Pengikut Setia

05 Februari 2010

Ada Apa dengan Solat dan Sabar



SOLAT DAN SABAR
 
Firman Allah S.W.T. bermaksud;

“Jadikanlah salat dan sabar sebagai penolongmu dan sebenarnya demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang khusyuk, iaitu orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui  Tuhannya dan bahawa mereka akan dikembalikan kepadaNya”
( Al-Baqarah, 2:25 - 26)

Menuruti jalan iman bukanlah sesuatu yang mudah kerana di sana terdapat pelbagai ranjau, onak dan duri yang akan dihadapi. Menyatakan diri sebagai Muslim bermakna seseorang itu sudah bersedia untuk tunduk patuh dengan rela dan redha terhadap apa sahaja ketentuan Allah S.W.T. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang dijangkakan. Maulana Muhammad Ali Jauhar menyatakan bahawa : “ Menjadi Muslim bererti rela mati syahid di jalan cinta ( cinta kepada Allah dan Rasul). Kebanyakan orang mengira bahawa menjadi seorang Muslim itu mudah”. Muhamamad Iqbal juga memperkatakan perkara yang serupa melalui ucapannya : “Aku gementar apabila ku katakan diriku seorang Muslim, kerana aku tahu kesukaran yang harus dihadapi oleh seorang yang mengucapkan : “Tiada Tuhan selain Allah.... ”.


Setiap Muslim walau apa status kedudukannya harus mengingati hakikat dirinya adalah insan yang lemah. Oleh itu dalam setiap langkahnya di dunia yang fana ini ia seharusnya meminta bantuan pertolongan melalui solat dan sabar. Amalan ini sering kali dilupai, lantaran itu kedapatan insan cuba mengatasi masalahnya melalui dadah, arak atau setidak-tidaknya merokok melebihi kebiasaan, atau membebel tanpa hujung pangkal.


Al-Quran menyediakan langkah-langkah yang perlu dilakukan apabila seseorang itu menghadapi masalah iaitu dengan bersolat dan bersabar. Kedua perkara ini meskipun mudah diucap tetapi amat berat dilakukan. Persoalannya, berapa ramai di kalangan Muslim yang apabila menghadapi masalah, ia lantas berwudu’ dan bersolat dua rakaat memohon pertolongan Allah S.W.T. Begitu juga apabila seorang itu diuji Allah S.W.T., mampukah ia bersabar. Apa yang sering berlaku ialah kesabaran hanya mampu diungkap melalui ucapan , tidak melalui tindakan. Ini bertepatan dengan maksud ayat di atas bahawa solat dan sabar hanya dapat dilakukan dan dihayati oleh mereka yang khusyuk.


Apakah mekanisme yang perlu ada pada seseorang insan agar ia dapat membiasakan diri bersolat dan bersabar ketika mengadapi masalah. Dalam merungkai persoalan ini, al-Ustaz Maulana Kausar Niazi memberikan dua hujah yang perlu diingati :


1. Apabila seseorang itu bersolat dan bersabar, maka pekerjaan itu tidak sia-sia kerana ia akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T. Ini bermakna tidak rugi jika seseorang yang bermasalah itu bersolat dan bersabar.


2. Apabila bersolat dan bersabar tidak dijadikan kebiasaan ketika menghadapi ujian, maka harus ingat bahawa setiap manusia pasti akan mati dan orang yang tidak bersolat dan bersabar itu akan dimurkai Allah S.W.T.


Apa yang seharusnya diingati bagi memujuk diri ialah setiap insan diuji Allah S.W.T. dalam bentuk yang berbeza. Perlu diketahui bahawa ujian itu bukan hanya dalam bentuk negatif seperti kemiskinan, kesakitan, kematian dan sebagainya, malahan kekayaan dan kejayaan yang mencurah-curah serta fizikal yang sentiasa sihat juga merupakan ujian. Bentuk ujian adalah hak mutlak Allah S.W.T. yang tidak boleh dipertikaikan. Apa yang perlu digarapi oleh insan ialah bersedia dengan pelbagai mekanisme yang ditetapkan oleh al-Quran agar ia tergolong dalam kalangan mereka yang beramal baik.


Firman Allah S.W.T. bermaksud :


“ Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji
dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya “
( Al-Mulk ,67 :2)


Wallahu a’lam


Kredit to:

Ustazah Hjh. Kalsom Awang 
& Ustaz Abd. Nasir Hj. Musa, UiTM Perak

Terima kasih kepada Kak Safiah Saleh, Unit KK&PA, UiTM Perak.
 ~~~~~~~~~~~~~~
~~~~~~~~~~~~~~~

2 ulasan:

  1. salam,
    sabar menjadi bekal utama dalam melayari hidup ini...tapi kesabaran seseorang itu ada hadnya...terkadang 'terkeluar' juga!

    sabar macam air. halangi laluannya. ia akan terbendung. awas jika banjir. buruk padahnya!

    semoga Allah menyabarkan kita semua!

    BalasPadam
  2. to cikgu Mad,
    Sabar sebahagian daripada Iman...
    Tidak sabar rosaklah Iman.

    hmm... boleh ambik untuk buat citer dalam entri terbaru?

    BalasPadam

Komen anda tanggungjawab anda. Komen dan pandangan anda amatlah dihargai. Terima kasih atas pandangan yang diberikan.

Carian