satu tempoh tertentu.

Petikan pesanan dipetik dan dipinjam dari email yang dihantar oleh pihak Penyelenggaraan kepada kepada semua staf dan aye panjangkan pesanan itu untuk ingatan bersama.  Semoga bermanfaat.


Penutup

Kenapa ada penutup pula?  Penutup ini adalah sebagai tamatnya senarai Top 10 entri Ogos 2013.

Terima kasih kepada kalian yang sudi singgah dan meninggalkan jejak serta komen di setiap ruangan ulasan.  Tidak ketinggalan terima kasih juga kepada semua pembaca senyap dan yang terjumpa blog ini secara tidak sengaja.

Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan kekurangan itu adalah atas hambaNya yang serba lemah. Semoga kelemahan itu tidak dijadikan alasan untuk berjaya sebalik teruskan usaha memperbaiki diri.

Semoga diberkati.

Sekian adanya.  Terima kasih.



21 Ogos 2013

Peraturan dibuat untuk memudahkan urusan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



gambar dari google

Pada hari Rabu yang biasanya ramai orang tidak berkata-kata sebaliknya hanya memberi gambaran sahaja, aye terasa nak tulis panjang lebar... bukan berkata tetapi menulis apa yang terbuku dalam hati.  Bila menulis begini paling tidak dapat mengurangkan rasa hati yang membekam.  Nak bercakap atau bercerita pada orang bimbang mengganggu emosi dan perasaan mereka mula... jadi tulis di sini dan sesiapa yang sudi membaca tulisan ini tidak berhasrat mengganggu perasaan tetapi sekadar luahan sahaja.

Perghhh... (ayat apa ni aye tak tau) pengenalan punya la panjang belum masuk isi cerita lagi.

sekadar hiasan

Seperti biasa kita akan berhadapan dengan situasi tertentu di mana kita perlu akur dengan peraturan. Sekadar nak berkongsi bukan senang sebenarnya nak mencipta arahan atau peraturan... perlu diteliti satu persatu agar ayat yang dibuat tidak menyukarkan mana-mana pihak untuk memahaminya.  Dan... untuk membuat pindaan pada mana-mana senarai peraturan perlu juga melalui kelulusan dan perbincangan bersama dan bukan keputusan seorang.

Seringkali juga peraturan yang senang akan nampak susah bila tidak dibaca dengan teliti.  Hal ini akan membawa pula kepada kerenah birokrasi yang seterusnya akan memburukkan keadaan.

Birokrasi dicipta bukan untuk menyusahkan tetapi untuk memudahkan.

Baca dengan teliti arahan dan syarat yang dikenakan.  Ikutlah kenyataan yang dibuat supaya dapat memudahkan semua pihak termasuk diri sendiri.

Tidak susah sebenarnya nak ikut peraturan atau syarat yang dikenakan.  Sekiranya tidak faham boleh bertanya... begitulah yang sering dikatakan oleh cikgu-cikgu ketika kita disekolah.  Tetapi sekiranya cikgu sendiripun malas nak bertanya... macam mana anak murid nak memahaminya.

Tiada siapa yang hendak susah termasuk juga orang yang tergolong dalam pembuat peraturan dan keputusan.  Tetapi bila bersendirian... nak tukar peraturan dan syarat akan memakan diri... kerana ditegaskan sekali lagi... peraturan yang dibuat secara bersama perlu dipinda secara bersama juga.

Semoga memahami.

Sekian adanya, terima kasih kerana sudi membaca dan memberi pandangan.

(*-*)

23 Julai 2013

Saya sedang berpuasa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



Bulan Ramadhan yang mulia ini berbanyaklah istghfar.  Kurangkan kalau boleh elakkan bercakap perkara yang tidak berfaedah terutama perkara yang melibatkan maruah orang.

Kita akan dapati ada orang yang suka bercerita perkara macam-macam mengenai orang lain atau keluarganya sendiri.  Memang susah tetapi tidak sukar untuk kita melarikan diri dari orang yang mengajak kita mendengar celotehnya mengenai perkara yang tidak enak didengar.

