Pageviews

Memaparkan catatan dengan label Pinjaman artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pinjaman artikel. Papar semua catatan

10 Jun 2009

PERSONALITI BUAH-BUAHAN

Dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh Dr. Adrian Barnett, beliau mendapati wujudnya satu hubungan unik antara manusia dan alam semula jadi. Menurutnya lagi, kita mampu menilai personaliti seseorang menerusi buah kegemaran masing-masing. Kaedah ini dikenali sebagai `Science of Fructology'.

Menurut Dr. Barnett, manusia mempunyai hubungan yang erat dengan alam semula jadi khususnya tumbuh-tumbuhan seperti buah- buahan. Seperti manusia, buah-buahan juga mempunyai pelbagai bentuk, saiz dan warna. Setelah hampir dua dekad mengkaji mengenai kaedah ini, akhirnya Dr. Barnett dan ahli kumpulan saintisnya yang lain berjaya menemui kaedah kajian personaliti manusia menerusi buah-buahan ini.

7 Kategori buah-buahan yang mempengaruhi kehidupan manusia :-

Jenis Limau Buah-buahan Tropika Jenis buah ladang Tembikai Jenis Beri Kekacang Labu

Jenis limau --- (oren, lemon, limau nipis dan limau barli)
* cenderung kepada warna-warna cerah dan gemarkan sesuatu yang mencabar

* tempat rujukan, kerana mempunyai kemampuan dan kebolehan yang unik

* Orang luar sukar untuk menilai dan mengenal diri yang sebenarnya

* Mungkin boleh mengenali dengan lebih rapat, namun ia memakan masa yang agak lama

* peruntukan masa yang singkat untuk bersendiri

* gemar berehat dan bersendiri hanya untuk tempoh seketika

* Rakan akan berasa senang dan tenang bila meluangkan masa bersama

* tergolong antara individu yang gemar bergembira dan menggunakan waktu yang terluang itu dengan sebaik mungkin melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan


Buah-buahan tropika -- (pisang, betik, jambu, kiwi dan nanas)
* sukakan pengalaman yang baru

* gemar mencuba pelbagai jenis buah-buahan dengan pelbagai perisa

* Orang di sekeliling selalu menghadapi masalah kerana cara hidup yang terlalu aktif

* tidak sukakan sesuatu yang melibatkan kesakitan pada emosi

* pasangan terdiri dari individu yang tenang

* gemar meluangkan masa dengan individu yang akrab

* Teman-teman beranggapan kamu mudah didekati dan gemar berseronok

* pendirian yang tersendiri, tidak suka menunjukkan perasaan sedih pada orang sekeliling

* seorang yang suka mengambil berat dan gemar berseronok


Jenis Buah Ladang --- (epal dan pear)
* Kata kunci di sini ialah kekuatan

* kuat pada diri sendiri dan mampu menjadi tunjang kekuatan oleh individu yang berada di sekeliling

* bijak membebaskan diri dari tekanan hidup dan tidak mudah mengalah

* Sikap pentingkan diri sendiri tidak terkandung dalam keperibadian

* cenderung berdiri atas kaki sendiri

* seorang yang berpengetahuan luas dan itulah hakikatnya

* gemar mencari ilmu dan berusaha melakukan sesuatu yang terbaik

* Kejayaan pasti menyebelahi dalam setiap perkara

Jenis tembikai --- (tembikai dan tembikai susu)
* murah hati dan gemar menghulurkan bantuan

* wujudnya kepuasan apabila berjaya membantu orang lain

* berhati-hati dalam memilih tumbuhan-tumbuhan yang ingin ditanam

* memiliki ramai teman rapat, kerana memiliki keperibadian yang romantik

* berusaha gigih bagi mengatasi kegagalan atau kekecewaan dalam hidup

* melambangkan individu yang berhati-hati

Buah-buahan jenis beri --- (blackberi, blueberi, strawberi, raspberi, cranberi, anggur dan tomato)
* gemarkan `party' dan keseronokan

