Pengikut Setia

Memaparkan catatan dengan label Mental. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mental. Papar semua catatan

07 Oktober 2014

Mentaliti itu hak ekslusif

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Mentaliti itu hak ekslusif

sumber gambar:  google.com (mentaliti)


Menurut takrifan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, mentaliti adalah keadaan atau kualiti kebolehan akal; cara berfikir; daya fikir. Mentaliti juga merupakan kaedah atau cara berfikir, keadaan akal atau kebolehan berfikir. Mentaliti juga berasal dari Bahasa Inggeris yang bersinonim dengan minda,pemikirancara berfikirsikapsifatpandangan hidup.

Semua maksud itu membawa kepada cara kita menerima dan bertindak ke atas sesuatu isu, pesanan atau arahan.  Dalam keadaan tertentu tidak semua isu itu berkaitan secara langsung dengan kita tetapi tidak salah untuk kita mengambil tahu sedikit untuk menambah pengetahuan dan bukan bermaksud untuk "jaga tepi kain orang".  Jika ianya tidak penting tidak perlu ambil kisah pun.

Tetapi apa yang menjadi isu utama dan perlu dibahaskan adalah apabila sesuatu isu, pesanan dan arahan itu memang khusus didatangkan untuk kita, maka mahu atau tidak kita perlu hadamkan pesanan itu dan bertindaklah dengan cara yang lebih pro-aktif dan pantas sepantas mungkin yang kita mampu bukannya ambil tindakan sambil "lewa".  Kesannya mungkin tidak datang secara langsung kepada orang yang menerima arahan tetapi kepada orang yang memberi arahan.  

Sejauh mana keberkesanan arahan dan pesanan yang disampaikan?

Adakah perlu disusul setiap masa supaya arahan tadi difahami dan digerakkan?

Terpulang kepada kita untuk menilai sejauh mana mentaliti dan penerimaan kita.

Semoga kita sentiasa perbaiki minda dan mentaliti kita ke arah yang lebih baik.

(8-8)




19 November 2012

Terdera secara mental dan fizikal

As salam,


Ada ketika sesuatu teguran mampu memberikan deraan secara mental dan fizikal walaupun pada masa yang lain sebenarnya ia sedikitpun tidak memberikan kesan secara langsung kepada kita... Ini adalah kerana keadaan emosi kita tidak selamanya sama dan adakalanya tahap hormon serta jenis hormon yang berlegar dalam badan kita juga tidak sama.

Sebagai contoh, seorang wanita atau lebih tepat lagi seorang ibu yang baru lepas bersalin akan berhadapan dengan situasi dimana hormon 'meroyan' berada di tahap yang tinggi.  Sedikit saja teguran atau situasi mampu menyentuh perasaan walaupun tidak semua ibu mengalaminya... kerana ada sesetengahnya mempunyai daya tahan dan kekuatan emosi yang tinggi.

Deraan secara mental
Kempen susu ibu bukan sesuatu yang baru dan merupakan kempen yang amat baik terutama kepada ibu dan bayi.  Secara dasarnya kempen ini mampu menarik lebih ramai kaum ibu untuk memberi susu ibu kepada bayinya secara aktif.

Namun, tidak semua ibu bernasih baik.  Yangbaik bukanlah penentang kepada kempen ini tetapi Yangbaik terpaksa menerima hakikat bahawa Yangbaik tidak termasuk dalam golongan ini.  Secara mental memang didera walaupun tidak langsung kerana setiap dari kita mempunyai sebab dan alasan tersendiri atas apa yang terjadi.

Bukan tidak berusaha tetapi itu semua sudah suratan.  Dengan berbagai alatan telah dicuba tidak kurang juga ubatan untuk menambah susu ibu... namun itu semua tidak mendatangkan hasil yang memuaskan seperti yang dikehendaki oleh kempen itu.  Tidak ketinggalan juga sokongan suami tercinta dengan menyediakan segala keperluan ke arah itu...

Doktor juga Jururawat telah memberikan kata-kata motivasi yang meminta berfikiran positif dan memikirkan kehendak untuk menyusukan bayi.  Tetapi pernahkah doktor atau jururawat berfikiran positif bahawa tidak semua orang mempunyai nasib yang sama.

Deraan secara fizikal
Diri ini rasa terdera secara fizikal apabila diminta menunjukkan cara menyusukan bayi dengan betul... wal hal ini dah masuk anak ke-4...
Mengapa mereka tidak percaya...
Bagaimana jika mereka sendiri berada di tempat ini...
Bersediakan mereka menerimanya?


Kesimpulan
Kita seharusnya menerima kekurangan diri ini dan dalam masa yang sama tidak mengurangkan usaha walau sedikitpun untuk berhadapan dengan situasi ini.  Dalam masa yang sama membina kekuatan semangat dan motivasi diri untuk berhadapan dengan deraan yang tidak mengenal masa.

Sekian.

16 Oktober 2011

Pokok Kesihatan Mental di Poliklinik Dr Azhar Seri Iskandar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


Pokok Kesihatan Mental dan kisah di Poliklinik Dr. Azhar di Seri Iskandar adalah kisah lama (ada aku kesah!!).  Tak kisah pun tak per, cuma nak cerita sikit... kisah nih tak ada lah lama sangat cuma beberapa minggu lepas pada bulan lepas.  Macam kos melepas pulak.

Kisah pokok kesihatan mental ini diperolehi ketika membawa Inas Insyirah ke Klinik.  Sementara menunggu doktor tiba, ternampak gambar pokok tu... cantik pula...meh kita tengok gambar pokok ni...

Pokok ini seperti biasa sama seperti pokok-pokok yang lain terdiri daripada akar, batang dan buah (termasuklah ranting dan daun juga).  Setiap satunya (akar, batang dan buah) mempunyai fungsinya yang tersendiri. 

Namun kelainan pada pokok kesihatan mental adalah berkaitan dengan keperluan setiap individu dalam melayari kehidupan yang sihat dan sejahtera.  Antaranya:

Akar, mengandungi:
  1. Kasih sayang
  2. Kejujuran
  3. Kemahiran hidup
  4. Tanggungjawab
  5. Penyayang
  6. Sokongan sosial
  7. Persahabatan
  8. Nilai moral & agama
Batang, mengandungi:  Pemikiran positif

Buah, pula mengandungi:
  1. Harga diri
  2. Tegar diri
  3. Matlamat hidup realistik
  4. Kebahagiaan
  5. Motivasi
  6. Penyelesaian masalah
  7. Keharmonian
  8. Penerimaan
  9. Menangani konflik
  10. Tolak ansur
  11. Komunikasi berkesan
  12. Produktiviti
Setiap satu yang tercatat di atas merupakan aspek yang perlu ada pada diri seseorang.

Untuk perhatian juga, poster Pokok Kesihatan Mental ini dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.  Namun tidak semua klinik mempunyai poster ini.  Bukankah baik sekiranya semua klinik terutama kesihatan (Kerajaan) mempunyai poster sebegini disamping memberi maklumat dapat juga 'penunggu' (pesakit menunggu giliran berjumpa doktor) menghabiskan masa dengan bahan bacaan yang berfaedah ini.

sekian.

' 

Carian