Pengikut Setia

26 Ogos 2011

Ramadhan kian ke penghujung | Syawal pula mula menggamit

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


Sungguh kian terasa bila Ramadhan kini sudah mencecah 26 hari dan berbaki 3 atau 4 hari lagi Syawal pula akan muncul. 
Cukupkah bekalan dari Ramadhan ini untuk dibawa ke Syawal kelak atau juga untuk Ramadhan akan datang. 
Terasa sayu kian membara mengenang Ramadhan yang akan pergi. 
Lalu teringat cerita Majalah Solusi Isu 34 Edisi Khas Ramadhan dan Syawal; Andai ini Ramadhan Terakhir Layakkah Kita Berhari Raya.

Sebagai bekalan dan ingatan bersama untuk berjumpa dengan Syawal nanti... selusuri bersama maksud tersirat di sebalik Tazkirah ini yang dipinjam dari CITU UiTM Perak.

~~~~~~~~~~
‘Idu Fitri – Hari Kemenangan Umat Islam
Aidul fitri atau Idul fitri adalah hari raya atau hari kemenangan bagi umat Islam. Setelah sebulan berpuasa, menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa, menundukkan nafsu ammarah sepanjang bulan Ramadan, melalui latihan-latihan fizikal dan mental, melaksanakan amalan-amalan baik siang dan malam Ramadan sehingga akhirnya berjaya sampai ke penghujung Ramadan masuk ke bulan syawal disambut kejayaan tersebut setelah menempuhi latihan dan ujian maka kemenangan dan kejayaannya disambut dengan Hari Raya, hari kemenangan bagi seluruh umat Islam.

Idul fitri bermaksud- Hari kembali kepada fitrah. Maksudnya umat Islam yang menjalani ibadah Ramadan dengan penuh keinsafan melaksanakan pelbagai ibadah siang dan malam seperti solat sunat tarawih, bertadarrus al-Quran, qiamullail, berzikir dan berdoa, bersedekah dan sebagainya, seolah-olah telah kembali fitrah dengan rahmah dan maghfirah-yakni keampunan daripada Allah SWT. Menjelangnya syawal, mereka yang menjalani ibadah tersebut seolah-olah telah bersih daripada dosa dan mereka menjadi orang yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Demikianlah juga hasrat dan tuntutan kepada puasa secara khusus iaitu mencapai tahap ketaqwaan yang sebenar-sebagaimana yang dinayatakan di dalam al-Quran bermaksud: ‘…..mudah-mudahan kamu bertaqwa’.

Maka sebab itulah di hari raya, kita umat Islam diminta untuk merayakannya sehingga diharamkan berpuasa pada hari pertama syawal (tidak ada siapa yang dibenarkan berpuasa) demi merayakan hari kemenangan ini. Namun hari kemenangan ini mestilah disambut atau dirayakan dengan pengisian-pengisian yang wajar berlandaskan Islam. Sebagaimana firman Allah SWT., bermaksud:
Dan hendaklah kamu sempurnakan bilangan hari puasamu dan hendaklah kamu besarkan (muliakan) Allah atas sekalian yang telah ditunjukkinya, mudah-mudahan kamu bersyukur (berterima kasih).
(al-Baqarah ; 185)

Daripada ayat tersebut, kita fahami bahawa pengisian penting pada merayakan hari kemenangan ini ialah membesarkan/memuliakan/mengagungkan Allah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT. Banyakkan bertakbir menyebut Allahu Akbar, banyakkan bertahmid menyebut al-hamdulillah serta kalimah-kalimah mulia yang lain semata-mata mengagungkan Allah bagi menunjukkan rasa bersyukur dan berterima kasih.

Namun begitu tidak cukup dengan ucapan kalimah tersebut, kita juga mestilah merayakannya dengan membiasakan dan meneruskan amalan-amalan baik sebagaimana yang dilakukan pada bulan Ramadan yang lalu. Inilah natijah kejayaan yang hendak disambut pada hari kemenangan ini.

Sebab itulah pada hari raya kita dituntut supaya melakukan amalan-amalan baik, antaranya:

  1. Mandi di awal pagi sebelum ke masjid untuk menunaikan solat ‘idul fitri
  2. Memakai pakaian baru yang cantik lagi indah
  3. Makan sebelum ke masjid
