Pengikut Setia

Memaparkan catatan dengan label Resepi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi. Papar semua catatan

15 Januari 2016

Sambal Tumis Telur Yang Mengancam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Sambal Tumis Telur Yang Mengancam


Tajuk memang mengancam.  Kenapa mengancam?  Sebab sekarang nie anak-anak dah suka sangat dengan sambal tumis telur.  Bila mereka dah suka, maka akan menjadi ancaman kepada emaknya yang kadang-kadang mood memasaknya kedaung.

Sambal tumis telur ni sebenarnya memang menjadi kesukaan YangBaik juga.  Selain dari sedap penyediaannya juga mudah.

Dengan itu, izinkan YangBaik kongsikan sedikit resepi sambal tumis telur versi YangBaik.

Sambal Tumis Telur

Bahan utama yang diperlukan adalah telur ayam direbus sehingga masak.  Berapa banyak bilangannya terpulang kepada bilangan orang yang akan makan.  YangBaik hanya rebus mengikut bilangan ahli keluarga semasa sahaja (5 orang)

Bahan lain:
1.  20 tangkai cili kering
2.  5 ulas bawang merah
3.  sedikit belacan atau boleh digantikan dengan udang kering
4.  sedikit garam
5.  sedikit gula
*  semua bahan 1-5 dikisar bersama sehingga halus.  Jika hendak lebih mudah beli saja cili boh, bahan-bahan yang lain terpulang kepada kehendak dan keperluan.
6.  asam keping atau air asam jawa
7.  Air

Kaedah:
1.  Tumis bahan yang dikisar sehingga pecah minyak.
2.  Masukkan sedikit air mengikut kepekatan yang disukai.
3.  Masukkan asam keping atau air asam jawa.  Jika tiada boleh digantikan dengan sos tomato atau sos cili (banyak pula pilihannya :P)
4.  Setelah mendidih, masukkan telur rebus yang telah dikupas kulit.  Kacau seketika sehingga rata dan boleh angkat serta hidangkan.

Sambal tumis kini menjadi pilihan anak-anak kerana hanya ini yang mudah dibuat.  Selain dari itu mereka juga mungkin sudah jemu dengan lauk ayam goreng.

Selamat mencuba kepada semua.


22 November 2014

Buat Sendiri Roti Bun

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Roti Bun Buat Sendiri

Dah lama cuba buat roti bun sendiri.  Setiap kali cubaan itu gagal, tiada yang menjadi dengan betul sebaliknya keras dan tidak lembut atau gebu seperti yang dibeli.  Agak kecewa juga.  Nak salahkan resepi 100% tidak patut juga.  Kerana yang menyebabkan roti tidak menjadi kadang-kadang disebabkan kelalaian atau kesilapan kita.


Roti bun buat sendiri

Kali ini, dapat resepi baru untuk buat roti bun, nampak macam senang dan mudah.  Nak dapatkan bahan-bahanpun tidak susah.  Jika ada sesiapa yang pernah menyiarkan resepi roti bun buat sendiri... maaf lah resepi ini telah saya oleh semula ikut kehendak saya... jangan marah...nanti roti tidak menjadi.  Walau apapun terima kasih atas resepi yang telah disiarkan terdahulu.

Sekarang, lihat pula resepi yang telah saya olah semula.... mudah sangat.

Bahan-bahan

1/2 Cawan Air Suam
1 sudu kecil serbuk yis 
3 sudu besar susu pekat
(Semua bahan di atas dicampurkan di dalam mug/mangkuk kecil.  Biarkan bahan tersebut berbuih)

2 Cawan tepung gandum
1 cawan tepung kek (tepung naik sendiri)
1sudu makan majerin lembut
1 sudu teh gula 
(bahan ini digaul dijadikan peroi)