Cuma mungkin juga kita akan kehilangan kawan kerana kita nak jadi orang baik di bulan Ramadhan.

Pasrah dan berserah kepada Allah kerana kita hendak menjadi baik mudah-mudahan kita kekal dalam keadaan baik sesudah Ramadhan.

Ramadhan Karim!!


.

16 Julai 2013

Monolog 7 Ramadhan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


corak hiasan sempena Ramadhan

Hari ini ketika catatan ini ditulis, merupakan hari Ramadhan ke-7 tahun 1434 Hijrah.

Perasaan ketika ini masih lagi tidak menentu dengan campuran kerinduan kepada bonda tersayang.  

Lalu kerinduan itu membataskan pergerakan dan segala rasa.  

Bukan kerana keterbatasan pergerakan di bulan Ramadhan tetapi perasaan yang tersekat-sekat dan sukar digambarkan sama ada melalui tulisan atau secara lisan.

Dibiarkan saja kerinduan ini bertapa di sudut hati ini.

Maaf, catatan ini masih lagi berbau keringat yang hilang bersama penatnya hati menahan kerinduan.

Semoga memahami, monolog ini masih lagi berlagu sayu dan sendu.

*-*


11 Julai 2013

Corak Pertama di Bulan Ramadhan | Masihkah ada rindu pada kebesaran bulan Ramadhan?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


Dalam kesibukan menempuh bulan Ramadhan yang mulia ini masih sempat lagi mengambil masa sementara untuk mengisi kekosongan ruangan catatan pada hari ini.

Idea untuk membuat corak sebegini datangnya dari encik suami telah lama sebelum Ramadhan lagi.  Hanya sekarang baru berkesempatan melorek idea yang tidak berapa nak menjadi... sungguh kita semua dilahirkan dengan kreativiti masing-masing tetapi tidak semua kreativiti kita disukai orang.  Mungkin juga kerana ia tidak sesuai atau tidak bertepatan dengan kehendak semasa.











Semoga Ramadhan hari ini dan hari-hari yang berikutnya menjanjikan kesempurnaan buat semua.

Ramadhan Karim!

27 Jun 2013

Celik Hati | Episod Terakhir - Makna Hidup Ini

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Perkongsian perbincangan antara Prof. Dr. Muhaya, Datuk Siti Norhaliza dan

Pengalaman individu hebat semoga dapat dijadikan panduan dalam kehidupan kita.

Hari yang paling penting adalah bila kita tahu kita semak semula detik kehidupan kita.

4 Peringkat hidup manusia
1.  Atlit - cergas
2.  Pahlawan - hendak menang
3.  Bijaksana - suka memberi
4.  Makrifatullah -

Makna kehidupan

Tahu dan sedar akan tanggungjawab dan peranan kita di muka bumi.

Pencuri dalam hidup merangkumi kebimbangan dan penyesalan masa lepas.

Pengalaman bermula dari bawah mengajar erti kehidupan.

Kegagalan adalah kejayaan yang tertunggak juga menjadi baja untuk menyuburkan kehidupan untuk terus maju dan berjaya dunia dan akhirat.

Kejayaan terhasil dengan keberanian, usaha berterusan.

Tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang yang tidak suka dengan kejayaan dan usaha yang kita lakukan.

Ubah pemikiran - ubah persepsi dari negatif ke positif

Apa yang ada dalam jiwa kita itulah yang menentukan kehidupan kita.

Tetapkan dalam diri bahawa tujuan hidup hendak masuk syurga.  Mudah-mudahan setiap tindakan kita menuju ke arah itu.

Buat kebaikan, melihat kebaikan hidup akan bahagia.

Sekian dulu catatan ringkas secara langsung dari rancangan Celik Hati di TV9, episod akhir dengan tajuk Makna Hidup Ini.


