Pengikut Setia

26 Jun 2014

Janji itu pasti tidak dimungkiri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Ada apa dengan janji


Gambar hiasan.  Koleksi peribadi

Janji.  Kita selaku manusia biasa sudah pasti ada ketika terpaksa mungkir kepada janji yang kita buat sendiri.  Atas apa jua alasan... kadang-kadang bila janji itu dimungkiri akan menyakitkan dan menyusahkan banyak pihak.  Mungkin tidak kepada diri kita sendiri tetapi tempiasnya pasti ada.

Peritnya berjanji

Bila berkata mengenai janji, saya sendiri akui takut dengan janji.  Janji kepada diri sendiri atau janji kepada orang lain.  Bukan semata-mata kerana kita ini manusia biasa tetapi kerana kelemahan kita apabila berjanji.  Saya sendiri memang lemah apabila terpaksa menerima janji dari orang lain dan takut juga untuk buat janji dengan orang lain.  Ada ketika saya terpaksa meminta orang lain berjanji dengan saya.  Bukan sengaja tetapi itu terpaksa supaya saya tidak terbeban seorang dalam melaksanakan tugas harian.  Setelah 'memaksa' orang lain berjanji dengan saya ... janji itu harus disusuli selalu supaya janji yang 'dipaksa' tadi dilaksanakan dengan sempurna.  Alangkah peritnya bila terpaksa melakukan demikian.  Namun itulah dunia kita... begitu juga dengan saya sendiri kadang-kadang turut dipaksa juga untuk berjanji untuk sesuatu amanah tugas.  Maka janji itu wajib dipelihara dan ditunaikan bila tiba masanya.

Begitulah rutin harian kita bila berhadapan dengan janji.  Bukan kita sahaja yang harus berjanji tetapi sesiapa saja ada peluang dan ruang untuk berjanji dan menunaikan janji.

Apa yang ingin saya nyatakan disini adalah kita selaku manusia biasa tidak lari dari berjanji.  Kita juga seringkali berhadapan dengan janji yang tidak dilaksanakan dengan sempurna.  Keadaan ini membuatkan kita tersepit.  Tetapi kita harus menerima hakikat bahawa manusia itu lemah.  Kita juga harus sedar bahawa kelemahan kita itu kadang-kadang mendatangkan kesusahan kepada orang lain.


Tetapi.... kita harus juga sedar dan insaf bahawa setiap apa yang terjadi itu ada hikmahnya dan kita tidak seharusnya menyalahkan orang lain.  Ada kemungkinan ia juga berkaitan dengan kelemahan kita sendiri dalam penyampaian.

Hakikat yang hakiki adalah janji Allah itu pasti tidak boleh disangkal oleh kita hambanya yang lemah lagi daif ini.  Kita dikurniakan akal untuk memikirkan kejadian alam dan kejadian yang berlaku seputar kehidupan kita.

Pengalaman hari ini mengingatkan saya mengenai janji Allah itu.  Pengalaman itu banyak mengajar saya bahawa kesilapan itu walaupun datang dari kita sendiri tetapi tidak semestinya kita akan tewas dan mengaku kalah dengan mudah.  Walaupun ada ketikanya saya berasa seperti mahu lari jauh dan sembunyikan diri. 



Anda mungkin pernah melihat gambar di atas atau petikan kata-kata yang tercatat pada gambar di atas.

Kita kadang-kadang alpa dan lupa.  Tetapi sewajibnya lekas sedar dan insaf bahawa setiap apa yang diciptakan Allah itu bukan dengan sia-sia.

Hari ini... dan mungkin juga pernah berlaku sebelum ini, saya terpaksa buat suatu kerja yanhg sebenarnya adalah kerja orang lain.  Atas alasan yang tidak dapat dinyatakan maka saya terpaksa menanggung semua kerja itu.  Nampak tidak berat tetapi terasa berat pada pemikiran dan hati.  "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". 

Pertolongan Allah itu pasti seandainya kita yakin dan pasti dengan janjinya.  Alhamdulillah berkat ungkapan Laa Haula wa laa quwwata illa bil-laahil 'aliyyil-'azhiim'.  Bermaksud:  Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung, saya mampu menyiapkan tugasan itu pada masanya... walaupun agak lewat dan mungkin juga terdapat sedikit kekurangan.  Tetapi itu memadailah dengan masa yang ditetapkan. 

Subhanallah.  Pertolongan itu tiba dalam bentuk yang tidak saya sangka.  Tugasan yang pada awalnya disangka amat berat dan sukar menjadi mudah dan ringan.

Perasaan kecewa kerana tidak dapat mengikuti satu program ilmiah terubat dengan selesainya tugasan untuk hari ini.  Semoga saya dapat mengikut program itu pada masa lain dengan izinNya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda tanggungjawab anda. Komen dan pandangan anda amatlah dihargai. Terima kasih atas pandangan yang diberikan.

Carian