Cara-cara membuatnya

1.  Masukan bahan bancuhan yis tadi ke dalam adunan tepung.
2.  Gaul dan uli hingga  menjadi doh yang tidak melekat ditangan.
3.  Perapkan selama 2 jam atau lebih sehingga adunan naik 2 kali ganda. (Selepas dua jam, setelah doh naik 2 kali ganda, tumbuk-tumbuk adunan untuk membuang angin di dalam doh)
4.  Uli doh dan bentukkan roti mengikut kesukaan. Bentuk paling mudah dan asa adalah bulat. Letakkan ke dalam Loyang yang disapukan sedikit minyak.
5.  Sapukan kuning telur untuk kesan keemasan di atas roti.
6.  Boleh juga ditaburkan bijan, kismis atau apa saje kesukaan anda.
7.  Rehatkan kali kedua anggaran 10 - 20 minit, supaya doh naik lagi.
8.  Bakar selama 25 minit mengikut oven masing-masing.  Saya gunakan kuali ajaib dengan api yang perlahan dan bakar selama 40 minit.

Anak-anak suka, suami suka... saya bertambah suka untuk buat lagi.  Walaupun tidaklah segebu roti Gardenia atau roti berjenama lain di pasaran, tetapi rasanya tetap tidak kalah.  Cuma pada rupa memang tidak boleh tiru sebab baru cubaan pertama yang menjadi...

Roti buat sendiri ini bukan sahaja mudah tetapi boleh dimakan pada setiap masa tidak kira pagi atau petang... untuk supper pun bagus juga.

Selamat mencuba kepada semua.

Terima kasih.

21 Julai 2014

Sup Bebola Ikan berbunga karot

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Sup bebola ikan berbunga karot.  Antara masakan yang agak ringkas dan mudah.  Anak-anak suka makan, umi dan ayah pun senang hati.

Bila dah tiba masa malas nak masak campur dengan tiada idea, tak tahu nak masak apa jadinya apa saja yang terlintas kat kepala otak ni... itulah yang jadi.  Pergi ke pasar mini dekat rumah, cari apa benda yang boleh membantu untuk masakan.  Kebetulan terjumpa bebola ikan 'besar punya', ingat nak buat sambal tumis tapi anak-anak pula tak makan pedas.  Bulan puasa ni bukan saja selera mak bapak yang nak kena ikut, selera anak-anak lagi la nak kena ikut.  Sebagai hadiah kerana berpuasa.  Barulah bersemangat anak-anak nak puasa.

Masakan saya kebanyakannya jenis sup... mungkin juga sebab dah semula jadinya macam tu kot. :P
Malas nak bergulai bagai.  Kalau nak buat gulai-gulai tunggu encik suami yang masak.  Dia memang suka lah.  Tapi kali ini saya nak berkongsi resepi yang sangat ringkas dan mudah untuk sesiapa saja.



BAHAN-BAHAN:-

1 paket bebola ikan (anggaran 20 biji), boleh ditukar dengan bebola ayam atau ketam terpulang kepada selera masing-masing
1 batang lobak merah (karot)
1/2 pokok brokoli (tak tau nak panggil apa)
5 ulas bawang merah - hiris nipis
2 ulas bawang putih - ketuk
1 mangkuk air (ikut citarasa)
Sedikit lada sulah
Sedikit garam


CARA MEMBUATNYA:-

1.  Bebola ikan dibersihkan, bilas dengan air lalu.
2.  Brokoli dipotong kecil.  Lobak merah di hiris nipis.  Saya buat bentuk bunga seperti di dalam gambar untuk memberi semangat kepada anak-anak dan supaya mereka tertarik.  Memang berhasil, siap dapat pujian lagi.
3.  Tumis bawang merah dah bawang putih sehingga naik bau.  Masukkan air dan kacau.
4.  Masukkan berbola ikan, lobak, brokoli dan air. Tunggu sehingga mendidih.  Masukkan garam dan lada sulah.
5.  Hidangkan.


Nota:
Selain dimakan bersama nasi panas, sup ini juga sedap dimakan begitu saja dan campurkan dengan sedikit sos cili keropok untuk rasa pedas dan sedikit masam manis.