  4. Menunaikan solat sunat Hari Raya
  5. Melalui jalan lain ketika pulang dari masjid setelah selesai menunaikan solat ‘idul fitri.
  6. Banyakkan bersedekah – keutamaan kepada kaum kerabat, kemudian barulah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.
  7. Mengucapkan Selamat hari raya dan bermaafan sesama muslimin dan mengucapkan taqabballahu minna waminkum (ertinya semoga Allah menerima amal kami dan amal kamu).
Semua amalan-amalan tersebut amat dituntut oleh Islam, semata-mata bagi menyambut hari kemenangan atau hari raya yang penuh bermakna dalam kehidupam muslim. Janganlah kita ambil remeh atau tidak kisah dengan amalan-amalan ini di samping itu jangan pula kemurnian hari raya/hari kemenangan ini dicemari dengan amalan-amalan batil/maksiat yang merosakkan sambutan hari raya yang sebanar setelah kejayaan menempuhi ujian di bulan Ramadhan sehingga dikurnia sijil penghargaan dan pengiktirafan ‘taqwa’ dari Allah SWT.

Selepas Hari Raya
Selepas berlalunya Ramadhan dan menjelangnya syawal yakni hari raya ‘idul fitri, marilah kita rayakan hari kemenangan ini dengan bertafakkur dan bermuhasabah (merenung dan menilai kembali) atas apa yang telah kita lakukan di masa lalu. Kita mulakan kembali lembaran hidup ini dengan sesuatu yang bermanfaat bagi masa depan kita berdasarkan latihan yang telah dilalui sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Kita betulkan niat dan tujuan hidup agar selari dan bertepatan dengan tuntutan syariah.

Di hari yang fitrah ini kita bertekad memperbaiki kadar keimanan kita pada hari-hari dan bulan-bulan berikutnya. Anggaplah selama bulan Ramadhan yang lalu kita telah berniaga dengan Allah SWT. selama sebulan penuh dan hasil perniagaan ini menjadi bekal atau modal buat kita untuk bulan-bulan selanjutnya. Tentu sahaja dengan selalu berusaha melakukan yang terbaik semata-mata karena Allah SWT., pasti akan mencapai tahap pengabdian sebenar sebab itulah tujuan kita diciptakan oleh Allah iaitu hanya untuk mengabdi diri kepada Allah SWT.

Agenda seterusnya selepas ini ialah melaksanakan amalan bagi kelangsungan amalan di bulan Ramadan yang dituntut oleh Islam dalam usaha membentuk jati diri muslim sebenar, antaranya :
  1. Berpuasa enam di bulan Syawal yang sangat dituntut dalam Islam
  2. Mempertingkatkan integriti dan ihsan yang telah dilaksanakan dengan baik dalam bulan Ramadhan.
  3. Meneruskan amalan bersedekah semampu yang boleh sebagaimana yang dilakukan pada bulan Ramadhan. Walaupun sedikit tetapi secara konsisten atau berterusan.
  4. Meneruskan amalan-amalan baik yang dilakukan pada bulan Ramadhan seperti menjaga pancaindera dari perlakuan maksiat, mengelakkan pembaziran dalam semua perkara, tidak melakukan perkara yang sia-sia dan sebagainya.
  5. Mempertingkatkan amalan ibadah khusus seperti membaca al-Quran secara berterusan, solat-solat sunat, puasa sunat dan amalan-amalan lain.
  6. Meneruskan hubungan baik silaturrahim sesama kita apatah lagi sesama keluarga setelah bermaafan di hari raya.
Akhirnya, marilah kita berdoa mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan mereka yang dapat merayakan hari kemenangan ini dengan penuh ketaqwaan seterusnya menjadi manusia muslim sejati yang diredhai Allah SWT.

Taqabbalallahu minna waminkum !.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh : Abd. Nasir Hj. Musa
~~~~~~~~~~~~~

Semoga bermanfaat

1 ulasan:

  1. owh..aku balik dlu baru makan

    p/s : eh, kenapa tiba2 tanya pasal mood aku? aku ok jer

    BalasPadam

Komen anda tanggungjawab anda. Komen dan pandangan anda amatlah dihargai. Terima kasih atas pandangan yang diberikan.

Carian