Assalamualaikum dan selamat sejahtera
Cepat bertindak cepat dapat keputusan
Jenuh memikirkan tajuk yang sesuai dengan entri ini. Segalanya berkisar kehidupan seharian kita. Apa saja tindakan yang kita buat sama ada dari segi perbualan, pergerakan atau keputusan turut mempengaruhi kehidupan kita di masa depan. Dan... ia juga turut mempengaruhi insan tersayang iaitu suami atau isteri dan anak-anak. Kerana kita tidak hidup sendirian. Apa juga keputusan mereka turut memberikan kesan sampingan kepada kita secara langsung atau tidak. Tidak boleh tidak kita harus bijak dalam membuat keputusan. Sebolehnya kurangkan risiko sakit hati seperti dendam dan segala macam jenis mazmumah.
Mengapa akak bercerita begini? Kerana akak juga rasa tersentuh dengan apa yang terjadi dengan kawan-kawan mengenai isu yang sebenarnya tidak perlu pun ada rasa benci. Tetapi kerana dipengaruhi rasa sakit hati maka mereka sanggup bertindak mengikut emosi. Isu yang sewajarnya boleh diselesaikan dengan budibicara baik tetapi disulami dengan warna kelam. Segalanya soal hati.
Tidak mahulah isu ini diperbesarkan cukuplah ianya menjadi pengajaran buat kita semua.
Kita bertindak cepat supaya kita dapat melihat keputusan segera tanpa memikirkan kesan yang bakal menimpa. Tidak memikirkan langsung kesan dan akibat daripada tindakan yang diambil. Betapalah keringnya hati kita. Sanggup melakukan tindakan sedemikian rupa asal puas hati tanpa sedikit pun ada rasa simpati.
Dan... Kita sebagai manusia pemerhati bukan lah pilihan kita untuk sebarkan keburukan yang berlaku. Hanya yang mampu adalah mengambil iktibar agar kita tidak melakukan perkara yang sama.
Tentunya kita pernah merasa peritnya dikhianati tetapi adakah wajar untuk kita membalasnya?
Adakah kepuasan menyakitkan hati orang itu berbaloi dengan apa yang kita dapat?
Adakah kita mahu melihat berlakunya satu lagi penghinaan terhadap diri kita?
Cukuplah dengan apa yang telah berlaku tidak perlu dipanjangkan dendam itu kerana bakal memakan daging hati kita sendiri.
Sucikanlah hati dengan kebaikan. Sekalipun tak mampu berbuat baik jangan pula kita menambah kejahatan dalam diri kita.
In Shaa Allah dimudahkan segala urusan kita dan urusan mereka dalam melaksanakan tugas untuk kebaikan dunia dan akhirat.
Terima kasih kerana membaca entri ini,
Cepat bertindak cepat dapat keputusan.
szi