17 Julai 2014

Peria tumis udang geragau

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Peria tumis udang geragau


Bila usia dah semakin meningkat corak pemakanan perlu ditukar dari lemak, manis, berkrim dan kurang berkhasiat kepada makanan berzat terutama ulam-ulaman.  Yang sebenarnya sejak dari muda atau dari kecil lagi dah kena ajar.  Tak usah nak kata anak orang nie... mak orang ni sekarang baru nak belajar makan sayur dan ulam pahit-pahit... semenjak kepala pula beputar dan berpusing tidak mengira masa.

Dari zaman kanak-kanak bukan tidak diajar makan peria.  Tetapi ketika di zaman kanak-kanak peria merupakan musuh utama.  Makan nasi dengan kicap pun tak apa daripada dok menghadap lauk peria. Kan? Sekarang ni baru la nak sedar diri... dah cuba cuba juga lah nak didik anak-anak... tolonglah jangan putus asa.  Zaman dah berubah banyak sangat.  Keadaan makanan zaman sekarang tidak seperti makanan ketika zaman kita kanak-kanak dulu.  kalau nak dibandingkan dengan zaman kanak-kanak mak atau opah kita lagi lah... jauh bezanya.

Anak-anak zaman sekarang kalau terjumpa yang pandai makan ulam ... memang salute habis lah kat mak bapak diorang... sebab anak-anak saya memang bermusuh sangat dengan sayur-sayuran terutama ulaman. Memang bukan taste dia orang.

Namun usaha tetap usaha jangan berputus asa yer... kawan-kawan.

Hari ini memang nak berceloteh panjang sebab dah dua hari sakit kepala yang amat sangat sehingga rasa nak ketuk-ketuk kat dinding.  Nasib lah kat rumah tak disimpan besi pengunci stereng kereta... upsss.

Saya nak berkongsi sebenarnya resepi makanan yang saya baru berjinak-jinak iaitu Peria Tumis Udang Geragau.  Dah lama tak makan peria semenjak ketiadaan mak dan mak mertua kerana arwah selalu masak peria untuk anak menantunya ini :P.



BAHAN-BAHAN:

1 biji buah peria sederhana besar
5 biji cili padi (diketuk)
1 ulas bawang besar (dipotong dadu)
2 ulas bawang putih (diketuk)
1/2 cawan udang geragau - jika tiada boleh digantikan dengan belacan kira-kira sebesar ibu jari (tangan ehh)
sedikit garam

CARA MEMASAK:

1.  Buah peria dibelah dua, buang biji dan dihiris setebal 1 cm (anggaran). Rendam dalam air garam atau gaul dengan garam seketika untuk hilangkan rasa pahit.
2.  Tumis bawang merah dan bawah putih hingga kekuningan, masukkan cili padi.  Jika nak pedas boleh ditambah cili padi.  Kacau rata.
3.  Masukkan udang geragau, kacau lagi hingga rata dan sehingga naik bau udang (seperti batu belacan).
4.  Masukkan buah peria dan sedikit garam.  Garam tidak perlu diletakkan banyak kerana udang geragau sudahpun ada rasa masin.
5.  Jika suka berkuah masukkan sedikit air masak.  Saya tidak masukkan air kerana tidak suka berkuah.


nota:
Banyak versi untuk masak peria.  Di lain masa, in shaa Allah jika berpeluang saya kongsikan resepi peria yang lain pula.

Terima kasih atas perhatian anda semua.



12 Julai 2014

Ikan Tilapia Goreng Bercili

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Ikan Tilapia Goreng Bercili

Ikan Tilapia adalah ikan darat yang banyak terdapat di lombong tinggal di sekitar Seri Iskandar dan Tronoh atau mungkin juga di tempat anda.  Ada juga Ikan Tilapia yang diternak tetapi rasanya tidak sama dengan Ikan Tilapia yang hidup bebas di lombong atau sungai.

Saya, nak bercerita panjang lebar mengenai Ikan Tilapia tidaklah juga sebabnya saya bukan tahu sangat sejarah hidup ikan eksotik ini.  Yang saya tahu ada juga orang yang tidak makan ikan darat walaupun dia bukanlah orang laut.  Terpulang ... itu kelebihan masing-masing.