18 Jun 2013

Masa dan cara yang sesuai untuk diet

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


gambar hiasan

Mohon mencelah sekejap.  Mood kerja tiba-tiba jatuh kegaung (kedaung) sebab perut lapar.  Hanya berlapikkan segelas pearl cafe dan nestum segera (3+1).  Rasanya masih belum cukup untuk mengisi ruang kosong dalam perut yang semakin deras berkocak...

Semuanya gara-gara malas nak ke kafe sana kerana menunya biasa-biasa dan mungkin juga tak memenuhi selera tekak yang terlampau memilih.  Perut lapar pun masih sempat memilih menu.

Maka disebabkan itulah terfikir untuk menulis mengenai diet.  Bukan kerana saya pakar diet atau pakar pemakanan tetapi sebab saya hanyalah seorang isteri, ibu dan blogger.  

Diet seorang isteri
Diet seorang isteri kerana hendak menjaga hati suami.  

Maklumlah bila rasa sana sini penuh lemak, perutpun macam mengandung 8 bulan walaupun tidak mengandung... hati mula terasa sendiri.  

Diet seorang ibu
Anak-anak pula mula bertanya soalan maut bercepu emas lagi... "Dalam perut umi ada baby ker? Yeayyy nak dapat baby lagi"... Jelingan manja harus segera dilemparkan.  

Harus mulakan diet sekarang juga.

Diet seorang blogger
Diet bukan dengan cara berlapar tetapi mengurangkan pengambilan makanan terutama makanan berlemak dan tinggi karbohidrat.... betul ke nie wei????

Soalan ini harus dijawab dan biasanya jawapan rakan blogger memberikan insprasi untuk terus berdiet dan berblogging... hahahah ada kaitan ker?  

Tiba-tiba teringat Menu Istimewa


"suka duka pentas dunia"

08 Jun 2013

Hari Sabtu hari untuk memenuhi undangan dan jemputan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Hari ini Sabtu merupakan minggu terakhir bagi cuti sekolah.

Maka dengan sendirinya secara tidak langsung hari ini banyaklah majlis keramaian seperti kenduri kahwin dan pertunangan.

Sebagai wakil keluarga, encik suami mendapat banyak undangan dan dari tempat yang berbeza.  Banyaknya jemputan sehingga sukar untuk membuat pilihan hendak ke mana satu.  Akhirnya pilihan dibuat dan tempat yang dihadiri adalah di Sungai Galah, Tanjung Tualang.

Tempat pertama yang dihadiri adalah majlis Perkahwinan adik kepada Atan Kaloi.  Nama pengantin lupa pula nak tanya cuma kenal gitu-gitu jer.  Bergambar pun tak sempat...segan pula.

Tempat kedua adalah rumah Makcik An.  Majlis Pertunangan anak bongsunya, Tina.  Terlewat sikit sampai. Namun nasi dan lauk pauk masih banyak... makan lagi untuk tidak menghampakan tuan rumah.  Bakal menantu Makcik An berasal dari Filipina... sama sama deme kena belajor bahasa baru...

Sesekali ke Sungai Galah mendatangkan satu perasaan gembira yang sukar digambarkan kerana dapat berjumpa dengan jiran-jiran lama yang mesra seperti ahli keluarga sendiri.  Terutama bila jumpa Kak Intan dan Che Pah...

Sekian lah cerita hari ini yang tidak bergambar.


26 Mei 2013

Orang kata semua boleh

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


gambar hiasan

Orang kata semua boleh!  Adakah kita juga boleh seperti yang orang kata?  Semua itu terpulang kepada kekuatan semangat dan minda serta kebolehan kita.  Jangan kerana taksub sangat dengan 'apa orang kata' lalu menghilangkan jati diri kita.

Apa orang kata terpulang kepada kita untuk membuat penilaian dan penerimaan kita.