* suka menggembirakan orang lain

* mudah mendapat teman baru kerana seorang yang peramah

* akan berusaha melakukan apa sahaja untuk menjadikan sesiapa sahaja sebagai teman biarpun dengan cara yang agak pelik

* bercita rasa unik. Hinggakan makanan kamu juga adalah terdiri daripada makanan-makanan yang berperasa lain dari yang lain

* Personaliti sukar dinilai kerana wujudnya kepelbagaian personaliti

* keseluruhan personaliti itu saling berkait rapat dan sekali gus menonjolkan yang unik dan keistimewaan tersendiri

* Simbol melambangkan seorang yang berpersonaliti

Jenis Kekacang --- (walnut, hazel, gajus dan lain-lain)
* `moody' lah! Kadangkala mood berubah-ubah tanpa sebarang sebab

* Ketegasan adalah lambang keperibadian diri

* yakin di pihak yang benar, pasti berdegil dengan pendirian itu

* Orang di sekeliling akan sentiasa bersikap lebih berhati-hati kerana kedegilan

* Dalam percintaan individu yang setia

* sanggup mengenepikan teman kerana ingin meluangkan masa bersama kekasih hati

* Untuk mengenali, individu itu perlu memperuntukkan waktu yang agak lama bagi memahami dan mengenali dengan lebih dekat

* kesabaran dan kesungguhan individu itu pasti akan berhasil juga akhirnya

* seorang yang berpendirian

Buah-buahan jenis labu --- (kundur dll)
* berpandangan jauh

* berpendapat wujudnya pelbagai perkara yang berlaku di dunia ini dan segalagalanya melebihi dari apa yang mampu manusia lihat

* individu yang sering berperasaan curiga

* Individu di sekeliling akan terkejut dengan pengetahuan yang dimiliki

* Boleh dikatakan setiap persoalan mampu dihuraikan

* sikap ambil berat kamu itu pasti dihargai

* Tekanan kerja akan mendukacitakan, tetapi lama kelamaan semangat akan kembali pulih malah dan lebih bersedia dalam menangani cabaran

* cenderung pada warna-warna yang pelbagai

* melambangkan seorang yang bersopan santun dan memiliki hati yang lembut

(Sumber: Petikan artikel dalam simpanan yang diperolehi melalui email)

15 Mei 2009

Berbakti Kepada Dua Ibubapa

TAZKIRAH PAGI JUMAAT, KELUARAN 11 / 15 Mei 09
PUSAT PEMIKIRAN DAN KEFAHAMAN ISLAM (CITU), UiTM PERAK

Berbakti Kepada Dua Ibubapa

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Abu Hurairah r.a meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud : ”Kotor hidung seseorang dengan berlumuran tanah (maksudnya menjadi hina), kemudian menjadi hina pula, dan kemudian menjadi hina pula (hina di atas kehinaan) bagi seseorang yang sempat menemui seorang daripada kedua ibubapanya atau kedua-duanya ketika mereka sudah tua dan ia tidak dapat berbuat bakti kepada mereka yang akan melayakkannya menjadi penghuni syurga”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Keterangan:
Berbakti kepada kedua ibubapa adalah merupakan perkara yang sangat dituntut oleh Islam. Allah S.W.T. Meletakkan kedudukan ibubapa di tempat kedua setelah beribadat kepadaNya seperti firman Allah S.W.T. :
Maksudnya: Dan Allah telah memberikan keputusan supaya kamu jangan menyembah kecuali hanya kepadaNya dan hendaklah kamu bebuat bakti kepada dua ibubapa.
(Surah al-Isra’ : 23)

Kedua ibubapa telah banyak bersusah payah dalam memelihara anak-anaknya. Pelbagai bentuk kesusahan dan penderitaan yang tidak dapat digambarkan dan terpaksa dilalui sepanjang proses tersebut. Pengorbanan demi pengorbanan telah dicurahkan kepada anak sehinggalah mereka membesar dengan sempurna serta menikmati kehidupan ini dengan baik. Sewajarnyalah mereka tidak melupakan bakti yang telah dicurahkan oleh ibubapa mereka. Sudah sampai masa dan ketikanya pula anak meluangkan sedikit masa untuk berbuat bakti kepada ibubapa dalam berbagai bentuk dan situasi.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
”Berbuat baiklah terhadap ibubapa kamu, pasti anak kamu akan berbuat baik terhadap kamu”.
(Hadis riwayat Hakim dan Tabrani).