Ikan Tilapia jika tidak dibasuh dengan betul pasti akan membawa kesan bau hanyir yang kuat.  Bau hanyir ini boleh menyebabkan orang hilang selera makan.  Saya ada petua sendiri untuk menghilangkan bau hanyir ikan.  Petua saya kan ceritakan dalam siri lain yang akan datang.  Sabar yer!!

Hari ini saya nak bercerita mengenai resepi Ikan Tilapia Goreng Bercili yang dimasak oleh encik suami.  Dia memang suka masak dan suka makan juga. :D  Sebelum dia masak kesemua ikan tilapia tu.. saya dah pesan supaya tinggalkan separuh ikan goreng untuk anak-anak.  Sebabnya bila dah masak cili nanti pedas, anak-anak tidak boleh makan... sedangkan anak-anak saya semuanya suka makan ikan tilapia goreng. Yess!! anak umi kannnn.




BAHAN-BAHAN :-

3 ekor Ikan Tilapia
1 ulas bawang besar (dipotong dadu)
3 ulas bawang putih (diketuk dan dicincang)
1 biji tomato (dipotong dadu atau boleh juga dihiris nipis)
10 tangkai cili padi (diketuk) - boleh tambah untuk lebih pedas lagi
1/2 batang celeri (dipotong serong)
sedikit air asam jawa (saya gunakan paste asam jawa adabi dicampur dengan 1/4 cawan air masak - lebih mudah)
gula dan garam secukup rasa


CARA MEMBUATNYA :-

1.  Ikan Tilapia dibersihkan, sapukan sedikit asam jawa dan goreng sehingga garing.  Jika tidak suka garing, memadai sehingga masak.  Saya goreng garing kerana bila garing tulang yang kecil senang dimakan.  Setelah digoreng angkat dan ketepikan.
2.  Tumis bawang besar dan bawang putih dengan sedikit minyak masak kira-kira 2 sudu besar.  Tumis sehingga bawang kekuningan, masukkan celeri yang telah dipotong dan cili padi.  Kacau sehingga rata dan sebati. 
3.  Masukkan tomato air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.  Seterusnya masukkan Ikan Tilapia yang digoreng tadi, balikkan perlahan-lahan supaya ikan tidak hancur.  Agak-agak kuah tadi telah selaputi ikan, angkat dan hidangkan.


*catatan:  
1.  Di dalam ikan kelihatan hitam kerana digaul dengan asam jawa sebelum di goreng.  Sekiranya tidak suka asam jawa atau tidak mahu ikan kelihatan gelap, ikan berkenaan boleh digaul dengan kunyit dan sedikit garam sebelum digoreng.
2.  Ikan Tilapia boleh dibersihkan lebih awal dan simpan dalam peti ais (freezer) sebelum digoreng atau goreng lebih awal sebelum buat kuahnya.  

Saya tidaklah berhasrat nak menandingi blogger masakan yang dah handal dan popular tetapi sekadar berkongsi resepi dan selera dengan pembaca blog ini.

Sekian adanya.  Terima kasih.


Sementara itu... sudahkah anda menyahut cabaran Contest Duit Raya 2014 oleh Denaihati?
Klik banner di bawah untuk menyertainya.

Cabaran Duit Raya 2014

30 Jun 2013

Menu Sarapan Hari Ahad | Ketayap Emas Sambal Udang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Seperti biasa lagi setiap hari Ahad adalah hari untuk mereka resepi istimewa untuk sarapan sekeluarga.  Tidak seperti biasa minggu-minggu yang lepas di mana menu sarapan pagi adalah di luar rumah.  Hari ini, ala-ala ibu mithali pagi-pagi lepas solat subuh dah mereka cipta menu untuk keluarga.

Teringat dalam peti ais masih ada baki sambal udang pemberian Kak Intan dari Sungal Galah.  Sambal udang berkelapa bukan sambal tumis udang.  Sambal udang berkenaan adalah untuk dibuat pulut udang.  Nak buat apa dengan sambal tu.  Oleh kerana beras pulut dah habis maka ingat nak buat roti jala tapi macam tak sesuai je dengan sambal udang.  Nak buat lempeng tak kena juga.  Ingat punyat ingat, fikir punya fikir terus terlintas nak buat ketayap.  Tepung gandum  pun ada lagi.

