Pageviews

18 Julai 2014

Cermin mata nan merah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Cermin mata nan merah


Cermin mata.  Seingat dulu ketika di bangku sekolah.  Rata-rata pelajar Tionghua memakai cermin mata.  Itu pengalaman ketika sekolah menengah rendah di Taiping.  Ketika sekolah rendah tidak berjumpa pula kawan-kawan sekolah yang pakai cermin mata ... maklumlah semuanya pelajar Melayu.

Dan... antara mitos yang paling popular ketika itu dan mungkin juga sehingga kini adalah 'orang yang memakai cermin mata adalah orang pandai'.  Terpengaruh juga dengan mitos berkenaan.  Ketika zaman sekolah timbul teringin nak pakai cermin mata.  Ketika itu yang pakai cermin mata dalam keluarga adalah arwah ayah tiri.  Tetapi selaluny kena marah bila berangan-angan nak pakai cermin mata.  Mungkin juga sebab utama ketika itu adalah cermin mata ini untuk golongan atasan atau orang kaya.  Jadi saya yang tidak kaya ni... memang tidak layak sebab mata masih okey dan masih boleh membaca walaupun dalan keadaan yang suram atau malap.

Namun, mitos sedikit demi sedikit bertukar dan dewasa bersama kedewasaan seorang remaja.  Maknanya dah boleh fikir sendiri.  Tidak semestinya orang kaya yang pandai boleh pakai cermin mata.

Ketika menghampiri musim SPM, saya sering mengalami sakit kepala dan pening kepala menyebabkan saya sering ponteng sekolah.  Terpaksa ponteng yer bukan sengaja... sebabnya bila dah pening kepala pergi sekolah pun dok melepek kat bilik rehat buat apa kan?

Seorang guru kaunseling telah membawa saya ke klinik untuk membuat pemeriksaan.  Seorang doktor saya tidak ingat namanya telah mencadangkan agar saya memakai cermin mata.  Walaupun mata saya tidak kabur?  Ya, sebab kemungkinan juga terdapat kerosakan pada mata tetapi saya tidak perasan dan kadang-kadang dengan memakai cermin mata kerosakan itu dapat dibetulkan.  Okey... saya mula mencongak.

Tempoh diskaun untuk pelajar sekolah telah tamat.  Saya pula perlukan cermin mata.  Tak mengapalah sebab saya fikir ianya bukan penting sangat.  Bertahan sajalah, bila pening kepala makan ubat dan jangan ponteng sekolah... atau kena jumpa cikgu disiplin lagi.

Namun saya tidak dapat bertahan lama.  Dikuatkan semangat bertanya dengan arwah emak untuk membuat cermin mata.  Arwah emak nampaknya tidak banyak soal terus bersetuju dan berjanji untuk membuat cermin mata.  Ketika itu arwah emak belum lagi memakai cermin mata.  Dan... saya pun memakai cermin mata ketika peperiksaan SPM sudahpun hampir tiba dan masa untuk ulangkaji juga semakin suntuk.  Cermin mata itu saya pakai sehingga tamat SPM sahaja kerana tidak selesa.  Lagipun pening kepala tidak lagi menyerang.

Kini... setelah berpuluh tahun sejajar dengan meningkatnya usia, saya terpaksa memakai semula cermin mata. Pernah buat dan pakai untuk seketika tetapi berhenti kerana tidak selesa.... begitulah sekejap pakai sekejap tidak.  Pakai pun di pejabat sahaja ketika menghadiri kursus atau mesyuarat.  Ketika menghadap komputer buat kerja atau berbloging tidak pula nak pakai cermin mata.

Sudah tiba masanya untuk saya menjadi pemakai cermin mata.  Kerana mata saya juga sudah kabur.  Tak pasti rabun jauh atau rabun dekat.  Yang pastinya sakit kepala itu betul-betul menyakitkan dan menyukarkan kehidupan.

Terfikir juga... seiring dengan masa sedikit demi sedikit nikmat yang kita ada dulu kini semakin berkurang.  Tetapi harus ingat... ada yang kurang ada juga yang bertambah... hanya kita yang tidak sedar.

Terima kasih.

1 ulasan:

Komen anda tanggungjawab anda. Komen dan pandangan anda amatlah dihargai. Terima kasih atas pandangan yang diberikan.