Assalamualaikum dan selamat sejahtera
Jom borong pahala banyak-banyak
Kita suka sangat bila dapat peluang memborong. Tambah lagi bila banyak modal di tangan.... rasa tak sabar nak habis semua kan? Hahaha korang la tu erkk.
Tapi kali ni akak nak ajak korang memborong pahala. Borong yang ni korang pasti boleh buat, tak perlukan modal yang banyak... hanya sekadarnya yang ada. Kalau lagi banyak modal korang ada lagi banyak korang dapat borong. Dan yang pasti boronglah banyak mana pun ... ia tak kan habis. Tinggal lagi korang mampu dengan tak mampu atau rajin ke idokkk.
Jom la kita tengok apa yang boleh diborong dan tak habis-habis.
1⃣. Membaca Surah Al-Ikhlas
Di dalam masa satu minit, kita boleh membaca sekitar
10 kali Surah Al-Ikhlas. Ia adalah surah yang cukup mudah untuk dihafal dan ia adalah surah yang cukup popular untuk dibaca di dalam sholat apabila kita mengejar masa.
Rasulullah ﷺ bersabda: "Siapa yang membaca qul huwallahu ahad sampai akhir (Surah Al-Ikhlas) sebanyak sepuluh kali, maka akan dibangunkan baginya rumah di syurga." (Hadis Riwayat Ahmad)
Jadikan membaca surah al-Ikhlas sebagai amalan mengisi masa terluang, Insyallah kita akan memperolehi rumah di Syurga!
2⃣. Bersolawat Kepada Rasulullah ﷺ
Kita memang dianjurkan untuk
sentiasa berselawat kepada baginda Rasulullah kerana bagi setiap selawat, Tuhan akan memberi 10 kali salam kepada kita. Salam di sini bermaksud dirahmati kehidupan kita, dipermudahkan urusan kerja dan sebagainya.
"Barangsiapa yang bersolawat ke atasku sekali, niscaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda". (Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam masa satu minit, kita boleh bersolawat melebihi dari 30 kali atau jika kita melafazkan selawat pendek ia boleh mencecah sehingga 100 kali.
3⃣. Beristighfar Memohon Keampunan
Setiap kali kita beristighfar, Tuhan akan memberikan kegembiraan, kelapangan dan memberi rezeki dari arah yang kita tidak sangka.
Seperti sebuah hadis baginda Nabi Muhammad ﷺ: "Barangsiapa yang senantiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Di dalam satu minit, kita boleh beristighfar sekitar 30 kali dengan penuh penghayatan atau sekadar menggunakan lafaz pendek “astaghfirullah hal adzim”, boleh dilafazkan sekitar 100 kali.
4⃣. Bertanya Khabar Keluarga
Dengan wujudnya perbagai kemudahan seperti media sosial pada hari ini, kita hanya perlukan satu minit untuk bertanyakan khabar ahli keluarga yang terdekat. Dengan satu pesanan SMS atau WA sahaja sudah boleh mengetahui keadaan ahli keluarga tersayang.
Itu juga sudah dikira sebagai menghubungkan silaturahim.
Sabda Nabi Muhammad ﷺ: "Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis Riwayat Bukhari)
5⃣. Lafaz Tasbih
Dua kalimah yang ringan di mulut, tetapi berat di timbangan, serta disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih yaitu: "Subhanallah wa bihamdihi, subhanallah hil adzim." (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam masa satu minit, kita boleh melafazkan tasbih ini sekitar 40-50 kali.
6⃣. Akui Semua Kejadian Adalah Kehendak Tuhan
Ayat kalimat ini sangat ringkas tetapi mempunyai manfaat yang luar biasa. Kita biasanya melafazkan ayat ini ketika mendengar guruh yang kuat di langit.
Tetapi Nabi Muhammad juga ada bersabda ﷺ: "Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’, kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga." (Hadis Riwayat Bukhari)
Bayangkan dengan lafaz mudah ini, ia boleh menjadi satu simpanan pahala yang berharga di syurga. Di dalam satu minit, kita boleh melafazkan kalimat ini sekitar 30 kali.
7⃣. Mendoakan Orang Lain
Dalam satu minit kita boleh berdoa untuk sesiapa sahaja, Insya Allah Tuhan juga akan memberikan doa yang sama buat kita.
Rasulullah bersabda ﷺ : "Barangsiapa yang mendoakan mukmin lelaki ataupun perempuan, niscaya Allah akan memberi pahala kebaikan dari setiap mukmin lelaki dan perempuan yang didoakannya. (Hadis Riwayat al-Thabarani)
8⃣. Sebarkan Kebaikan
Di zaman dunia di hujung jari ini, cukup mudah untuk kita sebarkan kebaikan. Setiap kebaikan yang kita panjangkan kepada orang lain, mereka akan mendapat manfaatnya. Jika orang lain mempraktikkan apa sahaja kebaikan tersebut, kita juga akan mendapat pahalanya.
Jadi, marilah kita semua memborong pahala untuk bekalan di sana nanti.