Apa lagi mulalah operasi membuat ketayap emas.  Nama Ketayap Emas ni adalah bersempena dengan warnanya yang kekuningan.  Teringat juga nak buat hijau, tapi tak berapa kena juga sebab kalau kulit hijau kena inti manis, disebabkan intinya pedas maka adalah molek kulitnya dikuningkan baru sesuai... andaian sendiri lah tu... tak pernah baca kat mana-mana pun peraturannya mesti begitu.



Resepinya memang mudah sangat pakai campak-campak bahan dalam besen kecil dan pakai agak-agak jer.  Oleh kerana tidak mahu menghampakan pembaca maka aye catatkan di sini bahan dan kaedah membuat ketayap emas.

Bahan-bahan seperti tepung gandum dalam anggaran 1/2 kati, telur sebiji, satu sudu teh garam, serbuk kunyit, sedikit baking powder (tak taulah apa fungsinya, tapi menjadi juga) dan 1 jag air masak.  Campurkan semua bahan dan kacau hingga sebati.  Panaskan kuali, sapu sedikit minyak masak agak-agak melekat pada kuali sudahlah.  Ambil kira-kira setengah senduk adunan tepung tadi tuang ke atas kuali dan leperkan.  Tak perlu kalih (terbalikkan).  Angkat letak atas pinggan leper yang besar, letakkan sambal udang dan gulung.

Ketayap emas ini sedap juga dimakan waktu petang bersama secara kopi 'Che Nah'.  Tidak sesuai dibuat berbuka puasa sebab pedas, nanti sakit perut pula.

Sekian adanya.  Selamat menjamu selera di hujung minggu.

08 September 2012

Kueh cara berlauk bukan anak rusa nani

As salam



Tiba-tiba la pulak teringin nak makan kueh cara.  Tak ingat tengok iklan apa kah yang menyebab keinginan itu datang membuak-buak.  Dah lama sangat tak buat kueh cara.  Setiap kali buka kabinet dapur terlihat acuan kueh cara tak pula terasa nak buat.  Teringat juga bulan puasa lepas beli kueh cara manis untuk berbuka ... tapi rasanya kurang memuaskan.  Mulalah rasa baik buat sendiri jer kalau tak sedap pun memang air tangan sendiri tetapi bila beli... rasanya tak sedap dan kurang memuaskan memang tak puas hati.  Malam tadi minta tolong encik suami belikan tepung gandum.  Encik suami memang tak berapa suka nak susahkan orang rumahnya tambah bila dah sarat macam ni.  Katanya 'kesian' kena buat kerja rumah dah lah kat ofispun banyak kerja.  Tak per lah bang... kerja tetap kerja tetapi bab makan bila dah nak buat kena buat ler... nanti meleleh plak air liur.

Panjang lebar pula ceritanya.  Berbalik kepada cerita kueh cara berlauk... bangun pagi ingat nak buat lauk sardin jer tapi dah daging rusa balance bulan puasa hari tu ada sikit lagi... buat lauk daging rusa pulak lah... lain sikit kan.  Jom kita layan resepinya.

Bahan untuk kueh:
2 mangkuk tepung gandum
1 mangkuk santan
3 mangkuk air
secubit garam (secukup rasa sebenarnya)
serbuk kunyit

cara buat:  yangbaik bukan derhaka yer tetapi saja nak cuba.  Semua bahan di atas dimasukkan dalam blender (hadiah kahwin. hehehe) dan blend sampai sebati... senang kan? lepas blend masukkan dalam besen atau jug kecil untuk mudah tuang ke dalam acuan.

setelah lauk siap. panaskan acuan sapu minyak sebaiknya guna daun pandan yang diikat.  setelah acuan benar-benar panas tuang bancuhan kueh dan diikuti dengan lauk. tutup acuan.

kueh akan mudah dikeluarkan dari acuan sekiranya ia telah masak.