Orang kata jadi blogger ni senang.  Tulis saja apa yang terlintas di hati atau terlintas di kotak fikiran.  Sehingga itu maka muncul lah puluhan bahkan mungkin juga mencecah ratusan blogger baru bak cendawan tumbuh selepas hujan turun di waktu pagi.

Orang kata bila jadi blogger tulis saja apa yang terlintas depan mata atau apa saja yang berlaku di sekitar kita.  Hakikatnya tidaklah semudah seperti yang dikatakan.  Kerana apa yang terlintas depan mata selalunya tidak wajar dinukilkan dalam blog kerana ada kemungkinan akan menjejaskan maruah orang lain atau juga maruah blogger sendiri.  Maklumlah nak tulis dan olah semula apa yang berlaku depan mata itu memerlukan kreativiti yang tinggi dalam karangan.

Orang kata ada blogger suka mencuri idea blogger lain.  Itu memang tidak wajar kerana hasil karya orang lain harus dan wajib juga dihormati.  Jangan dengan sewenang-wenang mencelok idea orang tanpa pengetahuannya atau tanpa izin.

Apa pun orang kata... jadilah blogger yang ada nilai dan jati diri sendiri tanpa berharap pada orang lain.

Sekian adanya.

09 Mei 2013

Gelaran yang tercemar | Kerana Dia Al-Amin???

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,



Gelaran yang tercemar.  Itulah tajuk entri pada kali ini.  Mengapa diberi tajuk sedemikian.  Sebab ia ada kaitan dengan isi cerita pada kali ini dan juga ada kaitan dengan drama di TV9 malam tadi 'Dia Al-Amin'.

Kita sebagai blogger mungkin akan dianggap oleh sesetengah pihak sekadar hendak mencari publisiti atau suka merapu dan mereka cerita.  Kerana dari sekecil-kecil benda hingga ke isu yang terbesar sekalipun kita boleh buat cerita.  Ya!  ini baru intro belum masuk kepada jalan cerita dan mengapa 'Gelaran yang tercemar' terhasil.

Sebagai orang beragama Islam, sudah tentu kita mengenali siapa itu 'Al-Amin'.  Satu gelaran terpuji yang diberikan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.  Bukan calang-calang nama kerana nama itu ada kaitan dengan sifat dan peribadi Rasulullah yang jujur dan amanah.  Tetapi malam tadi, melalui drama di TV9 gelaran itu telah tercalar dan tercemar.  Bagaimana pada awalnya watak 'Al Amin' digambarkan dengan sikap dan perilaku kasar dan ganas.  Sungguh jauh sekali dengan peribadi Rasulullah seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran.  Mengapa???

Bukan salah aye sebagai ibu tidak memberi peluang kepada anak-anak untuk melihat drama tersebut sehingga habis.  Ini adalah kerana baru saja bermula dan penuh dengan keganasan dan tidak sesuai ditonton oleh anak-anak yang baru berusia 3, 6 dan 7 tahun.  Mudah-mudahan mereka tidak terpengaruh atau meniru aksi yang dipaparkan.  Tidak lama menonton terus tutup tv.  Seperti biasalah drama ini akan bermula dengan keganasan dan akhirnya... akhir sekali dah nak mati atau dah nak habis drama baru watak tadi jadi baik atau paling tidak menyesal kerana tidak sempat berbuat baik... drama pun dah habis. Kan???

Musykil juga mengapa setiap drama mesti ada watak ganas dan keras??? Sedangkan watak baik dan sopan seringkali di kesampingkan atau disisih.  Yang lebih diutamakan adalah watak jahat.  OHHH... sudah mereka akan menjawab kalau tiada watak jahat mana nak ada watak baik.  Jadi adakah sewajibnya hidup kita ini dikelilingi oleh watak-watak jahat?  Tidak bolehkah terus dengan watak baik.

