Pengikut Setia

29 Januari 2016

Bubur Nasi dan Kopi vs. Ais Cincau

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Bubur Nasi dan Kopi


Bubur nasi kini menjadi hidangan yang paling enak di antara banyak-banyak makanan yang ada di muka bumi.  Tambah sedikit kicap pastinya lebih ngam dengan selera orang yang sedang menanggung kesakitan gigi.  Sebenarnya bukan gigi yang sakit tetapi gusi kerana gusi yang menanggung gigi itu kini sedang membengkak dan hampir surut setelah satu fasa pertama antibiotik telah dilengkapkan, tunggu lagi 4 hari.  4 hari bukan lah satu tempoh yang panjang tetapi bila menunggu yang membuatkan tempoh itu terlalu lama... bermakna 4 hari lagi YB harus meneruskan hidup dengan makan bubur nasi berlaukkan kicap yang paling enak.

Alhamdulillah, syukur biarpun bubur nasi menjadi peneman selera YB masih lagi bisa meneruskan hidup.  Maka nikmat mana yang hendak dinafikan berbanding sebahagian lain yang tidak bisa makan sendiri walaupun sesudu nasi.

Bubur dan Kopi


Kopi merupakan antara minuman kegemaran YB sejak dari kecil.  Dibesarkan bersama orang tua yang hidupnya setiap pagi harus dimulakan dengan kopi.  Namun kini, cara penyediaan kopi telah dipermudahkan.  Dengan adanya kopi segera hanya perlu tambah air panas sahaja tidak perlu tambah gula dan tidak perlu penapis... lebih mudah.  Nikmat ini pastinya tidak dapat dibandingkan, biarpun sakit gigi tetapi kelansungan hidup masih berterusan.

Mulai hari ini menu utama adalah bubur nasi dan kopi putih segera.  Enakkan?

Ais Cincau Tabur


Ais Cincau Tabur.  Antara menu yang disukai bila berkunjung ke gerai tepi jalan.  Ais yang ditabur dengan susu pekat dan susu cair kemudiannya dihias indah cincau yang telah diparut.  Sungguh menyelerakan dan mendamaikan.

Tetapi itu suatu masa dahulu ketika gigi ini masih lagi berfungsi dengan baik.  Kini ais cincau tabur itu hanya mampu dilihat sahaja.

Kesyukuran juga dipanjatkan kepada Ilahi atas kurnianya kerana sempat juga menjamah dan menikmati sebahagian kecil daripada nikmat yang tidak terhitungkan.  Biarlah menu itu disitu untuk dinikmati oleh insan lain yang lebih berhak.

Sejujurnya YB sedar dan insaf bahawa bila tiba masanya kita akan menempuh banyak perkara. Seterusnya hal-hal yang tertentu kita perlu lewati dan biarkan ia berlalu.  Bersyukur kerana diberi peluang untuk meneruskan hidup ini.  Bila tiba masanya kita tidak tahu kita akan sampai juga.

Sekian.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa singgah dan baca entri Bubur Nasi dan Kopi vs. Ais Cincau.


Salam Jumaat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Salam Jumaat


Oleh kerana hari ini Jumaat, banyak pula orang mencari hikmah hari Jumaat.  Maka YangBaik dengan ini persembahkan sekali lagi petikan yang ada Jumaat di dalamnya.


Salam Jumaat

Barang Siapa yang mempermudahkan kesulitan orang lain maka Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan di akhirat (Hadis Riwayat Muslim).

Bersegera ke Masjid


Sekian, selamat berJumaat.

Terima kasih sudi singgah dan baca entri Salam Jumaat.


28 Januari 2016

Habiskan bila perlu

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Habiskan bila perlu


Ubat-ubatan tidak kiralah ubat tradisional atau moden, ada peraturan makannya yang tersendiri. Lazimnya bagi ubat moden bila dah mula makan perlu dihabiskan iaitu antibiotik. Bila tidak dihabiskan mungkin ada kesan sampingan, tidak pasti pula apa kesannya. Kerana setiap kali dapat antibiotik bila dah dipesan makan sampai habis, memang dihabiskan walaupun tak suka.

Makan bila perlu pula lebih kepada ubat tahan sakit atau "pain killer". Sejenis ubat yang sewajarnya dielakkan, diambil dengan nasihat doktor apabila sakit yang ditanggung sudah tidak tertahan lagi.

Ubat-ubatan

Inilah antara ubat yang terpaksa dihabiskan, antibiotik. Ubat ini diberikan oleh doktor kerana gusi yang semakin membengkak. Hasrat hati nak cabut gigi kerana sakit yang sudah tidak tertahan. Sakit gigi yang menyerang hampir seminggu. Habis sudah ikhtiar secara tradisional, ke klinik juga akhirnya.

Minggu depan selepas habis antibiotik baru dapat cabut gigi. Sementara itu, bila sakit melanda telan saja "pembunuh kesakitan".


Selfie jom!!
Dua hari sebelum itu, biarpun sedang menahan sakit sempat juga selfie. Pipi sudah pun bengkak.


Pilih jangan tak pilih
Melihat gelagat mereka pilih kenderaan, macamlah kereta itu disewakan secara percuma.


Apa tengok-tengok
Yang satu dah lepas, tinggal lagi 3 buat pilihan. Pilih pilih jangan tak pilih. Biar kempis sikit dompet duit ayah kome.


Akhirnya, masa dah cukup tapi masih lagi tak puas. Sabar yer anak-anak, lain kali kita datang lagi. Mood ayah dah tersentap bila modalnya dah hampir habis untuk benda yang kurang diperlukan.

Ada benda yang perlu dihabiskan ikut masa, bukan semua benda perlu dihabiskan ikut suka hati.

Sekian.  Terima kasih kerana singgah dan baca Habiskan bila perlu
posted from Bloggeroid

Carian