Anak yang soleh sentiasa berbakti terhadap ibubapanya ketika masih hidup dan selalu berdoa untuk kesejahteraan mereka dunia dan akhirat. Ibubapa adalah anak kunci syurga, maka hendaklah kita jaga (awasi) anak kunci itu dan jangan sampai kita sia-siakan.

Apa yang menyedihkan kita, masih ada manusia yang tidak tahu menilai pengorbanan yang dilakukan oleh ibubapa. Penderhakaan dilakukan secara nyata dan jelas tanpa mengambil kira sedikit pun pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibubapa mereka.

Beberapa bentuk penderhakaan yang dilakukan oleh anak kepada ibubapa mereka, antaranya ialah:
1. Tidak mentaati perintah dan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.
2. Mementingkan diri sendiri dan keluarga daripada mengambil tahu kehidupan ibubapa lebih-lebih lagi ketika mereka memerlukan bantuan daripada anak.
3. Kasar ketika berinteraksi dengan ibubapa dan sering mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaan mereka.
4. Sampai hati menyalahkan ibubapa di atas masalah yang mereka hadapi.
5. Berasa hina dengan kemiskinan ibubapa setelah memperoleh kemewahan hidup.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud :

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata, seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak mendapat kebaktian dan kasih sayangku?. Baginda menjawab : Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi, kemudian siapa?. Baginda menjawab : Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi, kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi, kemudian siapa?. Baginda menjawab : Bapamu.

Dalam riwayat lain, dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak mendapat kebaktian dan kasih sayangku?. Nabi s.a.w. menjawab: Ibumu, lalu ibumu, lalu ibumu kemudian bapamu, kemudian yang lebih dekat dan seterusnya.
(Hadis riwayat Muslim)

Marilah kita semua bertekad dan berazam untuk meneruskan kebaktian kita kepada kedua ibubapa kita. Bagi mereka yang telah ketiadaan ibubapa, maka kebaktian disalurkan melalui doa, sedekah, melunaskan segala hutang piutang mereka dengan sesama manusia dan menjalin hubungan dengan mereka yang disukai oleh ibubapa semasa mereka hidup dahulu.. Bagi mereka yang ibubapa masih hidup, teruskan kebaktian ini dan pertingkatkan amalan tersebut sehinggalah ke akhir hayat mereka. Namun begitu pada masa yang sama sebarang bentuk penderhakaan terhadap mereka hendaklah dihindari kerana ia merupakan dosa besar selepas dosa syirik.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud :
Daripada Abi Asid al-Sa’adi bahawasanya seorang lelaki berkata; ”Wahai Rasulullah, apakah ada lagi daripada sesuatu kebajikan yang perlu aku lakukan kepada ibubapaku selepas matinya?”. Sabda Nabi s.a.w. bermaksud : Ya, benar!!, berdoalah ke atas keduanya dan beristighfarlah untuk keduanya, laksanakanlah janji keduanya, hubungkanlah silaturrahmi dengan orang yang pernah dihubungi oleh keduanya serta hormatilah teman-teman keduanya”.
(Hadis riwayat Abu Daud)

Wallahu a’lam.

Disediakan oleh : Abd. Nasir Hj. Musa
Diedit oleh : Ustazah Mazlah Yaacob, Ustazah Kalsom Awang

Terima kasih tidak terhingga kepada Ust. Abd. Nasir di atas kebenaran mengeluarkan tazkirah ini untuk bacaan dan dihayati.

Jazakumullah Hukhairan Kathira. Wassalam.

