Pageviews

19 Ogos 2009

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan

Selamat Datang Ya Ramadan
(Ringkasan Catatan Tazkirah 19.8.2009/28 Syaaban 1430)

Sebentar tadi Aye mengikut tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Nazrudin Hashim dari CITU UiTM Shah Alam. Tazkirah pada kali ini adalah berkenaan cerita tentang Ramadan.

Antara catatan yang sempat Aye ambil adalah berkaitan

Persediaan Menyambut Ramadan
1. Memelihara diri dari melakukan perkara yang boleh merosakkan pahala puasa, selain dari menahan diri dari lapar dan dahaga; iaitu
- jaga anggota badan seperti lidah dari bercakap perkara yang bohong atau fitnah dan sia-sia.
- jaga tangan dan kaki dari membuat kerja yang tidak berfaedah

2. Menjaga hati supaya tidak ada perkara yang negative seperti niat tidak baik, perasaan hasad. Semoga mendapat ketaqwaan.

3. Membanyakkan amalan sunat, kerana pada bulan Ramadan pahala amalan sunat sama dengan amalan wajib manakala 1 amalan wajib akan mendapat ganjaran sebanyak 70 ganda.
- melewatkan waktu sahur
- mencepatkan waktu berbuka - bukan buka ikut waktu sendiri

4. Membanyakkan sedekah. Bukan sahaja dengan wang ringgit tetapi dengan cara yang lain seperti bertahlil, berzikir, menolong orang dalam kesusahan (untuk kebaikan)

5. Banyakkan membaca al-quran (dan faham makna serta hayati maksud dan maknanya)

Semoga Ramadan kali memberi penuh makna dan yang terbaik dalam kehidupan kita. Wallahua'lam.

11 Ogos 2009

Tegur, Ditegur, Menegur, Keteguran ???

Salam sejahtera buat semua seisi alam. Rasa rindu nak berkarya semakin mendalam setelah sekian lama laman blog ini tidak terusik. Dek kekangan masa dan kerja (kerja lagi), ruang untuk berkarya rasanya semakin terhad. Bukannya tiada idea tetapi memang terasa sayang (rugi) kerana idea yang datang berlalu pergi tanpa sempat dinukilkan. Ada juga kesempatan untuk meninjau blog ini tetapi sekadar melihat perkembangan terkini pada kejiranan (rakan blog). Namun masa dan peluang untuk menghasilkan karya sendiri rasanya semakin terbatas bukan bertujuan untuk menidakkan masa yang ada tetapi (sendiri mau ingatla...) dek kerana kepincangan dalam menguruskan masa untuk kerja dan diri sendiri.

Setelah sekian lama menyepi, semalam dan hari ini aye mendapat satu kekuatan untuk menghasilkan karya yang juga sebagai ingatan dan mesti diingat sampai bilapun oleh aye sendiri.
Apa ingatan itu?
Jangan Tegur dan Menyibuk dengan urusan orang lain. Buat kerja sendiri cukup!

Mengapa?
Mungkin juga memang dah jadi habit aye (kot...), dan memang susah untuk dikikis kerana kekadang aye sendiri yang rasa bahawa aye suka menyibuk.

Peringatan?
Dah banyak kali aye diperingatkan dan aye sendiri juga barangkali sudah berkali-kali memperingatkan diri sendiri mengenai perkara itu.

Moral?
Ada masa kita boleh menegur orang dan ada masa dan ketika kita tidak sesuai untuk menegur orang?

Mengapa pula?
Kerana kita bukanlah insan yang sempurna (bukan bermaksud cacat) yang berhak untuk menegur orang.

Maksudnya?
Tidak semua orang suka atau boleh ditegur walaupun dia patut ditegur kerana apa yang dia buat adalah hak dan kebebasan dia. Apabila ditegur kelak terasa seolah dirinya tidak sempurna dan ada insan lain pula yang nak membetulkan dirinya... walaupun teguran itu adalah sekadar gurauan atau tidak bermaksud apa-apa iaitu nak dengar ke tidak ke terpulang...

Persoalan?
Adakah salah untuk kita menegur sekiranya teguran itu untuk kebaikan?

Lantaran itu aye teringat sebuah syair Arab, seperti berikut

Hai orang yang sombong dalam keangkuhan
Lihatlah tempat buang airmu, sebab kekotoran itu selalu hina
Sekiranya manusia merenungkan apa yang ada dalam perut mereka
Nescaya tidak ada satu pun orang yang akan menyombongkan dirinya
Baik pemuda mahupun orang tua
Apakah ada anggota tubuh yang lebih dimuliakan selain kepala?
Namun demikian, 5 macam kekotoran yang keluar daripadanya!
Hidung berhingus sementara telinga baunya tengik
Tahi mata berselaput sementara daripada mulut mengalir air liur
Hai Bani Adam yang berasal daripada tanah, dan bakal dilahap tanah
Tahanlah dirimu (daripada kesombongan), kerana engkau bakal menjadi santapan kelak

Keras juga syair itu, tetapi akan aye jadikan peringatan untuk diri sendiri agar setiap teguran diterima dengan hati yang terbuka.... dan elakkan diri dari menegur cara kerja orang lain... walaupun manusia biasa tidak lari dari melakukan kesilapan.

31 Julai 2009

Ramai lelaki masuk neraka? Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Ingatan Untuk Diri Sendiri

Ramai Lelaki Masuk Neraka?

Kalau dilihat secara renungan makrifat, terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menceritakan pengalaman baginda bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha malam Israk Mikraj, di mana Allah SWT telah memperlihatkan kepadanya keadaan wanita yang kebanyakan mereka dihumban dalam api neraka lantaran beberapa kesalahan semasa berada di dunia. Namun ia bukan bermakna bahawa orang lelaki terselamat daripada panas api neraka dan dimasukkan dalam syurga Allah yang penuh dengan pelbagai nikmat yang luar biasa, yang terkadang tidak tergambar oleh akal fikiran manusia semasa hidup di dunia.

Justeru, apabila kita lihat beberapa istilah dalam al-Quran, menggambarkan kepada kita bahawa orang lelaki juga tidak kurang menjadi penghuni neraka. Ini berdasarkan keterangan al-Quran seperti istilah 'Ashabun Nar' (ahli neraka), al-Kafirun, al-Fasiqun, al-Munafiqun, az-Zolimun dan juga istilah yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti golongan 'dayus', peminum arak dan anak-anak derhaka.

Apa yang menarik perhatian dalam isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah golongan dayus seperti yang ditegaskan dalam sebuah hadis baginda. Ramai daripada kalangan umat Islam hari ini tidak menyedari bahawa mereka boleh termasuk golongan yang dayus dan tempat golongan ini di akhirat tidak lain adalah neraka.

Mengapa neraka bagi golongan dayus? Golongan dayus ini sama ada seorang ayah yang membiarkan anak-anak gadis mereka keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna begitu juga seorang suami yang membiarkan isterinya mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung kepala hingga di bawah perhiasan mereka. Termasuklah membiarkan pembantu rumah di kalangan wanita asing yang dibiarkan tidak menutup aurat, maka suami tadi tidak berhak masuk syurga kerana membiarkan isteri dan pembantu rumahnya tidak menutup aurat seperti yang ditegaskan oleh al-Quran.

Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj

Sayidina Ali k.w. berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?"

Baginda s.a.w. menjawab: "Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka."

Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?"

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak). "Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. "Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak. "Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka."

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?"

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya. "Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya. "Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang. "Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain. "Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah. "Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya."

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah."

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan."
Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah?

Baginda s.a.w. menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari)