Pengikut Setia

Memaparkan catatan dengan label Ikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ikan. Papar semua catatan

12 Julai 2014

Ikan Tilapia Goreng Bercili

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Ikan Tilapia Goreng Bercili

Ikan Tilapia adalah ikan darat yang banyak terdapat di lombong tinggal di sekitar Seri Iskandar dan Tronoh atau mungkin juga di tempat anda.  Ada juga Ikan Tilapia yang diternak tetapi rasanya tidak sama dengan Ikan Tilapia yang hidup bebas di lombong atau sungai.

Saya, nak bercerita panjang lebar mengenai Ikan Tilapia tidaklah juga sebabnya saya bukan tahu sangat sejarah hidup ikan eksotik ini.  Yang saya tahu ada juga orang yang tidak makan ikan darat walaupun dia bukanlah orang laut.  Terpulang ... itu kelebihan masing-masing.

Ikan Tilapia jika tidak dibasuh dengan betul pasti akan membawa kesan bau hanyir yang kuat.  Bau hanyir ini boleh menyebabkan orang hilang selera makan.  Saya ada petua sendiri untuk menghilangkan bau hanyir ikan.  Petua saya kan ceritakan dalam siri lain yang akan datang.  Sabar yer!!

Hari ini saya nak bercerita mengenai resepi Ikan Tilapia Goreng Bercili yang dimasak oleh encik suami.  Dia memang suka masak dan suka makan juga. :D  Sebelum dia masak kesemua ikan tilapia tu.. saya dah pesan supaya tinggalkan separuh ikan goreng untuk anak-anak.  Sebabnya bila dah masak cili nanti pedas, anak-anak tidak boleh makan... sedangkan anak-anak saya semuanya suka makan ikan tilapia goreng. Yess!! anak umi kannnn.




BAHAN-BAHAN :-

3 ekor Ikan Tilapia
1 ulas bawang besar (dipotong dadu)
3 ulas bawang putih (diketuk dan dicincang)
1 biji tomato (dipotong dadu atau boleh juga dihiris nipis)
10 tangkai cili padi (diketuk) - boleh tambah untuk lebih pedas lagi
1/2 batang celeri (dipotong serong)
sedikit air asam jawa (saya gunakan paste asam jawa adabi dicampur dengan 1/4 cawan air masak - lebih mudah)
gula dan garam secukup rasa


CARA MEMBUATNYA :-

1.  Ikan Tilapia dibersihkan, sapukan sedikit asam jawa dan goreng sehingga garing.  Jika tidak suka garing, memadai sehingga masak.  Saya goreng garing kerana bila garing tulang yang kecil senang dimakan.  Setelah digoreng angkat dan ketepikan.
2.  Tumis bawang besar dan bawang putih dengan sedikit minyak masak kira-kira 2 sudu besar.  Tumis sehingga bawang kekuningan, masukkan celeri yang telah dipotong dan cili padi.  Kacau sehingga rata dan sebati. 
3.  Masukkan tomato air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.  Seterusnya masukkan Ikan Tilapia yang digoreng tadi, balikkan perlahan-lahan supaya ikan tidak hancur.  Agak-agak kuah tadi telah selaputi ikan, angkat dan hidangkan.


*catatan:  
1.  Di dalam ikan kelihatan hitam kerana digaul dengan asam jawa sebelum di goreng.  Sekiranya tidak suka asam jawa atau tidak mahu ikan kelihatan gelap, ikan berkenaan boleh digaul dengan kunyit dan sedikit garam sebelum digoreng.
2.  Ikan Tilapia boleh dibersihkan lebih awal dan simpan dalam peti ais (freezer) sebelum digoreng atau goreng lebih awal sebelum buat kuahnya.  

Saya tidaklah berhasrat nak menandingi blogger masakan yang dah handal dan popular tetapi sekadar berkongsi resepi dan selera dengan pembaca blog ini.

Sekian adanya.  Terima kasih.


Sementara itu... sudahkah anda menyahut cabaran Contest Duit Raya 2014 oleh Denaihati?
Klik banner di bawah untuk menyertainya.

Cabaran Duit Raya 2014

28 Julai 2012

Kerisi goreng bersos tomato

As salam,



Bila bercakap mengenai resepi dan menu makan memang tak kan habis.  Ada saja yang nak diceritakan walaupun masakannya ringkas dan mudah.  Namun tidak semua kita berkesempatan dan berpeluang memasak makanan yang ringkas seringkas ikan kerisi goreng bersos tomato.

Bagi @yangbaik hanya hari Sabtu dan Ahad sahaja berpeluang sepenuhnya untuk memasak istimewa sikit bagi berbuka puasa dan bersahur untuk keluarga.  Pada hari bekerja, kebiasaannya lauk ringkas dan kueh pun tengok mood kalau rasa nak beli beli yang manis sikit kalau tak makan jer apa yang ada nasi dan lauk pun sudah cukup dan disulam dengan 'air hijau' atau sirap buatan sendiri.  Senang jer. 
Berbalik kepada tajuk cerita, di sini diperturunkan resepi untuk dikongsikan bersama iaitu menu berbuka puasa hari ini dan mungkin juga akan sampai sahur pagi esok.

Bahan-bahan
4 ekor ikan kerisi di goreng
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 labu bawang besar - hiris bulat
1 biji cili merah - hiris halus
1 tangkai daun bawang - hiris
1 tangkai daun sup - hiris
minyak untuk menumis
sedikit garam
1/2 cawan sos tomato
1/4 cawan sos cili
1/2 cawan air

Cara membuat:
1.  Tumis bawang merah dan bawang putih hingga kekuningan, masukkan sos tomato dan sos cili gaul rata.
2.  Masukkan 1/2 cawan air dan garam biar hingga mendidih.
3.  Masukkan ikan cili merah dan bawang besar diikuti dengan ikan kerisi, gaul hingga rata dan angkat untuk dihidangkan.
4.  Tabur hirisan daun sup dan daun bawang.  Siap

Mudah saja.  Selamat mencuba!


"suka duka pentas dunia"

*-*

Carian