Wahai.... berhentilah promosi watak jahat.  Bukan sedikit watak baik dalam dunia ni.  Berhentilah memburukkan nama-nama baik Rasulullah.  Memang dalam dunia realiti perkara itu mungkin terjadi, tetapi tidakkah kita berkewajipan menonjolkan kebaikan disebalik kejahatan.  Lebihkahlah promosi watak baik.  Sudah-sudahlah tonjolkan watak jahat dan ganas, kerana watak itu adalah watak sampingan bukan watak utama.

Semoga belum terlambat kepada kita semua untuk terus promosikan watak-watak baik.

Semoga yang terbaik untuk semua orang.

Saya pilih kebahagiaan.

04 Mei 2013

Cinta Jangan Kau Pergi

As salam,


sumber gambar
Gambar di atas sekadar hiasan tiada kaitan dengan drama Cinta Jangan Pergi.

Secara kebetulan malam ni ada pula masa nak tengok drama Cinta Jangan Pergi... sampai habis.  Rasa macam okey sangat... boleh lah memenuhi selera mata ini.  Nak tengok drama ni pun kena berebut dengan anak-anak dan bapa anak-anak.  Nasib baik tiada siaran lain yang memikat mata mereka.  Jadi dapatlah umi beri sepenuh perhatian menonton drama ini... tanpa gangguan.  Cuma buat susu Inas saja... itu dah memang tugas biasa dan rutin asal jangan merengek sudah.

sumber gambar


02 Mei 2013

Kerana taksub dengan pilihanraya

As salam,


gambar hiasan
Kerana taksub dengan pilihanraya.  Pilihan Raya Umum ke-13, bakal berlangsung beberapa hari saja lagi.  Bersabarlah juga dengan kerenah sebilangan pihak yang sedang mencipta pelbagai tohmahan.  

Sebenarnya aye pun tak berapa suka sangat nak keluarkan artikel atau bercerita mengenai kempen sempena PRU ke-13.  Adalah sekali kot buat catatan pada WW berkaitan bendera.  Itupun tak banyak mana. 

Nak kata takut tidaklah, tetapi sebenarnya malas nak cari idea atau pasal berkaitan kempen pilihanraya.  Cukuplah sekadar menumpang sekali mengenai cerita yang dikemaskini (update) di FB.  Tumpang baca.  Suka juga baca dan tengok gelagat penyokong dan perayu undi.  Tak kesahlah itu kreativiti masing-masing tetapi pastikan ianya adalah jujur dan benar bukan semata-mata kerana meraih undi.

Dalam sehari dua yang semakin mendekat ke hari PRU ke-13, semakin banyak pula lambakan update yang tidak molek dibaca atau ditonton.  Pernah juga sekali dua (mungkin banyak lagi tetapi tak perasan) terdapat update di FB yang agak keterlaluan.  Abaikan saja.  Aye rasa agak terkilan juga bila sesuatu isu itu dipermainkan semata-mata kerana pilihanraya.  Seolah-olah hendak mengaibkan atau menjatuh maruah seseorang.  Walhal di luar waktu puncak kempen pilihanraya tak siapa pun peduli.

Aye percaya dan yakin juga update berkenaan bukanlah semata-mata kerana kempen pilihanraya tetapi lebih kepada hendak menyakitkan hati sebelah pihak atau lebih kepada provokasi.  Hingga kita yang tidak terlibat ini seperti terheret sama ke kancah pergaduhan dan pertelingkahan antara mereka.

Tak perlu lah aye nyatakan di sini apa yang dinyatakan atau dikaitkan.  Aye pasti juga dan berharap pihak yang berkenaan diberikan kesedaran dan hidayah dari Allah Yang Maha Besar agar mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan.


