Pengikut Setia

21 Julai 2014

Sup Bebola Ikan berbunga karot

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Sup bebola ikan berbunga karot.  Antara masakan yang agak ringkas dan mudah.  Anak-anak suka makan, umi dan ayah pun senang hati.

Bila dah tiba masa malas nak masak campur dengan tiada idea, tak tahu nak masak apa jadinya apa saja yang terlintas kat kepala otak ni... itulah yang jadi.  Pergi ke pasar mini dekat rumah, cari apa benda yang boleh membantu untuk masakan.  Kebetulan terjumpa bebola ikan 'besar punya', ingat nak buat sambal tumis tapi anak-anak pula tak makan pedas.  Bulan puasa ni bukan saja selera mak bapak yang nak kena ikut, selera anak-anak lagi la nak kena ikut.  Sebagai hadiah kerana berpuasa.  Barulah bersemangat anak-anak nak puasa.

Masakan saya kebanyakannya jenis sup... mungkin juga sebab dah semula jadinya macam tu kot. :P
Malas nak bergulai bagai.  Kalau nak buat gulai-gulai tunggu encik suami yang masak.  Dia memang suka lah.  Tapi kali ini saya nak berkongsi resepi yang sangat ringkas dan mudah untuk sesiapa saja.



BAHAN-BAHAN:-

1 paket bebola ikan (anggaran 20 biji), boleh ditukar dengan bebola ayam atau ketam terpulang kepada selera masing-masing
1 batang lobak merah (karot)
1/2 pokok brokoli (tak tau nak panggil apa)
5 ulas bawang merah - hiris nipis
2 ulas bawang putih - ketuk
1 mangkuk air (ikut citarasa)
Sedikit lada sulah
Sedikit garam


CARA MEMBUATNYA:-

1.  Bebola ikan dibersihkan, bilas dengan air lalu.
2.  Brokoli dipotong kecil.  Lobak merah di hiris nipis.  Saya buat bentuk bunga seperti di dalam gambar untuk memberi semangat kepada anak-anak dan supaya mereka tertarik.  Memang berhasil, siap dapat pujian lagi.
3.  Tumis bawang merah dah bawang putih sehingga naik bau.  Masukkan air dan kacau.
4.  Masukkan berbola ikan, lobak, brokoli dan air. Tunggu sehingga mendidih.  Masukkan garam dan lada sulah.
5.  Hidangkan.


Nota:
Selain dimakan bersama nasi panas, sup ini juga sedap dimakan begitu saja dan campurkan dengan sedikit sos cili keropok untuk rasa pedas dan sedikit masam manis.



Masa depan anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera



Selamat pagi semua.  Hari ni sudah pun masuk hari ke-23 umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan.  Sekejap sangat rasanya masa berlalu...

Tanpa celoteh lebih panjang saya hendak berkongsi satu petikan tanpa penulis asal.  Petikan ini saya perolehi dari kalendar bulan April 2014.  Petikan tersebut berbunyi begini :

"Masa depan anda terbentang di hadapan anda umpama sebatang lorong yang penuh dengan salji putih.  Berhati-hatilah apabila anda memijaknya, kerana setiap langkah anda, pasti akan meninggalkan kesannya"

Mungkin kita boleh iktibar bahawa setiap apa yang kita lakukan sepanjang kehidupan kita untuk masa depan pasti ada sejarah tersendiri seperti suka duka, tawa dan tangis.  Tetapi yang lebih penting setiap yang kita lakukan itu seharusnya diiringi dengan usaha kita sendiri bukan jalan pintas yang meninggalkan jejak hitam.  Kerana ia sudah tentu pahit untuk diterima.  Kita sudahpun mempelajari sesuatu dari apa yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

Jadilah yang terbaik dengan jalan yang baik.  Semoga kesudahan hidup kita berakhir dengan kebaikan.

Terima kasih.