13 Mei 2009

Sedikit Mengenai Meningitis

KAITAN ANTARA MENINGITIS DAN SAWAN DI KALANGAN BAYI

Sawan yang berlaku dikalangan bayi yang berusia kurang dari tiga bulan lebih besar kemungkinannya disebabkan oleh punca-punca lain yang lebih serius seperti penyakit meningitis.

Demam sawan biasanya berlaku apabila suhu badan meningkat dengan tingginya. Sawan dikalangan bayi yang tidak ada kena mengena dengan demam merupakan sawan yang mungkin disebabkan oleh kerosakan otak, dan punca - punca metabolik seperti kekurangan glukos atau kalsium. [i]

Menurut Dr Hamid Arshat lagi, bayi dan kanak-kanak yang mendapat demam sawan untuk pertama kalinya dibawa berjumpa doktor kerana jika ada perasaan khuatir yang mereka mungkin menghidap penyakit meningitis doktor akan mengambil air dari bahagian tulang belakang untuk diperiksa . Ini adalah penting untuk mengenalpasti dengan awal penyakit meningitis , dan untuk membolehkan doktor memulakan rawatan. Penyakit ini adalah serius dan boleh membawa kepada kecacatan fizikal, mental dan kerosakan deria seperti penglihatan dan pendengaran atau juga maut.

Anggapan-anggapan yang salah seperti bayi itu akan lumpuh setelah air tulang belakangnya diambil (lumbar puncture) terlalu menyebabkan ibu bapa tidak membenarkan doktor- doktor menjalankan prosedur ini untuk menentukan atau mengenepikan penyakit meningitis. Yang merungsingkan ialah adakalanya kanak-kanak itu menunjukan tanda -tanda awal penyakit meningitis dan perasaan ini boleh membantu pengenalpasti dengan lebih awal penyakit ini . Jika ibu bapa membantah ini akan merumitkan perawatan dan akan membawa akibat yang buruk bagi kanak -kanak yang memang menunjukkan kemungkinan menghidap penyakit meningitis.[ii]


BILANGAN KES PENYAKIT DAN KEMATIAN DISEBABKAN MENINGOCOCCAL MENINGITIS DI MALAYSIA, 1999 - 2003[iii]

Meningococcal meningitis merupakan masalah kesihatan yang kritikal bagi banyak negara dan merupakan salah satu penyebab kematian yang utama. Penyakit ini berpunca daripada bakteria niesseria meningitides yang menyerang meninges, iaitu lapisan nipis di sekeliling otak dan tulang belakang. Penyakit ini cepat merebak dalam bentuk titisan air melalui batuk, ciuman atau bersin. Tanpa rawatan yang cukup, seseorang pengidap penyakit ini boleh maut dengan kadar 50% lebih cepat, iaitu kira-kira 24 hingga 48 jam selepas ianya dikesan.

Bagi tempoh 1997-2002, bilangan kes meningococcal meningitis di Malaysia didapati meningkat dengan ketara iaitu sebanyak 59 kes pada tahun 2001 berbanding 23 kes pada tahun 1997.

Dalam tempoh yang sama, peningkatan tertinggi ialah antara tahun 1998-1999 dengan kenaikan mencecah 120.83%. Peratus kematian berpunca meningococcal meningitis juga didapati mencatatkan kenaikan tertinggi.

Selepas tempoh tersebut, peratus kematian berpunca meningococcal meningitis menunjukkan pengurangan. Pada tahun 2002, peratus kematian hanya 14.8% daripada 54 kes yang dilaporkan. Ini mungkin disumbangkan oleh kaedah perawatan yang baik terhadap pesakit.


MENINGITIS DI MELAKA TERKAWAL [iv]

MELAKA 9 Mei - Jangkitan radang selaput otak (meningitis) berjaya dibendung daripada merebak selepas ia menyebabkan kematian seorang pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua di sini, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Chua Keng Hua berkata, tiga lagi pelatih yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sejak 7 Mei lalu hari ini dilaporkan semakin pulih. 9 daripada 10 pelatih yang mendapat rawatan di wad pengasingan dengan gejala jangkitan saluran pernafasan pula, semakin menunjukkan perkembangan untuk pulih.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, sehingga 9 Mei 2009, penyakit meningitis berjaya dibendung daripada merebak kepada penduduk sekitar akademi berkenaan. Sehubungan itu, orang ramai dan penduduk sekitar akademi tidak perlu panik kerana segala langkah berjaga-jaga dan kawalan rapi ke atas pelatih dipantau pasukan perubatan.