Orang yang bijak tidak akan terkesan dgn apa dia lihat dan dengar yang negatif dan hati yang bersih hanya akan menyerap kebaikan. Kita yang tentukan apa yang masuk dalam jiwa kita. Tidak bererti jika ada kemalangan di jalan raya kita tidak akan gunakan jalan raya utk ke destinasi penting. Jom gunakan media mencari ilmu dan hentikan alasan utk tidak mendengar ilmu. Orang berminda kecil mencari alasan and jadi penghalang, orang berminda besar menjadi solusi dan mencari jalan.  (Prof Dr Muhaya)

suka duka pentas kehidupan

27 April 2013

Permintaan dari insan paling istimewa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Petang ini, sekali lagi ke teratak bonda.  Sebenarnya secara tidak sengaja dan tidak dirancang pun.  Pergi pun dah agak lewat petang.  Hasrat hati nak bawa anak-anak berjumpa dengan Opah kerana esok ayah kerja.

Anak-anak seperti biasa lah juga memang suka sangat sangat bila pergi ke rumah Opah.  Boleh lari sana sini, dapat tengok arnab dan entahlah apa yang ada dalam hati dan perasaan mereka.  Bukan nak jumpa Opah sangat.



Sampai di teratak bonda, sempat lagi tolong siram pokok bunga di halaman.  Anak-anak dah dilepas bebas bermain di dalam rumah.


Mungkin juga aye tidak perasan, bonda sedang memerhati.  Tetapi aye teruskan juga menyiram pokok bunga di halaman yang sudah hampir layu kekeringan.

Selesai urusan di halaman masuk ke dalam rumah dan terus bonda menyatakan hasrat hatinya nak makan burger.  Hmm... dia memang teringin nak makan burger dah banyak hari, tetapi hari ini memang tak teringat langsung nak bawa.  Bukan tiada penjual burger di kawasan berhampiran tetapi tidak menepati seleranya.  Hanya burger keluaran Otai Burger dari Seri Iskandar juga yang memenuhi seleranya.

In Shaa Allah semoga dipermudahkan segala urusan petang esok ke teratak bonda semula membawa burger idaman hati.


21 Mac 2013

Beralih dari semalam yang lemau

As salam,

corak 45 - kebetulan pula

Cerita mengenai semalam memang sukar dilupakan dari ingatan.  Mungkin juga atau barangkali akan terlupa tetapi selagi parutnya masih ada... tetap kekal diingatan.

Kisah semalam bukanlah kisah sedih atau kisah duka, tetapi sebuah kisah mengenai pengajaran bagi mendapatkan kekuatan baru dan semangat baru untuk terus dalam perjuangan hidup ini.

Cuma mungkin juga apa jua yang tersirat atau terjadi selepas semalam akan turut memberikan pengajaran buat ikhtiar hidup.

Dalam melaksanakan atau menjalankan sesuatu urusan sudah pasti kita mahukan yang terbaik buat semua orang dan juga untuk kepuasan diri sendiri.  Namun apabila keputusan yang kita buat itu dipertikai dan dipermainkan ... seolahnya hilang kekuatan diri terasa seperti berpijak di bumi yang tidak bertanah.

Namun sebenarnya apa yang terjadi sudah tentu ada hikmah dan takdirnya yang tersendiri.  Ambil positif bukan negatif walaupun mungkin tercalit sedikit pedih di dasar hati.  Semua itu ada pengisian tersendiri.

Sila pilih ketenangan dan kebahagiaan....

13 Mac 2013

Catatan bertuah pada 130313

As salam,


Hari ini sekali lagi bercerita tentang nombor.  Nombor ini bukanlah sesuatu yang pelik atau aneh tetapi semua orang memang tertarik dan ramai juga yang taksub dengan nombor terutama nombor yang pelik-pelik.

Banyak kejadian yang berlaku pada hari ini 130313, Rabu bersamaan 1 Jamadil Awal 1434.  Antaranya:

1.  Anak-anak demam tak berapa nak kebah lagi.  Sesekali nampak macam demam tetapi bila dapat keluar rumah berlari ke rumah tetangga macam tak demam.  Anak-anak memang macam tu kot.  Walaupun demikian, tetap juga ke klinik dapatkan ubat demam, batuk dan selsema.  Mudah-mudahan mereka segera pulih.

