Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Corak hidup sekarang atau gaya hidup sekarang barangkali menyebabkan kita sering rasa tertekan. Kita terpaksa berhadapan dengan banyak situasi dalam masa yang singkat dan terpaksa berhadapan dengan emosi orang sekeliling yang tidak menentu. Bagaimana pula dengan emosi kita ketika berhadapan dengan situasi yang huru-hara ini? Semuanya terpulang kepada kekuatan jiwa kita dan juga kekerasan hati. Bukan kerana keras kepala tetapi supaya jiwa kita tidak mudah tersentuh.
Mungkin juga ia berpunca dari kita sendiri yang tidak bijak. Tidak bijak membahagi masa dan membezakan antara masa bersama kerja atau keluarga. Kesukaran membahagikan masa ini boleh jadi juga berpunca dari cara kita dibesarkan, cara kita dididik dan cara kita menerima situasi itu; sama ada secara serius atau hanya ala kadar seperti main-main. Semangat kita juga dipengaruhi oleh cara kita membahagikan masa. Untuk menjadi orang yang bijak dan berjaya sudah tentu menuntut pengorbanan yang jitu lahir dari dalam diri kita sendiri. Kita tidak mungkin mampu berhadapan dengan situasi yang mengelirukan ini seandainya kita tidak serius dalam meningkatkan kekuatan jati diri.
Komunikasi, turut memainkan peranan penting. Barangkali kita pernah mempunyai suara yang tidak keluar. Kenapa? Kerana kita tidak berani bersuara dan takut untuk bersuara.
Dalam keadaan tertentu kita mungkin mempunyai halangan tertentu dalam menyampaikan hasrat. Banyak batasan seperti masa, tempat dan keadaan semasa. Dalam situasi ini sudah tentu kita akan rasa amat tertekan. Di sini, saya merasakan kita memerlukan kekuatan semangat untuk berlawan dengan tekanan dari luar. Berserah dan berdoa kepada Allah agar setiap urusan kita dipermudahkan.
Sudah pasti ada di mana-mana tempat atau situasi yang kita tidak sedar bahawa kita juga pernah membuatkan orang lain berada dalam situasi serupa.
Muhasabah diri dan beristighfar merupakan jalan terbaik untuk menanam kembali kekuatan semangat yang semakin pudar.
~(@^_^@)~
posted from Bloggeroid