Mengulas lanjut, Keng Hua berkata, sebanyak 453 pelatih dan kakitangan di akademi berkenaan yang terdedah kepada virus tersebut telah disaring. Pelatih yang terbabit kesemuanya lelaki berusia antara 22 dan 24 tahun. Seorang lagi mangsa masih mendapat rawatan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang," katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kata Keng Hua, kesemua pelatih dan kakitangan dikuarantin dan tidak dibenarkan meninggalkan akademi selain mereka dikawal oleh kakitangan Jabatan Kesihatan negeri. Selain itu, JPJ telah diminta untuk tidak mengambil pelatih baru buat masa ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman berkata, semua kes menunjukkan gejala utama iaitu demam disertai dengan salah satu atau lebih daripada tanda-tanda seperti sakit kepala, sakit sendi, keletihan, batuk, loya, kejang perut dan menggigil. Kejadian dikesan pada 7 Mei lalu apabila sembilan pelatih mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka kerana demam dan tanda-tanda penyakit lain.

Susulan itu, satu pasukan siasatan yang diketuai Pegawai Kesihatan Daerah dan unit Kawalan Penyakit Berjangkit telah melakukan siasatan dan saringan ke atas pelatih yang terbabit. Sampel darah, kencing, swab tekak telah dihantar ke makmal Hospital Melaka dan Institut Penyelidikan Perubatan untuk siasatan lanjut.

Siasatan turut dijalankan di tiga tempat terbabit untuk mencari punca serangan bacteria iaitu di Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang. Ini kerana seorang pelatih yang meninggal dunia berasal dari Kelantan manakala seorang lagi sedang dirawat di Hospital Kepala Batas.

[i] http://home.hamidarshat.com/IKKdemam_sawan.htm
[ii] http://home.hamidarshat.com/IKKdemam_sawan.htm
[iii] http://www.statistics.gov.my/eng/images/stories/files/otherlinks/PST-Siri5.pdf
[iv] AMRAN MULUP dan RIZANIZAM ABDUL HAMID, pengarang@utusan.com.my (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm)

28 Julai 2008

Peguam Syarie Menulis: Usaha berterusan memartabat Undang-Undang Syariah (Oleh Nurhidayah Muhd Hashim)

Bermula dengan peraturan digubal Inggeris pada 1935 kerajaan sentiasa menaik taraf perundangan Islam.

RUANGAN ini pernah membawa pembaca menyusuri sejarah perundangan dengan melihat bagaimana undang-undang Inggeris bertapak dan membina kekuatan di Malaysia. Apakah berlaku kepada perundangan syariah selepas negara merdeka dan bagaimana kod peruntukan undang-undang sebelum ini? Apabila Inggeris menguatkuasakan kod undang-undang Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment Chapter 197 of Revised Law of Federated Malay States, 1935, ia lebih memusatkan kepada aspek pentadbiran seperti pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta sedikit hukum asas perkahwinan.

Pengkaji Barat, M B Hooker dalam tulisannya turut menyebut ia bertujuan memudahkan British mengawal selia urusan kekeluargaan masyarakat Islam di samping cuba mengekalkan polisi tidak mencampuri hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sekadar tidak menghina amalan sedia ada. Bermula awal 1950-an, tindakan pertama dijalankan ialah penggubalan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, Selangor 1952 yang mengandungi urusan penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor membantu Sultan dalam mentadbir perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Hak dan kuasa majlis, peraturan mesyuaratnya, penubuhan Jabatan Agama Islam, pelantikan mufti dan Jawatankuasa Fatwa. Penubuhan Mahkamah Kadi dan Kadi Besar, pelantikan Kadi Besar serta bidang kuasa mahkamah dalam mendengar dan memutuskan kes yang berlaku antara orang Islam dinyatakan dalam Seksyen 43 hingga 57, manakala Seksyen 58 hingga 93 diperuntukkan peraturan perbicaraan jenayah dan perbicaraan mal yang perlu diikuti di mahkamah.