Bahan untuk lauk:
1 mangkuk daging rusa di cincang halus
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji kentang (sederhana) dipotong dadu kecil - jika suka boleh tukar dengan karot
1 sudu besar rempah kari daging
garam
air
minyak untuk menumis

cara membuat:
1.  panaskan minyak, tumis bawang merah dan bawang putih.
2.  masukkan rempah kari, tumis hingga naik bau.
3.  masukkan daging rusa dan ubi kentang, gaul hingga sebati dan biarkan sehingga air daging kering.
4.  masukkan air ~ anggaran 3 cawan, diikuti dengan garam. 
5.  masak sehingga daging dan ubi kentang empuk.  angkat




'suka duka pentas dunia'

Resipi cinta mengelak retak menanti belah

As salam,


Pecah menanti sebab, retak menanti belah.  Peribahasa berkenaan menggambarkan sesuatu yang pasti terjadi.  Walaupun begitu tidak semestinya retak itu akan terbelah.  Apa pun yang terjadi berpunca juga dari kebijaksanaan seseorang dalam menangani masalah atau sesuatu situasi.

Apa yang penting dalam mengharungi kehidupan adalah kesabaran dan kesediaan menerima kekurangan orang lain serta menerima apa juga teguran dengan berlapang dada serta bersedia berubah.  Berat tu... Memang berat dan sukar kan?  Tetapi percayalah dalam keberatan dan kesukaran itu kita akan temui kebahagiaan yang kita sendiri kadang-kadang sukar fahami.


Resepi cinta ini tidaklah semanis kurma atau sehebat cinta bidadari namun ramuannya sedikit sebanyak boleh juga membantu melegakan kepanasan dalam hidup berumahtangga. 

Antara ramuan utama adalah kesabaran dan kesetiaan serta rasa hormat kepada pasangan tanpa mengira pangkat atau darjat.  Selain dari itu tidak kurang penting adalah keimanan dan ketakwaan kepada Pencipta dan RasulNya mampu menghilangan rasa marah yang membuak-buak dan meredakan kepanasan hati.

Tips yang tidak kurang penting adalah, setiap kali keluar atau pulang ke rumah berilah salam kepada ahli keluarga atau penghuni yang ada di dalam rumah kita. Ramuan ini jarang digunakan namun ia turut menyumbang kepada kemanisan dalam berumahtangga.

Sedikit kepahitan seperti kekurangan pasangan dapat diatasi dengan bersedia menerima kekurangannya disamping muhasabah diri bahawa kita sendiri juga punya kekurangan dan kekurangan itu sepatutnya dapat diatasi dengan saling bantu membantu dalam menghadapi kesukaran.

Gurau senda serta manisnya kenangan lalu sepatutnya dijadikan sandaran ketika rasa keciwa mula menjelma.

Semoga dengan resepi yang tidak seberapanya ini mampu melengkapi menu kehidupan harian.






'suka duka pentas dunia'

29 Julai 2012

Menu berbuka: Pengat pisang nangka berganda abang belanja

As salam,


Menu lagi!  Sementara menunggu masuk waktu berbuka puasa hari ini, @yangbaik ambil kesempatan untuk mencatatkan satu lagi menu berbuka puasa.  Mengapa abang belanja?  Ha... sebabnya hari ni pengat pisang nangka ini disediakan oleh encik abang.  Menu nya memang dia yang buat.  @yangbaik hanya tolong potong buah nangka sahaja. Selebihnya encik abang yang sediakan mula dengan ambil daun pandan hinggalah masukkan santan dan gula.  Memang dari pagi tadi encik abang mengidam nak makan pengat pisang.  Asalnya nak cari pisang tanduk tapi tak jumpa yang jumpa cuma pisang nangka jer.

Pisang nangka pun boleh juga bercampur dengan nangka pula tu sebab jadi berganda nangkanye.... hehehe.  Jom lah kita tengok resepi pulak.... itupun kalau sudi ... kalau tidak tengok gambar jer lah.


