Assalamualaikum dan salam sejahtera
Amalan Sunat pada Hari Asyura
Alhamdulillah hari ini hari pertama bulan Oktober 2017. Berkebetulan pula hari ini merupakan hari ke-10 pada bulan Muharram 1439. Juga dikenali dengan Hari Asyura.
Jom kita tengok apakah amalan Sunat yang boleh dilakukan pada hari ini. Jika tidak semua pasti ada satu atau dua yang kita buat.
Antara amalan yang digalakkan pada Hari Asyura untuk kita amalkan termasuklah:
* Melakukan sembahyang sunat
* Berpuasa sunat
* Menghubungkan silaturrahim
* Bersedekah
* Membersihkan diri (mandi sunat)
* Memakai celak (bagi lelaki)
* Menziarahi orang-orang alim
* Menziarahi orang-orang sakit
* Menyapu kepala anak-anak yatim
* Meluaskan makanan kepada ahli keluarga
* Memotong kuku
* Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali
Melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru ibn al-As RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang berpuasa pada Hari Asyura, maka seolah-olah dia berpuasa setahun dan sesiapa yang bersedekah pada Hari Asyura, seolah-olah dia bersedekah selama setahun."
Selain berpuasa pada Hari Asyura, umat Islam juga digalakkan juga berpuasa sehari sebelum hari Asyura iaitu hari Tasu'a (hari kesembilan).
Bahkan kita juga digalakkan berpuasa 3 hari iaitu pada Hari Asyura, sehari sebelum Asyura dan selepasnya sebagaimana yang dinaskan oleh Imam Syafi'e RA di dalam kitab al-Umm dan al-Imla.
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Berpuasalah kamu pada Hari Asyura dan hendaklah kamu membezakannya dengan orang Yahudi, berpuasalah kamu sebelumnya (Hari Asyura) sehari dan selepasnya sehari."
Malah Allah SWT juga memberi ganjaran yang amat besar bagi orang yang memperluaskan makanan ke atas ahli keluarganya pada Hari Asyura.
Melalui hadith yang diriwayatkan daripada Jabir RA, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang meluaskan makanan ke atas diri dan keluarganya pada Hari Asyura, maka diperluaskan oleh Allah rezekinya sepanjang tahun tersebut."
Petikan dari kitab Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura yang dikeluarkan oleh Dato' Hj Muhammad Fuad bin Kamaludin.
Selamat beramal pada Hari Asyura. Moga sedikit amal kita mendapat pandangan dan rahmat Allah hendaknya. Aminnn...
@quotephotovideo 👍👍👍
posted from Bloggeroid