Al-Ma'thurat | Apabila cinta berputik
Surah Al-Ma'thurat
Ketika itu memang asing baginya. Kerana dia belum pernah melihatnya apatah lagi membaca dan meneliti maksudnya. Namun hari itu, dia sedar ada sesuatu pada surah itu dan dia harus segera mendapatkannya. Puas juga difikirkan di mana hendak dicari surah yang tidak pernah didengarnya. Bagaimana hendak diterangkan rupa atau bentuknya dia sendiri tidak tahu.Sudah hampir seminggu atau lebih surat itu diteliti dan menghayati isi kandungannya. Ditanya pada ibu apa itu ma'thurat tetapi tiada jawapan yang memuaskan hati. Ibu pernah bersuara agar surah berkenaan dicari di kedai buku. Tetapi dia bingung kerana di pekan yang terdekat kedai buku dimiliki oleh orang 'asing'. Masakan dia tahu apa itu surah al-ma'thurat. Kerana di kedai buku itu apa yang ada hanyalah majalah hiburan, majalah sukan dan juga beberapa buku rujukan untuk sekolah... tidak pernah dijumpai mana-mana buku berkaitan agama suci ini.
Kebingungan itu dibiarkan saja berlalu sehingga tiba hari yang ditunggu; hari untuk melapor diri di Madrasah Idrisiah. Ada program anjuran Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) di situ dan dia antara insan terpilih dari ratusan pelajar di sekolahnya. Terpilih juga kerana sahabat yang baru dikenalinya. Mungkin ini yang dinamakan takdir.
Madrasah Idrisiah
Tempat baru dengan keadaan yang jauh berbeza dengan suasana di rumahnya mahupun dengan sekolahnya sendiri.Sekolah agama yang baru siap pembinaannya, cantik dan kemas serta kedudukan bilik yang teratur. Terdapat blok untuk penginapan pelajar perempuan dan pelajar lelaki dan dewan makan. Bangunan yang baru siap, masih terdapat kesan tanah merah sana sini selepas hujan turun... tetapi tidak sampai memualkan dan tidak menyusahkan langsung. Kerana dia sudah terbiasa dengan keadaan sedemikian.
Teruja dengan suasana aman dan teratus semasa pendaftaran masuk ke asrama dan penginapan dia terlupa mengenai al-ma'thurat yang sepatutnya dibawa bersama tetapi tidak dibawa.
Kelihatan beberapa pelajar wanita mungkin sebaya dengannya berbisik-bisik. Pakaian dia tidak pelik... begitu juga dengan pakaian mereka tidak pelik cuma lain sikit darinya. Mereka lain kerana tudung mereka labuh, baju mereka juga labuh. Tudung dia biasa-biasa saja baju pun tidaklah labuh seperti mereka tetapi cukup untuk menutup aurat dengan sempurna. Itulah pandangan hatinya mengenai pakaian pada hari itu. Ahhh.... dia kurang selesa dengan keadaan itu tetapi dibiarkan berlalu dan mula mencongak bagaimana hendak bercerita mengenai surah yang gagal dibawanya, kepada urusetia pendaftaran.
....bersambung
*nota: siri ini akan bersambung untuk episod seterusnya.
alaaaaa besambung ke...xsaba nak tau ni
BalasPadam