Bahan:
1 mangkuk buah nangka dipotong kecil
3 biji pisang nangka dipotong melintang
1 kotak santan segera
1/2 tin susu cair
1 cawan gula (secukup rasa)
air secukupnya
secubit garam
2 helai daun pandan

Cara membuat:
1.  Campurkan pisang dan nangka di dalam satu periuk, masukkan santan dan sedikit air.  Kacau rata dan tunggu sehingga mendidih.
2.  Masukkan susu cair, gula, garam dan daun pandan (diikat), Kacau sehingga rata dan tunggu sehingga mendidih.
3.  Sedia untuk diangkat dan hidangkan.

Sekian,selamat mencuba.



"Suka duka pentas dunia"


(@-@)
.




28 Julai 2012

Kerisi goreng bersos tomato

As salam,



Bila bercakap mengenai resepi dan menu makan memang tak kan habis.  Ada saja yang nak diceritakan walaupun masakannya ringkas dan mudah.  Namun tidak semua kita berkesempatan dan berpeluang memasak makanan yang ringkas seringkas ikan kerisi goreng bersos tomato.

Bagi @yangbaik hanya hari Sabtu dan Ahad sahaja berpeluang sepenuhnya untuk memasak istimewa sikit bagi berbuka puasa dan bersahur untuk keluarga.  Pada hari bekerja, kebiasaannya lauk ringkas dan kueh pun tengok mood kalau rasa nak beli beli yang manis sikit kalau tak makan jer apa yang ada nasi dan lauk pun sudah cukup dan disulam dengan 'air hijau' atau sirap buatan sendiri.  Senang jer. 
Berbalik kepada tajuk cerita, di sini diperturunkan resepi untuk dikongsikan bersama iaitu menu berbuka puasa hari ini dan mungkin juga akan sampai sahur pagi esok.

Bahan-bahan
4 ekor ikan kerisi di goreng
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 labu bawang besar - hiris bulat
1 biji cili merah - hiris halus
1 tangkai daun bawang - hiris
1 tangkai daun sup - hiris
minyak untuk menumis
sedikit garam
1/2 cawan sos tomato
1/4 cawan sos cili
1/2 cawan air

Cara membuat:
1.  Tumis bawang merah dan bawang putih hingga kekuningan, masukkan sos tomato dan sos cili gaul rata.
2.  Masukkan 1/2 cawan air dan garam biar hingga mendidih.
3.  Masukkan ikan cili merah dan bawang besar diikuti dengan ikan kerisi, gaul hingga rata dan angkat untuk dihidangkan.
4.  Tabur hirisan daun sup dan daun bawang.  Siap

Mudah saja.  Selamat mencuba!


"suka duka pentas dunia"

*-*

22 Julai 2012

Menu Berbuka Puasa Hari ini

As salam,


Sup Kepala Ikan Siakap

Siakap Senohong Gelama Ikan Duri
Bercakap Bohong Lama-lama Mencuri

Selingan jer tu.  Tentu kita dah biasa dengar pantun dua kerat seperti di atas.  Terutama zaman kanak-kanak dulu.  Tetapi sejauh mana anak-anak zaman sekarang memahaminya entahlah.  Manakan tidak, anak-anak @yangbaik sendiri pun tak pernah didendangkan dengan pantun tu.  Bila cakap mesti 'direct to the point' tiada kiasan atau pantun pantun bagai lagi.  Begitu juga dengan anak-anak muda zaman sekarang, bila bercakap tak boleh berkias nanti diadunya kepada pihak pengurusan katanya kita permainkan mereka.  Kan ke naya... Cakap biar terang!!

Eh, melalut pulak.  Sebenarnya kan... percaya atau tidak @yangbaik baru saja lepas masak sup kepala ikan siakap.  Sebelum dicedok masuk dalam pinggan cepat-cepat masuk dalam gambar dulu.  Kepala ikan tu 'seketul' jer.  Nanti kita tengok siapa yang nak berebut.  Sup macam ni sedap dimakan dengan sambal belacan.. buat cair sikit ala-ala kuah asam... ha....

