Pageviews

11 September 2015

Ada apa dengan bintang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Ada apa dengan bintang


Ya, ada apa dengan bintang.  Bukannya bintang yang bergantung di langit tinggi.  Bentuknya juga tidak jelas, hanya lambang semata-mata.  Kita sendiri tidak tahu bagaimana bentuk sebenar sebutir bintang.  Tetapi kita dibesarkan dengan bentuk bintang yang sebegini.

Apa yang hendak dimaksudkan dalam entri ini adalah bintang yang diberikan kepada anak kecil setelah dia berhasil melakukan perkara baik.  Dan dia sendiri faham apa yang dimaksudkan dengan perkara baik.  Namun sejauh mana kefahaman anak kecil dengan perlaksanaannya.  Berlalu begitu sahaja menjadikan kita keliru setelah kita memberikan dia kekeliruan.  Oh... agak sukar juga nak perjelaskan isu ini.  Ia mungkin mudah ... sekadar bercerita mengenai bintang.  Bintang hati, bintang kecil atau bintang-bintang.  Apa sajalah.

Inas Insyirah
Inas Insyirah

Pesanan seorang ibu


Hendak dijadikan cerita, satu hari seorang ibu sebelum bertolak ke tempat kerja telah meninggalkan pesan kepada anaknya.   Pesanan seorang ibu seperti biasa mahukan anaknya sentiasa berkelakuan baik, berbuat baik, hindari pergaduhan sesama adik-beradik apatah lagi mendatangkan kemarahan orang lain.   Ibu tidak pernah pula menjanjikan bulan atau bintang sebagai ganti kepada anak kecilnya itu kerana berkelakukan baik apatah lagi intan berlian atau emas permata.  Namun pesanan itu tetap jua dipatuhi oleh anak kecil yang baru menjangkau usia 4 tahun.  

Begitulah pesanan yang baik-baik dari seorang ibu sentiasa melekat di hati anaknya lalu diaplikasikan melalui tindakan iaitu pematuhan.

Apa kaitan dengan bintang?


Sebagai menghargai pematuhan oleh anak kecilnya, ibu telah secara spontan menghadiah "5 bintang" kepada anaknya lalu disambut dengan kegembiraan yang tidak terhingga kepada berjaya mendapat 5 bintang.  Namun bintang itu hanya sekadar ungkapan bukanlah jasad bintang itu sendiri atau replika bintang yang diberikan.  Lukisan sebutir bintang jauh sekali.  Ohh... pandainya ibu itu melakarkan bintang dipemikiran anaknya.

Ibu itu merasakan pesanannya berjaya mendidik anaknya kerana kepatuhan yang dilaksanakan oleh anak seusia 4 tahun.


Kecewa tidak dapat bintang


Lalu, hari berikutnya seperti biasa sebelum meninggalkan anaknya ke tempat kerja sekali lagi ibu berpesan dengan pesanan yang sama dengan harapan anaknya akan terus patuh pada pesanannya.

Namun, bila pulang dari pejabat entah siapa yang kecewa... Ibu atau anak yang kecewa?  Seperti kedua-duanya kecewa kerana gagal patuh pada pesanan yang diberikan.

Si anak telah ingkar pada sebahagian pesanan yang ditinggalkan.

Bila ditanya mengapa?  

Anaknya dengan bangga menyebut bahawa dia telah mendapat 5 butir bintang semalam jadi hari ini dia pasti akan dapat bintang lagi.

Aduh.... terpinga-pinga ibu itu.  Apakah dia yang telah tersalah memberi kefahaman atau tersalah kerana cepat memberikan 'pingat bintang' kepada anaknya.

Ibu menjelaskan kepada anaknya, oleh kerana dia telah tidak patuh pada pesanan maka bintang itu ditarik semula.  


Bintang tanpa pingat.

Anak kecil itu kehairanan kerana bintang yang tidak kelihatan itu telah ditarik semula.  Dia kelihatan seperti kecewa.  Kecewa seorang anak kecil... sukar untuk dimengertikan.

Sejauh mana dia akan patuh semula kepada pesanan yang berikutnya.

Pesanan bukan kerana bintang


Pesanan yang diberikan kepada anak kecil pada awalnya sesuatu yang murni.  Anak itu patuh kerana mungkin itulah naluri dan kefahamannya.  Namun anak kecil barangkali tidak menyangka bahawa kepatuhan dan ketaatan itu mendapat 'bayaran'.  Apa yang dia lakukan adalah atas nalurinya sendiri.

Kesilapan ibu adalah bila mengajar dengan memberi ganjaran.  Walaupun sekadar penghargaan kecil mungkin mengganggu tahap pemikirannya.  

Anda mungkin ada pengalaman tersendiri dalam memberikan ganjaran kepada anak kecil.  Apapun kaedahnya, seorang ia dapat mengajar kita cara anak kecil berfikir.

Sekadar berkongsi perasaan dan naluri seorang ibu.  

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum...singgah sebentar...

    Dulu kecil2 bila kerja sekolah banyak betul dapatlah bintang ...paling banyak 5 cikgu bagi....memang akan menaikkan semangat untuk belajar dan buat kerja sekolah

    BalasPadam
  2. dulu-dulu ada cikgu bagi bintang...memang bersemangatlah nak kejar bintang sape paling banyak

    BalasPadam

Komen anda tanggungjawab anda. Komen dan pandangan anda amatlah dihargai. Terima kasih atas pandangan yang diberikan.