MENILAI HATI DAN PERASAAN BUKAN KERJA KITA
Terdetik untuk menulis perkara ini sudah lama tetapi tidak tahu dari mana nak mula. Lagi pula risau juga penerimaan pembaca yang tidak sama dengan apa yang kita maksudkan. Namun, bila sudah terlalu lama terpendam kita jadi keliru. Kita mengharapkan penulisan kita ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran kepada pembaca dalam membuat penilaian perihal hati dan perasaan orang atau hati dan perasaan sendiri.
Menilai hati dan perasaan bukan kerja kita. Kenapa? Kerana pada pandangan saya, adalah mustahil untuk kita menilai dan meletakkan suatu pandangan peribadi kita ke atas perasaan orang. Apa yang dilalui oleh orang lain tidak sama walaupun pada pandangan kita kelihatan sama seperti yang kita alami. Fitrah kejadian kita berbeza. Bukan kerja kita untuk meletakkan status tertentu. Tetapi mungkin tidak salah untuk kita secara peribadi membuat sedikit kajian (jika ada kelapangan) ke atas apa yang berlaku. Menuduh seseorang atas apa yang kita nampak adalah amat tidak benar.
Ya, memang kita terasa sakit hati, bengang atau geram dengan apa yang dia perlakukan pada kita. Tetapi kita ada pilihan untuk bersetuju atau tidak. Seandainya kita telah bersetuju untuk bekerjasama dengan dia, sudah pasti kita juga perlu bersetuju dengan apa yang sedang berlaku. Menoleh ke belakang untuk menarik balik apa yang telah dipersetujui bukan satu tindakan bijak. Sebaliknya kita terpaksa terima dan teruskan tindakan yang wajar sebagaimana yang telah kita setuju dari awal.
Apa yang penting sekarang, kita harus kuatkan semangat, keraskan hati dengan apa yang sedang berlaku. Jadikan iktibar dan peringatan kepada diri agar perkara yang sama tidak berulang lagi pada masa depan. Bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Apa yang terjadi telahpun terjadi.
Mungkin akan ada kesinambungan dari posting ini dalam bentuk yang berbeza.
Terima kasih.