Kerana mulut badan binasa
Seperti biasa sesiapa pun pernah dengar atau baca peribahasa "Kerana mulut badan binasa". Mungkin tidak sukar untuk menjelaskan maksudnya kepada orang dewasa kerana mereka lebih mudah memahami maksud tersurat dan tersirat. Walaupun ada juga yang berpura-pura tidak faham.
Namun tidaklah mudah untuk menjelaskan maksudnya kepada anak-anak yang berusia sekitar 4 atau 5 tahun. Kerana apabila bertanya, anak-anak itu pastinya mahukan jawapan yang ringkas dan padat. Kefahaman kita orang dewasa tidak sama dengan kanak-kanak. Tersalah menjelaskan akan memberi makna yang salah kepada kefahaman mereka.
Gambar hiasan dari Facebook |
Lalu bagaimana hendak dijelaskan maksud "kerana mulut badan binasa" ini. Jawapan yang paling ringkas dan mudah adalah setiap orang yang bercakap akan mendapat balasannya. Jika dipanjangkan lagi maksudnya adalah orang yang yang bercakap tidak elok dan suka bercakap yang bukan keperluannya akan mendapat balasannya. Sebagai contoh orang yang suka bercakap bohong lama-kelamaan akan diketahui juga, walapun tidak sekarang tetapi bila tiba masanya akan diketahui.
Mungkin jarang sangat orang yang menyedari akan hakikat percakapannya akan mendatangkan kesan kepada badannya. Kerana lidah itu tidak bertulang dan mudah sangat menuturkan kata-kata.
Perumpaan di atas agak bertepatan juga dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W, berikut:
Perkara yang paling banyak mengantarkan orang masuk ke neraka adalah mulut dan kemaluan. (HR Tirmidzi)
Semoga kita sentiasa menjaga tutur kata dan memikirkan dengan teliti setiap perkataan yang hendak diucapkan.
Terima kasih kerana membaca Kerana mulut badan binasa.