Nak buat sup ni senang jer, tak sampai 30 minit, tetapi disebabkan nak buat kerja lain pulak.  Cepat2 masak.  Sesapa yang sempat salin resepi ni sat lagi jam 7.00 malam pun sempat lagi nak masak janji bahannnya cukup kat dapur.

Bahan:
1  ketul kepala ikan
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 bili cili merah untuk hiasan
sedikit jintan manis, kulit kayu manis, bunga cengkih
sekeping asam keping
garam
1 gelas air

Cara membuat:
1.  Bersihkan kepala ikan.
2.  Bawang merah, putih, cili merah dan halia dihiris nipis
3.  Panaskan minyak,tumis bawang bersama halia, jintan, kulit kayu manis dan bunga cengkih
4.  Setelah naik bau, masukkan segelas air atau secukupnya.  Masukkan kepala ikan, asam keping dan cili merah diikuti dengan garam.
5.  Biarkan hingga mendidih.  Angkat dan hidangkan.


Selamat mencuba.

Lihat menu lain:  Menu 1,   Menu 2


'suka duka pentas dunia'

10 Januari 2012

Muffin Kismis Mentega Kacang 'Kick Start'

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,



Rasanya sudah terlalu lama sangat tak masak kueh mueh terutama muffin atau kek.  Sedangkan anak-anak Yangbaik memang suka sangat dengan kek.  Namun 3 hari lepas, datang kekuatan baru setelah terjurmpa keratan akhbar di rumah mertua, Batu 10 Lekir.  Apa yang menarik minat adalah resepinya yang mudah dan makanannya memang kesukaan keluarga. 

Balik dari Lekir, dalam perjalanan balik ke rumah di SIDEC Yangbaik singgah di Kedai Runcit Rahmat (memang kedai kesukaan Alif, sebabnya nanti citer di lain ruangan) beli keperluan untuk membuat muffin.  Bahan-bahannya memang mudah dan murah.  Balik rumah sampai dah malam, mood pun dah kedaung bertambah dengan keriuhan anak-anak, simpan jer dulu bahan-bahan tu. 

Hari ini (sebenarnya pada hari Isnin), pada waktu malam selepas makan nasi kerabu yang dibeli dari pasar malam, tiba-tiba datang semangat nak buat muffin... apa lagi geledah le kabinet dapur tu selongkar periuk oven dan acuan segala bagai lagi... bilas sambil lalu dan lap.. operasi pun bermula.  Tak lah susah sangat cuma nak dapatkan mood jer yang susah sikit... dah siap... Alif orang pertama yang merasa dan memang dari awal lagi tunggu nak makan kek yang ummi masak... sabor jer la.. Dah makan ... la Alif tak suka pula sebab ada kismis.  Alif... kata tak suka tapi hampir 10 biji muffin dimakannya... dah kenyang macam-macam alasan pulak.

Dipendekkan cerita di sini diperturunkan resepi berkenaan yang telah Yangbaik olah sedikit mengikut kesesuaian dan citarasa sendiri.

Muffin Kismis Mentega Kacang










Bahan-bahan:

200 gm mentega
100 gm gula caster
3 biji telur
1 sudu teh esen vanila
300 gm tepung serbaguna Blue Key
1 sudu teh serbuk penaik (baking powder)
80 gm kismis
40 gm coklat urai
50 gm peanut butter (kasar)

Cara membuat:

1.  Pukul mentega dan gula hingga kembang.
2.  Masukkan telur sebiji demi sebiji dan diikuti esen vanilla, kacau hingga sebati.
3.  Ayak tepung dan serbuk penaik di dalam bekas lain.
4.  Masukkan kismis, coklat urai dan mentega kacang, kacau rata.
5.  Tuang adunan tepung ke dalam mangkuk berisi mentega sedikit demi sedikit sambil mengacau hingga rata.
6.  Masukkan adunan yang telah siap ke dalam mangkuk kertas sehingga 1/3.
7.  Bakar selama 20 - 25 minit atau sehingga kekuningan.

Sekian, selamat mencuba.

Carian