18 Julai 2014

Cermin mata nan merah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Cermin mata nan merah


Cermin mata.  Seingat dulu ketika di bangku sekolah.  Rata-rata pelajar Tionghua memakai cermin mata.  Itu pengalaman ketika sekolah menengah rendah di Taiping.  Ketika sekolah rendah tidak berjumpa pula kawan-kawan sekolah yang pakai cermin mata ... maklumlah semuanya pelajar Melayu.

Dan... antara mitos yang paling popular ketika itu dan mungkin juga sehingga kini adalah 'orang yang memakai cermin mata adalah orang pandai'.  Terpengaruh juga dengan mitos berkenaan.  Ketika zaman sekolah timbul teringin nak pakai cermin mata.  Ketika itu yang pakai cermin mata dalam keluarga adalah arwah ayah tiri.  Tetapi selaluny kena marah bila berangan-angan nak pakai cermin mata.  Mungkin juga sebab utama ketika itu adalah cermin mata ini untuk golongan atasan atau orang kaya.  Jadi saya yang tidak kaya ni... memang tidak layak sebab mata masih okey dan masih boleh membaca walaupun dalan keadaan yang suram atau malap.

Namun, mitos sedikit demi sedikit bertukar dan dewasa bersama kedewasaan seorang remaja.  Maknanya dah boleh fikir sendiri.  Tidak semestinya orang kaya yang pandai boleh pakai cermin mata.

Ketika menghampiri musim SPM, saya sering mengalami sakit kepala dan pening kepala menyebabkan saya sering ponteng sekolah.  Terpaksa ponteng yer bukan sengaja... sebabnya bila dah pening kepala pergi sekolah pun dok melepek kat bilik rehat buat apa kan?

Seorang guru kaunseling telah membawa saya ke klinik untuk membuat pemeriksaan.  Seorang doktor saya tidak ingat namanya telah mencadangkan agar saya memakai cermin mata.  Walaupun mata saya tidak kabur?  Ya, sebab kemungkinan juga terdapat kerosakan pada mata tetapi saya tidak perasan dan kadang-kadang dengan memakai cermin mata kerosakan itu dapat dibetulkan.  Okey... saya mula mencongak.

Tempoh diskaun untuk pelajar sekolah telah tamat.  Saya pula perlukan cermin mata.  Tak mengapalah sebab saya fikir ianya bukan penting sangat.  Bertahan sajalah, bila pening kepala makan ubat dan jangan ponteng sekolah... atau kena jumpa cikgu disiplin lagi.

Namun saya tidak dapat bertahan lama.  Dikuatkan semangat bertanya dengan arwah emak untuk membuat cermin mata.  Arwah emak nampaknya tidak banyak soal terus bersetuju dan berjanji untuk membuat cermin mata.  Ketika itu arwah emak belum lagi memakai cermin mata.  Dan... saya pun memakai cermin mata ketika peperiksaan SPM sudahpun hampir tiba dan masa untuk ulangkaji juga semakin suntuk.  Cermin mata itu saya pakai sehingga tamat SPM sahaja kerana tidak selesa.  Lagipun pening kepala tidak lagi menyerang.

Kini... setelah berpuluh tahun sejajar dengan meningkatnya usia, saya terpaksa memakai semula cermin mata. Pernah buat dan pakai untuk seketika tetapi berhenti kerana tidak selesa.... begitulah sekejap pakai sekejap tidak.  Pakai pun di pejabat sahaja ketika menghadiri kursus atau mesyuarat.  Ketika menghadap komputer buat kerja atau berbloging tidak pula nak pakai cermin mata.

Sudah tiba masanya untuk saya menjadi pemakai cermin mata.  Kerana mata saya juga sudah kabur.  Tak pasti rabun jauh atau rabun dekat.  Yang pastinya sakit kepala itu betul-betul menyakitkan dan menyukarkan kehidupan.

Terfikir juga... seiring dengan masa sedikit demi sedikit nikmat yang kita ada dulu kini semakin berkurang.  Tetapi harus ingat... ada yang kurang ada juga yang bertambah... hanya kita yang tidak sedar.

Terima kasih.

Carian