2.  Terpaksa bercuti dari kerja hari ini kerana menguruskan beberapa urusan keluarga dan salah satunya urusan nombor satu di atas.  Sementelahan itu tertinggal beberapa acara menarik di pejabat.

3.  Tanpa disedari sebenarnya banyak perkara yang dipermudahkan urusannya.  Walaupun pada awalnya nampak macam sukar.  Semua itu adalah kurniaan dari Nya.  Alhamdulillah.  Urusan insuran kereta, pesuruhjaya sumpah, roadtax kereta dan keluarga.  Semuanya mudah.

Sekian, catatan yang tidak seberapanya ini dicatat pada tarikh keramat 13 03 2013 (4).

(^-^)
-

08 Mac 2013

Kejutan di Hari Wanita Antarabangsa 2013

As salam,

sumber

Selamat menyambut hari wanita antarabangsa tahun 2013.  Sungguh agak terlewat sikit menulis untuk entry kali ni. Mana tidaknya, baru siang tadi perasan bahawa hari ini setiap tahun 8 Mac adalah hari wanita antarabangsa.

05 Mac 2013

Kerana sibuk tidak bertempat

As salam,


corak hiasan ke-35
Kerana sibuk tidak bertempat
mungkin juga orang rajin selalu rugi

Seperti yang dinyatakan semalam
Bukan kerana tamak

Atau seperti juga yang terdahulu
Ada aku kesah

26 Januari 2013

Hari Sabtu dan kisah sebaliknya

As salam,



bunga misteri

Hari ini Sabtu, 26 Januari 2012.  Dah tengahari baru nak mula menulis.  Sepatutnya hari ini sekeluarga lepak-lepak kat rumah buat aktiviti gotong royong perdana 5S.  Maklumlah rumah pun dah tak berapa nak kemas... sibuk memanjang. 

Paling tidak pun berkebun.  Dah lama sangat tak buat aktiviti tu.  Sekadar tengok saja pokok di rumah mak cantik-cantik banyak pula tu.  Memang sejuk tangan mak.  Apa saja yang dicucuk semuanya tumbuh subur menghijau termasuk juga yang menumpang teduh.  Apa lagi rumput lah.  Tetapi sekarang mak sudah tidak berapa sihat.  Pokok-pokok yang ditanam oleh mak dulu semakin layu dan kekuningan persis merindukan belaian sejuk tangan mak.

Tangan aye tak berapa nak sejuk.  Tanam pokok bunga tak berapa hari, tak sempat sampai sebulan dah mati.  Tak terjaga.  Bukan malas tapi tak sempat.  Termasuk pokok bunga misteri seperti di dalam gambar di atas.  Cerita mengenai dah tersiar tak lama dulu.

Tanaman kucai pemberian mak dalam pasu dulu pun dah mati.  Ada yang kena cabut dek anak-anak, tangan yang montel... geramnya.  Sekarang cuba tanak pokok cili pula.  Mudah-mudahan menjadi.


rindukan saat ini
Hari Sabtu juga biasanya tetapi tidaklah selalu, makan roti canai atau tosei di kedai mamak.  Tetapi hari Sabtu ni aye bekerja, encik suami juga bekerja.

Tengoklah perancangan petang nanti menjadi atau tidak.  Kasihan kepada anak-anak terpaksa memerap di rumah lagi.  Tetapi mereka dah biasa sebenarnya... perlu dibiasakan? 

bubur biji nangka
Jika ada kelapangan petang Sabtu ni buat bubur biji nangka.  Kalau menjadi lah, kalau tak jadi buat jer buah melaka atau onde-onde tak pun lepat tikam.  Hmmm... ketayap pun boleh juga.

Sementara itu di ofis ini pada hari Sabtu ini buat kerja dengan sebaik-baiknya.  Walaupun masih dalam mood terkejut tetapi pekerjaan mesti diteruskan.

Semoga yang terbaik untuk anak bangsa ku.

'suka duka pentas dunia'