Enakmen Pentadbiran 1952 juga memperuntukkan perkara berkaitan urusan wakaf dan pengurusannya, nazar, zakat, fitrah, pungutan khairat, hal ehwal wang amanah, pengurusan masjid dan pelantikan pegawai dinyatakan dalam seksyen 94 hingga 118. Aspek kekeluargaan diperuntukkan tetapi tidak terperinci. Perkara dinyatakan meliputi urusan pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembubaran perkahwinan, harta sepencarian, penjagaan anak, nafkah anak dan isteri, anak sah taraf dan sebagainya. Ia diperuntukkan dalam 25 seksyen saja iaitu seksyen 119 hingga 144. Kandungan Enakmen Pentadbiran 1952 sebenarnya menggabungkan pelbagai undang-undang pentadbiran agama Islam. Dengan pewartaan Enakmen Pentadbiran 1952, maka ia menggantikan pemakaian kod Muhammadan Enactment yang dikuatkuasakan. Penggubalan Undang-undang Pentadbiran dilaksanakan di negeri lain iaitu negeri Kelantan pada 1953, Terengganu (1955), Pahang (1956), Pulau Pinang dan Melaka (1959), Negeri Sembilan (1960), Kedah (1962), Perlis (1963) dan Perak (1965).

Jika dikaji, peruntukan mengenai urusan perkahwinan dalam Enakmen Pentadbiran 1952 sebenarnya hampir sama dengan peruntukan yang ada dalam Muhammadan Enactment. Sekyen 6 (i) Muhammadan Enactment dan seksyen 128(1) Enakmen Pentadbiran 1952 mengenai cerai fasakh tidak menjelaskan apa maksud fasakh dan alasan diterima oleh mahkamah untuk isteri menuntut fasakh. Menurut E N Taylor, oleh kerana kebanyakan penduduk Tanah Melayu berpegang kepada mazhab Syafie, maka prinsip dalam mazhab Syafie bagi masalah ini akan terpakai. Ini bermakna berdasarkan kepada pendapat atau andaian Taylor, alasan yang dibincangkan dan dipersetujui oleh mazhab Syafie sahajalah yang akan diterima oleh mahkamah sebagai alasan menuntut fasakh. Kedua-dua enakmen memperuntukkan selepas permohonan didengar dan isteri mengangkat sumpah di hadapan saksi, maka pendaftar akan merekodkan perkara itu dan akan meluluskan permohonan fasakh atau taklik yang dituntut jika beliau yakin ia menepati undang-undang Islam. Hampir keseluruhan peruntukan adalah bersifat umum dan longgar. Oleh kerana kekurangan yang ada dalam kod undang-undang sebelumnya tidak diperbaharui dengan baik oleh Enakmen Pentadbiran 1952, maka tindakan dan usaha lain ke arah melahirkan peruntukan undang-undang lebih baik sangat diperlukan. Menurut Profesor Ahmad Ibrahim, permasalahan dan kedudukan pentadbiran undang-undang Syariah yang kurang memuaskan disedari kerajaan dan orang Islam di Malaysia. Akhirnya diwujudkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan Allahyarham Syed Nasir Ismail dan dianggotai pakar undang-undang syariah ditubuhkan untuk menimbang kedudukan undang-undang syariah, kuasa dan status Mahkamah Syariah dan hakim Mahkamah Syariah di negara ini. Perkembangan seterusnya membawa kepada penggubalan dan pewartaan Enakmen Undang-Undang pada 1980-an dan yang terakhir adalah kod undang-undang pada 2003 seperti dilaksanakan di Selangor, Kelantan dan beberapa negeri lain. Usaha lebih agresif dan tersusun masih perlu digiatkan dan kita semua perlu menyokong untuk memartabatkan perundangan syariah di tanah air tercinta ini.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com