Islam adalah agama yang mengajak kepada kebaikan. Jauh sekali daripada mengusahakan apa juga bentuk kerosakan atau kemusnahan. Malahan Allah SWT. menyeru agar segala nikmat yang dikurniakanNya dapat digunakan ke arah kebaikan dunia mahupun kebaikan akhirat.
Firman Allah SWT., bermaksud:
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah ruah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang melakukan kerosakan.
(al-Qasas:77)
Allah SWT. menetapkan tugas manusia di atas muka bumi ini sebagai hamba dan khalifah. Hamba taat kepada tuannya sekaligus melaksanakan tugas sebagai khalifah iaitu memakmur dan membangunkan alam ini. Melalui nikmat akal yang dikurniakan Allah SWT., dapat manusia memikirkan bagaimana mengurustadbir alam ini dengan baik dan berhemah. Melakukan pembangunan dan pengimarahan di alam ini. Mampu mengelakkan diri daripada melakukan kerosakan sama ada kepada manusia mahupun hidupan lain di atas muka bumi ini. Jadi, nikmat yang melimpah ruah ini mestilah digunakan ke jalan yang sebaik-baiknya, yang boleh mendatangkan dan menghasilkan manfaat kepada kehidupan termasuklah nikmat akal, pancaindera dan nikmat hidup di atas muka bumi Allah SWT. Semua nikmat yang dikurniakan hendaklah digunakan di jalan yang diizinkan Allah SWT. Umpamanya, pancaindera mata digunakan untuk melihat kebesaran ciptaan Allah, telinga digunakan untuk mendengar kebaikan, tangan diguna untuk melakukan kebaikan, kaki digerakkan ke arah jalan yang baik-baik dan begitulah seterusnya.
Justeru itu, Allah menegaskan bahawa segala bentuk kerosakan di alam ini sebenarnya adalah akibat daripada kelalaian manusia memikirkan bagaimanakah sepatutnya kemusnahan, kerosakan dapat dihindarkan dan dielakkan. Sebab itulah kita hidup ini ada syariat yang diturunkan Allah kepada hambanya yang meliputi hukum hakam, undang-undang dan peraturan. Semuanya ini adalah bertujuan untuk menjaga keharmonian, keamanan, kesejahteraan dan keselesaan hidup di dunia ini. Namun kerakusan dan sifat tamak segelintir manusia mengakibatkan berlakunya berbagai bencana kerosakan seperti banjir kilat, cuaca panas akibat penipisan ozon, jerebu dan sebagainya yang difikirkan oleh sebahagian manusia demi untuk mendapatkan keuntungan dan kepentingan peribadi semata-mata. Malahan bukan hanya kesalahan zahir sahaja yang menyebabkan bencana tersebut berlaku tetapi akibat kelalaian manusia terhadap perintah dan larangan-larangan Allah SWT. seperti tidak mengendahkan perintah solat, perintah berzakat serta al-amru bi al-ma’ruf dan al-nahyu an al-munkar(suruhan melakukan kebaikan dan mencegah kemunkaran).
Firman Allah SWT.,bermaksud:
Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan adalah disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)
(al-Ruum: 41)
Oleh sebab itu, manusia mestilah beringat dan mengambil pengajaran bahawa Allah menimpakan sesuatu ada sebab akibatnya. Malangnya ada di kalangan manusia yang tidak memahami keadaan ini yang kadang-kadang boleh membawa kepada kufur terhadap nikmat Allah. Apabila ditimpa dengan sesuatu kesulitan, kesukaran dan kepayahan, mudah melatah dengan menyalahkan keadaan, mengeluh, memprotes dan seumpamanya. Seolah-olah keyakinan terhadap ketetapan dan ketentuan Allah atau keimanan terhadap rukun iman ke enam iaitu percaya kepada takdir Allah SWT. sudah tiada atau luntur daripada pegangan, sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.
Islam mengajarkan kepada kita, apabila berhadapan dengan suasana dan keadaan tidak menentu, mestilah ingat akan rukun iman yang menjadi pegangan, bersabar menghadapinya, redha dengan ketentuan Allah, berusaha memperbaiki keadaan kepada yang lebih baik dan selesa dan bertawakkal kepada Allah SWT. serta terus menerus melakukan kebaikan di atas muka bumi. Sebagaimana firman Allah SWT.,bermaksud:
“Apabila kamu telah membulatkan tekad (berazam), maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai mereka yang bertawakkal kepadaNya”.
(Ali Imran : 159)
Mereka yang beriman tidak akan melakukan yang sebaliknya seperti mengeluh berlebihan, memprotes ketetapan dan ketentuan Allah atau takdir dengan mengatakan tidak patut sesuatu itu menimpa ke atasnya dan sebagainya. Akhirnya manusia kecewa dengan Rahmat Allah. Ingatlah akan peringatan Allah SWT.,bermaksud:
Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah......
(al-Zumar:53)
Segala yang berlaku tidak sia-sia di sisi Allah dan ada hikmahnya yang tersendiri sama ada kita sedar ataupun tidak. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebaikan dan diberkati Allah SWT.
Wallahu a’lam.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Disediakan oleh: Abd. Nasir Hj. Musa
CITU, UiTM Perak
salam,
BalasPadambuat baik dibalas jahat....huuu
itulah manusia sering lupa...leka dgn nikmat ALLAH yg dihadirkn bt kite smua....manusia sering leka utk mnsyukuri dan mnghargai keindahan alam semesta.......sama2 kite mngingat antaa satu smaa lain..
BalasPadam